webnovel

Budak Jahat Dibelasah

Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

Mahaguru Abadi Tiga Simbol Tembaga: "Celaka! Apa maksud kau, Sungai Utara? Kau jangan melampau sangat ni! Kau berani ke nak lawan aku malam bulan purnama nanti di puncak Kota Larangan?"

"Okey, kau ingat aku takut kau, peramal nasib palsu? Tapi aku tak ada masa pada malam bulan purnama nanti. Kita tetapkannya dalam masa tiga bulan boleh?" Pertapa Malas Sungai Utara setuju dengan rela. "Tapi macam mana aku nak cari kau? Kau ada terlalu banyak identiti. Kalau kau tukar muka, aku tak boleh mengenali kau walaupun kau berdiri di depan aku."

Mahaguru Abadi Tiga Simbol Tembaga bukan sahaja hebat dalam teknik tiga simbol tetapi juga mahir dalam penyamaran. Dalam pandangan ahli grup, dia mesti pernah dikejar banyak kali kerana membuat ramalan yang buruk dan terpaksa menukar identitinya untuk melarikan diri. Lama-kelamaan, dia pun menjadi mahir dalam penyamaran.

"Okey, kita tetapkannya tiga bulan dari sekarang! Kau naik saja ke puncak Kota Larangan, nanti aku jumpa kau di sana! Lagipun aku akan cam muka kau yang menyampah itu walaupun kau bertukar menjadi abu!" Mahaguru Abadi Tiga Simbol Tembaga menjawab dengan marah.

"Boleh. Aku setuju!" Pertapa Malas Sungai Utara menjawab dengan tenang, dia berkeyakinan dia boleh mengalahkan Mahaguru Abadi Tiga Simbol Tembaga.

Raja Agung Gunung Kuning menghantar satu 😊 dan berkata, "Sungai Utara, awak nampak macam boleh menembusi alam awak. Awak perlukan satu perlawanan untuk menembusinya sekaligus betul? Awak dah lama berada di peringkat Alam Maharaja Rohani Tahap Lima, sudah sampai masa untuk awak mencapai yang seterusnya. Pada malam bulan purnama tiga bulan dari sekarang, jika saya ada masa, saya akan hadir ke Kota Larangan untuk menganjurkan perlawanan ini. Di samping itu, saya akan menyediakan hadiah yang kecil untuk awak berdua nanti."

"Prihatinnya Raja Agung!" Pertapa Malas Gunung Kuning tidak dapat mengawal perasaannya. Bagaimanapun, Raja Agung Gunung Kuning merupakan pertapa senior. Hadiah yang akan disediakan tidak mungkin sekadar "hadiah kecil".

Apa sahaja yang diberi oleh senior-senior ini pasti merupakan khazanah yang hanya mampu diperolehi oleh pertapa junior seperti mereka semasa pengembaraan!

"Dengan kata-kata Raja Agung, saya tak akan membiarkan Sungai Utara tunggu lama. Saya mula-mula nak biarkan Sungai Utara tunggu lama dalam kesejukan malam di puncak Kota Larangan." Mahaguru Abadi Tiga Simbol Tembaga berkata dengan senang.

"..." Pertapa Malas Sungai Utara.

'Celaka!'

Orang ini memang peramal nasib yang pandai memainkan fikiran orang lain. Kotornya hati dia!

Pertapa Malas Sungai Utara berkeputusan untuk membelasah Mahaguru Abadi Tiga Simbol Tembaga sehingga dia tidak dapat dikenali oleh Raja Agung Gunung Kuning.

Selepas perbualan mereka berakhir, sembang grup pun menjadi senyap.

❄️❄️❄️

Selepas membaca log mesej dalam grup, Song Shuhang menjadi bimbang, "Jangan-jangan Mahaguru Abadi Tiga Simbol Tembaga dan Pertapa Malas Sungai Utara betul-betul akan pergi ke puncak Kota Larangan untuk berlawan selepas tiga bulan? Berdasarkan perilaku mereka, kemungkinan besar mereka akan berbuat demikian. Macam mana kalau penjaga muzium menangkap mereka?

'Biar saya membuat peringatan tentang ini, dan sebelum meninggalkan sembang grup, saya akan mengingatkan mereka merosakkan harta pusaka kebudayaan negara ialah salah di sisi undang-undang.'

Selepas menutup sembang grup, Song Shuhang membuka laman sesawang Bandar Kolej Jiangnan untuk membaca berita hari ini.

Berita utama dalam Rangkaian Kampus tentang kejadian ribut petir yang tidak dijangkakan pada tengah hari tadi; kawasan yang terjejas adalah Bandar H, seperti yang dijangkakan oleh Song Shuhang.

Disebabkan sambaran petir, bekalan elektrik terputus di Bandar H dan di Bandar Jiangnan yang berdekatan dengannya, menyebabkan beberapa kemalangan berlaku. Nasib baik, tiada kematian yang dilaporkan.

Ada lagi berita yang remeh-temeh tentang Bandar Kolej Jiangnan, seperti kemaskini senarai pelajar yang paling menawan dalam kolej;

Seorang pelajar A+ dalam sekolah telah berjaya untuk mengasaskan hegemoninya dan memenangi tempat dalam pertandingan aras kebangsaan; harga lelongan selimut yang pernah digunakan oleh salah seorang graduan perempuan; dan sebagainya.

Song Shuhang tidak berminat dengan benda ini dan hanya membaca seimbas lalu supaya dia akan ada topik yang sama apabila berbual-bual dengan rakan sekelasnya.

Selepas itu, dia mencari dalam Rangkaian Kampus untuk pendaftaran kursus memandu. Yuran pendaftaran untuk kursus memandu kereta manual biasa ialah 2,500 Yuan. Harga untuk pelajar sangat berpatutan. Di Jiangnan, selepas kamu menamatkan pelajaran, yuran pendaftaran akan menjadi sekurang-kurangnya 10,000 Yuan.

Shuhang mencatatkan nombor telefon, bersedia untuk belajar sedikit teori memandu beberapa hari ini, dan terus mendaftar untuk kursus memandu selepas itu. Walaupun sekolah memandu mempunyai kelas teori, ia lebih cepat untuk belajar sendiri tentang teori dulu sebelum mendaftar.

"Ding-dong ~"

Dia sangat tertarik dengan berita terbaru dalam kampus.

Dalam sepuluh atau dua puluh minit yang lalu, beberapa orang budak samseng yang sedang melepak di lorong berdekatan dengan bandar kolej telah dibelasah teruk oleh orang yang tidak diketahui.

Sebenarnya, budak-budak samseng ini kebanyakannya terdiri daripada pelajar dan segelintirnya pula budak yang berhenti sekolah. Kebanyakan mereka sebenarnya orang muda yang mempunyai gaya rambut yang melampau, menindik bahagian badan yang tertentu, dan bersembunyi daripada cikgu untuk merokok di lorong.

Sebahagian daripada mereka suka "meminjam" duit secara paksa daripada budak sekolah yang lemah. Bagi mereka, membelasah seseorang itu ialah hobi, dan dibelasah juga satu perkara yang biasa. Disebabkan mereka tidak menubuhkan geng, mereka tidak dikira sebagai gengster.

Berita mereka dibelasah bukanlah satu perkara yang baru. Apa yang benar-benar mengejutkan semua, ialah berita mengenai hampir seratus orang yang dibelasah dalam tempoh beberapa minit sahaja.

Berdasarkan gambar yang diambil oleh para pelajar dengan telefon bimbit mereka, seseorang boleh lihat betapa kasihannya mereka. Setiap muka mereka kemerah-merahan dan lebam. Rupa mereka seperti mereka bersedia untuk melakonkan Opera Peking, dengan muka mereka yang berwarna-warni. Bak kata pepatah -- emak mereka pun tidak akan mengenali mereka.

Semua orang membincangkan perkara ini di dalam kampus.

Mereka yang seronok mendengarnya berkata, "Siapakah yang melakukannya? Memang tidak mengenal belas kasihan. Orang dari Kelab Pertarungan Bebas atau Kelab Taekwando? Atau Kelab Tinju melatih ahli baru untuk membelasah budak jahat dalam satu kumpulan?"

Mereka yang ada maklumat orang dalam berkata, "Mereka semua dibelasah sampai pengsan dan dihantar ke hospital. Oleh kerana belum ada yang sedar diri, tiada sesiapa yang tahu siapa yang melakukannya."

Mereka yang berfikiran logik cuba membuat kesimpulan, "Berdasarkan penjaga kedai berdekatan lorong itu, tiada pergaduhan besar di antara budak jahat dengan kumpulan yang lain. Dan kalau ada pergaduhan pun, kenapa tiada sesiapa yang terselamat? Tak mungkin mereka semua dibelasah sampai pengsan pada masa yang sama. Oleh itu mesti ada orang hebat yang berlawan dengan mereka, satu atau beberapa orang membelasah mereka semua.

"Orang hebat? Siapa yang boleh membelasah lapan puluh orang seorang diri? Haha." Seseorang tergelak. "Ada sekurang-kurangnya lapan puluh atau seratus orang budak jahat. Siapalah yang boleh memengsankan mereka dalam beberapa minit sahaja? Awak ingat seorang hero seni mempertahankan diri dalam drama televisyen telah keluar dari sana dan datang ke sini ke?

"Mungkin dia seorang askar daripada pasukan khas elit angkatan tentera? Dengar kata askar ini boleh menjatuhkan orang biasa dengan senang, dan menewaskan satu dozen orang dalam beberapa minit sahaja."

"Awak sedang buat lawak ke? Biarpun mereka mampu berbuat begitu, mereka ada tugas mereka sendiri. Nak suruh mereka menangani budak jahat? Macam memukul nyamuk dengan tembakan meriam!"

"Dah, cukuplah. Kita akan tahu siapa yang bertanggungjawab apabila budak jahat semua sedarkan diri." Seseorang yang lain menjawab.

Song Shuhang menyegarkan semula laman web tersebut, dan menutup tetingkap mesej itu selepas membaca jawapan di dalamnya.

Lagipun, budak jahat itu tidak ada kena-mengena dengan dia.

Walaupun Song Shuhang hanya 1.75 meter tinggi, tetapi dia masih agak kuat. Dia tidak kelihatan seperti seseorang yang akan membenarkan orang lain "meminjam" duit daripadanya. Malah, dia dengan budak jahat tersebut seperti tinggal dalam dunia yang berbeza…jika semua berjalan dengan lancar, dia tidak akan bersemuka dengan budak itu seumur hidupnya.

Dia meregangkan badan, menutup laman Rangkaian Kampus, menyandar pada kerusi dan mengosongkan minda.

Ribut petir pelik itu menghantuinya. Walaupun kosong, mindanya disambar petir sekali-kala. Dia tidak dapat menenangkan diri.

❄️❄️❄️

Keesokan hari.

Jun 2, Ahad, cerah.

Song Shuhang bangun awal. Dia bercadang untuk berjaga sepanjang malam semalam, tetapi kejadian semalam telah mengganggunya. Entah kenapa, dia tidak mahu berjaga sepanjang malam, oleh itu dia akhirnya tidur awal.

Rakan sebiliknya akan balik petang ini.

Selepas bangun dan membersihkan diri, Shuhang membuka perisian sembang yang terletak di penjuru kanan bawah skrin seperti biasa, dan nampaknya sepupunya Zhao Yaya masih belum menjawab. Rasanya dia perlu menunggu satu atau dua hari lagi.

'Saya akan menelefonnya jika dia tidak menjawab dalam masa dua hari.' Song Shuhang berfikir.

Selepas itu, dia membuka Kumpulan Nombor Satu Sembilan Wilayah—setiap kali membacanya mesti anginnya menjadi baik.

Cuma dia akan terasimilasi jika terlalu mendalaminya.

Mesej pertama dihantar oleh Tujuh Dari Puak Su. "Minta maaf kerana membuat kalian risau. Terdapat kejutan kecil dalam Tribulasi Guruh Adik Enam Belas, tapi saya sudah menanganinya. Adik Enam Belas telah melepaskan kemarahan seketika selepas kejadian itu, tapi saya telah menjumpainya dan membawa dia balik. Dia tidak menyebabkan masalah yang besar. Cuma, di suatu tempat di Bandar H, ada beberapa…sebenarnya, beberapa dozen orang biasa-biasa yang dibelasah oleh Adik Enam Belas, tapi tiada kematian. Saya akan membawa Adik Enam Belas balik ke Puak Su sekarang, oleh itu saya tidak akan berada dalam talian dalam masa beberapa hari ini. Bagaimanapun…tolong jangan risaukan kami,"

Mesej itu dihantar pada jam tiga pagi.