webnovel

Lelaki Tinggi Misteri

Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

"Hahaha, budak perempuan ni boleh tahan kelakar," kata pemandu itu sambil ketawa dan mencari tempat untuk memarkir kereta. "Adik, nama kamu apa?"

"Nama saya Li…"

Kedengaran deringan telefon sebelum sempat Li Jianyue menghabiskan jawapannya. Penculik wanita itu tersenyum gembira lalu membuka pintu dan keluar dari kereta itu. "Hei, kau dah sampai?"

"Kau di mana?"

"Tunggu aku di kedai teh boba di tingkat tiga. Aku sampai sekejap lagi." Wanita itu menamatkan panggilan dan berpaling. "Jaga mereka baik-baik. Bila dah dapat wang, kita boleh terus pergi."

"Pergi!" Pemandu itu menggesa. "Cepat sikit."

Wanita itu segera berlalu. Kedua-dua lelaki penculik itu cuba bercakap dengan Li Jianyue, tetapi Li Jianyue mahu bermain dengan arnabnya dan tidak mempedulikan mereka. Lelaki-lelaki itu kemudiannya merokok di dalam van itu.

Tiba-tiba seorang lelaki setinggi sekurang-kurangnya 6 kaki berjalan ke arah van itu. Lelaki itu memakai baju-T berlengan pendek berwarna kelabu gelap. Baju itu tidak mempunyai sebarang logo apa-apa jenama, tetapi ia menonjolkan otot-otot lelaki itu dengan jelas. Lelaki tinggi itu memakai topi, kaca mata hitam yang besar, serta seluar jean dan kasut putih. Penampilannya kelihatan ringkas tetapi luar biasa. Lelaki itu jelas kelihatan menonjol dan kacak.

"Tak guna, kenapa dunia ini sangat tak adil? Tak tengok muka pun dia boleh nampak kacak."

Penculik yang seorang lagi mengetuk abu rokoknya dan tersenyum. "Biasalah. Lagipun dia mungkin seorang artis, dia nampak amat berbeza."

Lelaki tinggi itu menghampiri van mereka dan datang ke sebelah tingkap pemandu.

Tuk tuk!

Tingkap itu diketuk. Pemandu itu semakin terpegun apabila melihat lelaki tinggi itu dari dekat. Sebaik sahaja pemandu itu menurunkan tingkap, lelaki tinggi itu memandang ke tempat duduk belakang di mana dua orang kanak-kanak sedang duduk dengan senyap. Matanya di bawah kaca mata itu mengecil dan dia berkata, "Keluar sekejap."

Ia satu arahan!

Pemandu itu ketawa sinis mendengar nada lelaki tinggi itu. "Kau ingat kau siapa? Kau nak apa?"

Bibir lelaki tinggi itu sedikit menggerenyet dan seolah-olah tersenyum sinis walaupun hampir tidak kelihatan. Pemandu itu melihatnya dan bertambah marah. Tetapi belum sempat dia melakukan apa-apa, sebelah tangan lelaki tinggi tadi tiba-tiba mencekik lehernya!

Penculik yang berada di tempat duduk belakang terkejut. Dia segera keluar dan menjerit, "Apa kau buat ni?"

Penculik itu menumbuk, tetapi lelaki tinggi itu mengelak lalu menendang dadanya. Penculik itu mendengus dan semakin berang. Dia masuk kembali ke dalam kereta lalu mengambil sebilah gunting kebun dari bawah tempat duduk dan mengacukannya kepada lelaki tinggi itu. Lelaki tinggi yang muda itu mengangkat sebelah keningnya lalu melepaskan leher pemandu sebelum terus berlari pergi.

Pemandu itu terbatuk-batuk dan menjerit dengan berang, "Bodoh, jangan biar si celaka itu lari!" Selepas mengatakannya, dia terus keluar sambil membawa sebilah pisau di tangannya dan mengejar lelaki tinggi itu. Lelaki tinggi itu tiba-tiba berhenti dan mencabar mereka dengan penuh provokasi. Kedua-dua lelaki penculik semakin naik darah lalu menerkam lelaki tinggi itu pada masa yang sama. Lelaki yang lebih tua menerkam dengan guntingnya manakala si pemandu menerkam dengan pisaunya.

"Wow, wow wow, Abang, tengok tu orang dewasa bergaduh!" Li Jianyue berasa takut sehingga menjatuhkan arnab yang dipegangnya. "Dua lawan satu, pak cik kacak tu dalam bahaya. Patutkah kita pergi tolong dia?"