webnovel

Isteri Liar Maharaja Hantu - Puan Muda Sulung Bergaya

Yun Luofeng, orang bijak dari Sekolah Perubatan Huaxia, telah mati kerana satu kemalangan, dan rohnya dipiindahkan ke dalam jasad Cik Sulung yang tidak berguna dari Kediaman General di Benua Longxia. Bukan sahaja sampah ini tidak berbakat dalam seni sastera dan seni pertahanan diri, tapi dia jenis orang yang cantik tapi tidak berotak, angkuh, dan keras kepala. Dia tidak rasa cukup walaupun dengan tunang yang sempurna seperti Putera Mahkota. Dia telah mencabul seorang lelaki secara paksa di tempat awam, membuatkan Putera Mahkota memutuskan pertunangan mereka. Namun, sampah itu tidak boleh menanggung kejutan itu lalu menggantung diri untuk menamatkan nyawanya. Setelah membuka matanya semula, dia bukan lagi Cik Sulung yang tidak berguna. Dengan perjanjian Kod Dewa Perubatan, dengan memiliki ruangan tumbuhan rohani, dan tangan ajaib yang mampu menghidupkan semula orang yang mati, kebolehan perubatannya pasti akan mengejutkan dunia! Dari keluarga Diraja dan bangsawan kepada pedagang dan keluarga lama yang berpengaruh, mereka semua akan bersaing untuk mengambil hatinya. Hinggakan Putera Mahkota,yang telah memutuskan pertunangan mereka, datang untuk merujuk semula hubungan mereka? Oleh kerana itu, seorang lelaki misteri yang akhirnya tidak dapat menahan lagi lalu menyatakan, "Siapa sahaja yang berani datang dan menyakiti wanita saya, silakan datang tapi tidak akan pulang!"

Xiao Qiye · Kỳ huyễn
Không đủ số lượng người đọc
1241 Chs

Putera Keempat Hangat Seperti Jed

Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

"Masukkan bil Cik Yun dalam akaun Beta."

Tepat saat Wu Qi ingin menyusahkan Yun Luofeng, satu suara yang hangat seperti jed datang dari belakang.

Pada asalnya, Wu Qi masih menunjukkan muka sombong ketika lelaki itu lalu. Namun tiba-tiba dia menjadi kaku, dan ekspresi wajahnya menjadi hodoh seperti baru lepas makan najis, tapi dia tidak berani berkata apa-apa.

Seorang lelaki berpakaian broked sutera, kelihatan mulia dan tiada tandingan, mengeluarkan aura yang kuat yang tidak dapat dibandingkan dengan orang seperti Wu Qi. Senyuman yang manis terukir di wajahnya, dan matanya bersinar lembut.

Ketampanan tiada tandingan, sehangat jed!

Tiba-tiba, kata-kata ini menceroboh minda Yun Luofeng, memaksa dia untuk melihat lelaki itu sekali lagi.

Cuma...

Lelaki ini, meskipun wajahnya tersenyum, tetapi senyumannya itu tidak sampai ke matanya. Di sebalik matanya yang lembut itu tersembunyi sesuatu yang licik seperti musang dan renungan berbahaya!

"Putera Keempat," kata Mu Wushuang sambil mengekalkan senyuman yang menawan pada wajahnya, seolah-olah dia tidak mengarahkan Wu Qi untuk menyusahkan Yun Luofeng sebentar tadi. "Jadi tuanku datang untuk melawat Tok Ketua Rong?"

Gao Shaochen tersenyum, membuka kipas lipat di tangannya dan matanya yang tadi lembut bertukar dingin.

"Beta bukan datang untuk melawat Tok Ketua Rong, tapi untuk membeli beberapa ikat herba. Beta tidak menyangka akan melihat kamu menyusahkan Yun Luofeng! Penjaga Kedai Lin, masukkan bil Yun Luofeng ke dalam akaun Beta."

"Walaupun Kediaman Jeneral miskin, kami masih mampu membayar lima juta." Yun Luofeng memberikan Gao Shaochen sekilas jelingan lalu berpaling kepada lelaki berjubah biru itu. "Saya ambil herba ini dulu. Nanti kamu boleh datang ambil duit dari Kediaman Jeneral. Namun begitu, harga kamu terlalu mahal, bagaimana kalau ... kamu hadiahkan saya rumput itu."

Mata wanita muda itu bersinar sebentar, dia menunjuk ke sudut di mana terdapat rumput herba hijau ditanam. Kata-katanya itu diiringi senyuman penuh makna.

Lelaki berjubah biru itu terpegun sejenak kemudian dia tersenyum sopan, "Cik, ini ialah rumput herba yang biasa sahaja, dan tidak banyak kegunaannya. Tapi jika Cik Yun mahu, cik boleh ambil rumput herba dari sudut itu."

"Terima kasih banyak."

Tanpa segan-silu, Yun Luofeng mengambil semua rumput herba itu dan terus berjalan keluar pintu tanpa menoleh ke belakang.

Gao Shaochen memerhatikan susuk tubuh wanita itu berlalu dan tiba-tiba ketawa, "Beta tidak menyangka Yun Luofeng dari Keluarga Yun ini tidak seperti khabar angin. Mungkin kakanda Beta bakal kehilangan harta berharga."

Mu Wushuang yang berdiri di samping Gao Shaochen berasa tidak selesa selepas mendengar ayat itu.

Apa yang dia maksudkan dengan Putera Mahkota akan kehilangan harta berharga? Cuma dia seorang yang layak menjadi wanita Putera Mahkota. Sampah seperti Yun Luofeng itu, dia tidak langsung tidak layak walaupun sekadar menjadi gundik Putera Mahkota!

"Mari."

Oleh kerana dia seorang yang terpelajar, Mu Wushuang tidak mengamuk. Dia menjeling Gao Shaochen sekali, lalu membawa pengikutnya keluar dari Pavilion Perubatan itu, hilang ke dalam cahaya matahari yang terang...

"Tuanku Putera Keempat, boleh Patik bertanya, tuanku datang hendak membeli herba apa?" Lelaki berjubah biru itu menyedari pemergian mereka, dia tersenyum sedikit lalu bertanya dengan sopan.

Mata Gao Shaochen bersinar licik, "Herba apa yang Yun Luofeng beli sebentar tadi? Berikan Beta herba yang sama."

"Sebentar, Patik akan sediakannya."

Lelaki berjubah biru itu sangat gembira. Lagipun, bukan selalu dia dapat menjual herba mahal seperti itu dalam masa sehari. Jadi pada ketika itu, senyumannya bukan lagi kerana sopan, tapi ikhlas dari hati.