webnovel

Zephyr Kembali Bersinar (1)

Dịch giả: EndlessFantasy Translation Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

Jun Wu Xie memandang wajah Qu Ling Yue yang kelihatan begitu merah sehingga kelihatan seperti sudah dimasak. Keningnya terangkat. Setelah lama menanti, Jun Wu Xie mendapati Qu Ling Yue masih tidak bercakap. Hanya mukanya yang menjadi semakin merah. Tiba-tiba gadis itu berpaling dan melarikan diri sambil menekup muka.

"….." Jun Wu Xie mendapati yang dia benar-benar tidak faham dengan perbuatan orang lain.

"Meow?"

[Kenapa dengan dia tu?]

Hitam Kecil melompat ke bahu Jun Wu Xie lalu menggoyangkan ekornya dengan malas.

Jun Wu Xie mengangkat tangan untuk menggaru-garu dagu Hitam Kecil. Dia terus melupakan aksi aneh Qu Ling Yue tadi.

Apabila Jun Wu Xie sampai kembali ke Lof Dewa, hanya Fan Jin yang ada di situ. Mereka yang lain masih belum pulang. Ini membuatkan Jun Wu Xie terfikir bahawa nombor-nombor yang mereka cabut itu pasti agak rendah. Memandangkan dia tidak ada apa-apa lagi mahu dibuat, dia terus pergi menghasilkan eliksir.

Sewaktu Jun Wu Xie mengurung diri di dalam bilik dan sibuk membuat eliksir, beberapa arena pertempuran di seluruh Negara Yan menjadi huru-hara setelah orang-orang di situ menjadi kecoh!

Pada Kejohanan Pertempuran Roh tahun ini, tiada siapa menganggap Akademi Zephyr sebagai ancaman. Semua pemuda yang mendapat pelajar Akademi Zephyr sebagai lawan langsung tidak berasa tertekan, tidak seperti ketika tahun-tahun sebelum ini. Namun segala sikap santai dan teruja di pihak lawan dengan cepatnya hancur berkecai.

Setiap pertempuran arena yang melibatkan pelajar Akademi Zephyr telah menjadi kecoh! Hua Yao dan rakan-rakannya yang telah dibenci oleh peserta lain tiba-tiba mempamerkan kekuatan yang tidak mampu diatasi. Mereka mengalahkan lawan dalam masa beberapa saat sahaja!

Langsung tidak ada yang terkecuali dan tidak dapat disangkal!

Kalau hal ini hanya berlaku di satu daerah, mungkin ini hanya kebetulan. Tapi apabila sesuatu yang tidak diduga ini berlaku di lima daerah yang berlainan, semua akademi lain menjadi terkejut dan huru-hara!

Ketika Akademi Zephyr berada di kemuncak kekuatan mereka pun mereka tidak dapat mengumpulkan pelajar yang begitu kuat seperti ini. Perlu dinyatakan bahawa setiap seorang daripada lima peserta dari Akademi Zephyr itu adalah pemilik roh biru!

[Pemilik roh biru berusia enam belas dan tujuh belas tahun!]

[Kegilaan apakah ini!?]

Sebaik Hua Yao serta rakan-rakannya yang lain menunjukkan kuasa rohani mereka, seluruh arena pertempuran itu menjadi sunyi sepi. Apa yang berlaku seterusnya tidak syak lagi adalah kemusnahan sepenuhnya pihak lawan mereka. Semuanya berlaku dalam sekelip mata. Mereka berlima menyertai lima perlawanan berbeza di lima daerah yang berlainan. Masing-masing mendominasi pihak lawan dan memberikan tamparan yang kuat pada sesiapa yang telah memandang rendah pada Akademi Zephyr!

Tamparan yang bergema itu telah menggemparkan seluruh Bandar Ibu Negara!

Dalam masa separuh hari sahaja, reputasi Akademi Zephyr yang hebat itu telah tersebar ke seluruh Bandar Ibu Negara. Sewaktu Lei Chen yang berada di Kediaman Putera Mahkota menerima berita itu, berus kaligrafi yang dipegangnya terus terpatah dua.

[Lima orang pemilik roh biru berusia enam belas dan tujuh belas tahun?]

[Mana mungkin ini boleh berlaku!!?]

Pada hari pertama kejohanan, Hua Yao dan yang lain telah menggunakan kuasa mereka sendiri untuk menutup mulut orang lain. Pada ketika itu, Akademi Zephyr telah sekali lagi menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan pelbagai akademi.

Mereka semua tahu tentang kesukaran dan cabaran dalam memupuk kuasa rohani. Jangankan mahu mencapai roh biru di usia enam belas atau tujuh belas tahun, mencapai kemuncak roh jingga pada usia itu juga sudah memerlukan seseorang itu memiliki bakat yang tinggi. Meningkat tahap ke roh kuning pula bermaksud seseorang itu amat genius. Malah di kebanyakan akademi, kecuali Pembunuh Naga dan Panji Perang, tidak ada seorang pelajar pun yang berjaya menginjak ke tahap roh kuning.

Kini Akademi Zephyr telah pun memecahkan dan memusnahkan segala tanggapan ini dan dengan bersahaja mendedahkan bukan satu tetapi lima orang pemuda yang memiliki roh biru!

[Macam mana Kejohanan Pertempuran Roh mahu diteruskan selepas ini?]

Perbezaan tahap kuasa yang berkali ganda serta dominasi menyeluruh dalam setiap perlawanan mereka membuatkan prestij dan reputasi Akademi Zephyr terus kembali pulih. Mereka memberikan tamparan yang kuat dan tidak berbelas kasihan pada orang-orang yang mahu melihat Akademi Zephyr mendapat malu. Kemunculan lima orang pemilik roh biru ini juga mengejutkan pencari bakat kuasa-kuasa besar dari seluruh dunia yang sedang bersembunyi di dalam Bandar Diraja!