webnovel

Untung Juga Jadi Comel (4)

Dịch giả: EndlessFantasy Translation Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

Sepanjang beberapa hari berikutnya, Jun Wu Xie dan ahli kumpulannya meneroka Hutan Roh Pertempuran. Jumlah Batu Rohani yang disimpan di dalam beg kosmos juga semakin bertambah. Walaupun batu-batu ini hanya bersaiz kecil kerana dikumpulkan dari Binatang Roh bergred rendah, jumlah yang banyak itu masih memberikan hasil yang lumayan pada kumpulan ini.

Dalam tempoh beberapa hari ini juga mereka turut bertembung dengan beberapa kumpulan kecil yang lain. Tetapi kebanyakannya ialah kumpulan pelajar kampus cawangan dan mereka ini biasanya cemas apabila bertembung dengan kumpulan Jun Wu Xie.

Kriteria penilaian Perburuan Roh adalah berdasarkan kuantiti batu rohani yang dipegang oleh setiap pelajar selepas berakhirnya acara ini. Oleh itu, selain memburu Binatang Roh, beberapa kumpulan yang lebih kuat mula bertindak mencuri batu-batu rohani dari kumpulan yang lebih lemah. Biasanya, kumpulan dari kampus cawangan yang menjadi sasaran utama. Kemahiran dan kuasa kumpulan dari kampus cawangan biasanya jauh lebih lemah berbanding kumpulan pelajar kampus utama. Selain itu, mereka hanya mampu berjaya memburu Binatang Roh bergred rendah dengan menggunakan jumlah pelajar yang ramai. Ini biasanya membuatkan batu-batu roh yang sememangnya sedikit itu dibahagikan pula dengan jumlah pelajar yang ramai. Tambahan pula, apabila bertembung dengan kumpulan dari kampus utama, stok batu rohani mereka yang sedikit itu biasanya dirampas pula.

Akibatnya, apabila kumpulan pelajar kampus cawangan dapat mengesan ada kumpulan pelajar kampus utama yang berdekatan, mereka akan cepat-cepat melarikan diri. Lebih pantas berbanding jika mereka bertembung dengan Binatang Roh.

Kebanyakan kumpulan dari cawangan utama mengelak dari Fan Jin, setiap kali bertembung dengan kumpulannya. Walaupun mereka agak tergoda untuk merompak kumpulan yang dianggap "kumpulan terlemah" ini, mereka tetap berwaspada dengan kehadiran Fan Jin dan tidak berani bertindak terburu-buru terhadap dia dan ahli kumpulannya.

"Saya dengar semua orang kata Hutan Roh Pertempuran ini penuh bahaya di merata-rata tempat. Kalau begitu kenapa saya begitu bosan?" Qiao Chu menggenggam tangannya di belakang kepala sambil menggigit sebilah rumput seperti biasa. Dia berjalan dengan bersahaja di belakang ahli-ahli kumpulannya.

Dalam beberapa hari ini, tak banyak perkara yang berlaku selain perlu mengalahkan Binatang Roh yang mempunyai kuasa serangan yang lemah. Ini membuatkan Qiao Chu tak senang duduk.

Fan Jin berpaling untuk memandang Qiao Chu. Selepas beberapa hari berinteraksi dengan ahli kumpulan ini, hatinya mula pulih dari keadaan awalnya yang tidak dapat menerima keadaan yang berlaku.

Selepas menyaksikan kebolehan serta kekuatan Qiao Chu dan rakan-rakannya yang lain, Fan Jin tiba-tiba sedar yang jika dia mengumpulkan sepuluh pelajar terbaik dari Akademi Zephyr untuk membentuk kumpulan sekalipun, gabungan kuasa mereka masih tidak setanding dengan kekuatan ahli-ahli kumpulannya pada ketika ini.

Binatang Roh yang menggerunkan para pelajar lain tiba-tiba hanya sekadar kambing biri-biri yang jinak dan menanti untuk dikorbankan oleh ahli-ahli kumpulannya yang menakutkan ini.

Selain itu…..

Mata Fan Jin menjeling sekilas pada Rolly, Beruang Yin Yang yang tinggi dan besar itu.

Sejak Jun Xie memulihkan Rolly, Qiao Chu langsung tidak berpeluang untuk menghantar Rolly kembali ke Dunia Roh. Setiap kali Qiao Chu menunjukkan niat mahu berbuat begitu, Rolly akan bergegas untuk berdiri di hadapan Jun Xie. Rolly kemudiannya tiba-tiba akan terbaring di atas tanah sambil menunjukkan perutnya yang lembut dan gebu, membenarkan Jun Xie untuk mengusapnya.

Dan setiap kali ini berlaku…..

Satu jelingan daripada Jun Xie sudah cukup untuk membuatkan Qiao Chu membatalkan niatnya. Dia hanya mampu menangis tanpa air mata kerana roh berkontraknya itu terus memalukannya tanpa henti.

Keadaan kini semakin teruk. Rolly membuat keputusan untuk berkhidmat sebagai mod pengangkutan alternatif untuk Jun Xie dan membawa Jun Xie di atas bahunya. Rolly yang berkaki pendek dan gempal ini termengah-mengah cuba berjalan sama laju dengan ahli kumpulan yang lain.

Dengan adanya roh berkontrak yang besar seperti Rolly, sebaik dapat mengesan aura Rolly yang amat berkuasa, semua Binatang Roh bergred rendah di kawasan Hutan Roh Pertempuran ini lari lintang-pukang untuk menyelamatkan diri. Akibatnya, kumpulan mereka langsung tidak bertemu dengan sebarang Binatang Roh.

Sepanjang hari itu, mereka langsung tidak terlihat mana-mana Binatang Roh bergred rendah. Qiao Chu hampir-hampir mahu mengunyah Rolly disebabkan dia terlalu resah.

Jun Wu Xie yang duduk tinggi di atas bahu Rolly itu sedang menikmati bulu beruang berkenaan yang gebu apabila dia tiba-tiba mengecilkan matanya. Jun Wu Xie telah terhidu sedikit bauh dara yang dibawa oleh tiupan angin sepoi-sepoi bahasa yang melalui kawasan mereka!