webnovel

Untung Juga Jadi Comel (3)

Dịch giả: EndlessFantasy Translation Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

Selepas Jun Wu Xie menyelesaikan pusingan pertama rawatan Ular Tulang Berkepala Dua, roh ular berkenaan menunjukkan peningkatan yang memberansangkan. Kepalanya yang tadinya tertunduk lemah, kini semakin kuat dan bertenaga.

Setelah selesai rawatan tersebut, Jun Wu Xie tiba-tiba rebah ke belakang.

Sewaktu Qiao Chu dan yang lain terlihat Jun Xie rebah, mereka terkejut lalu bergegas mahu menyambutnya. Mereka bimbang penggunaan tenaga yang diperlukan untuk merawat kedua-dua roh berkontrak gred tinggi secara berturut-turut, terlalu meletihkan buat rakan mereka yang bertubuh kecil ini.

Namun, sebelum mereka sempat mendapatkan Jun Xie….

Jun Wu Xie tiba-tiba menjerit kegembiraan dan menenggelamkan dirinya ke perut Rolly yang buncit dan berbulu tebal itu. Badan Jun Wu Xie yang kecil itu hampir tenggelam di dalam perut Rolly yang lembut dan Jun Wu Xie melepaskan keluhan gembira, menandakan keselesaannya.

Rakan-rakannya yang sudah separuh jalan mahu mendapatkan dia tiba-tiba berhenti bergerak. Mereka kembali semula ke tempat asal masing-masing.

Mereka sedar yang keadaan Jun Xie tadi bukannya kerana tenaga rohaninya telah habis digunakan.Tetapi dia hanya mahu menikmati kelembutan dan keselesaan yang diberikan oleh perut buncit di belakangnya itu...

Kesedaran secara tiba-tiba ini membuatkan rakan-rakannya, yang baru sahaja menyaksikan niat membunuh Jun Xie yang tegas dan tidak teragak-agak, bingung dengan perbezaan sikapnya yang tidak rasional dan drastik ini.

"Huh?" Rolly menundukkan kepalanya dan memandang Jun Xie yang sedang baring terlentang di perutnya. Rolly menelengkan kepalanya dengan keliru.

"Rawatan selepas ini." Jun Wu Xie menepuk-nepuk perut Rolly dan menikmati bulu yang lembut dan tebal itu. Tiba-tiba Jun Wu Xie duduk tegak dan merenung perut Rolly sambil berkerut.

"Tak gebu." Jun Wu Xie merungut. Mukanya masih lagi berkerut.

"Wooo….." Rolly merasakan seperti telah ditolak dan menggosok-gosok perutnya yang bulat itu dengan sedih. Rolly cuba menjadikan bulunya lebih gebu.

Jun Wu Xie mengecilkan matanya. Dia menyelubungi tapak tangannya dengan kuasa rohani sekali lagi sebelum mengangkat tangannya. Jun Wu Xie meletakkan tangannya pada perut Rolly. Bulu yang nampak kusam itu tiba-tiba menjadi gebu dan lembut. Jun Wu Xie memandang perubahan yang sedang berlaku dengan teliti. Dia menarik tangannya kembali setelah berpuas hati dengan apa yang dilihatnya. Kemudian Jun Wu Xie sekali lagi menerkam perut berbulu lembut yang sudah kembali gebu itu.

Kucing hitam kecil itu sudah terbiasa dengan kelemahan tuannya dengan apa-apa yang lembut berbulu dan comel. Dengan tenangnya kucing tersebut melompat ke bahu Rolly dan mencakar-cakar lembut bulu-bulu Rolly untuk menjadikannya lebih gebu sebelum duduk dalam keadaan selesa.

Fei Yan kembali ke tempat asalnya di tepi tasik dan tersenyum lebar memandang situasi yang berlaku. Dia berpaling kepada Qiao Chu dan tiba-tiba berkata dengan serius, "Saya baru sedar yang Rolly kamu tu ada satu lagi kebolehan."

"Apa?" Qiao Chu bertanya dengan perasaan ingin tahu. 

"Menggembirakan Jun Xie," kata Fei Yan sambil ketawa besar.

Budak Jun Xie itu sering berwajah serius, dingin dan tidak berperasaan. Dalam keadaan begini yang jarang berlaku, mereka dapat melihat wujudnya rekahan pada wajah dingin itu yang menyerlahkan emosinya. Mujurlah Rolly licik dan "mengorbankan badannya". Dapatlah mereka menikmati suasana yang jarang dapat dilihat ini.

Wajah Qiao Chu berkerut dan menjadi merah padam. Dia menjeling Fei Yan lalu bangun sambil menghentakkan kakinya. Qiao Chu beralih untuk duduk di sebelah Fan Jin pula.

"Budak-budak tak guna ni, seorang pun tak normal. Saya rasa kamu yang paling normal dalam kalangan kita." Qiao Chu berasa terganggu dengan rakan-rakannya yang lain dan cuba memancing simpati Fan Jin yang lebih rasional.

Mulut Fan Jin menggerenyet. Di dalam hatinya, dia berkata, 'Kamu tak sedar ke yang kamu tu pun tak normal!'

Walaupun Rolly dan Ular Tulang Berkepala dua itu masih menanggung kecederaan, berdasarkan saiz kedua-duanya yang besar serta kuasa yang dapat dikesannya, Fan Jin percaya yang kedua-dua roh berkontrak ini berada pada gred yang teramat tinggi! Lebih tinggi daripada mana-mana roh berkontrak yang Fan Jin pernah lihat sebelum ini.

Sekumpulan pelajar kampus cawangan yang mempunyai kemahiran dan kuasa yang lebih hebat daripada Fan Jin. Malah mereka juga mempunyai roh berkontrak yang mampu membuatkan roh berkontrak Fan Jin sendiri berasa gerun dan hormat.

Jun Xie telah mengumpulkan pemuda-pemuda ini untuk menyertai kumpulan mereka. Dari mana datangnya pemuda-pemuda yang berkuasa hebat ini? Dari bawah batu ke?

Mereka semua sama saja dengan Jun Xie. Kuat dan menggerunkan!

Keyakinan diri Fan Jin telah dihancurkan oleh Qiao Chu dan rakan-rakannya. Dia tiba-tiba berasa amat sedih dengan pelajar-pelajar lain yang telah mencemuh dan mengejek kumpulan ini sebelum mereka masuk ke dalam hutan. Fan Jin bukannya bergabung tenaga dengan sekumpulan parasit yang bergantung pada kuasanya untuk berlindung. Tetapi sebenarnya dia membentuk kumpulan dengan orang-orang yang handal dan kuat sehingga melangkaui jangkaannya!