webnovel

Turun ke Dasar Cenuram (2)

Dịch giả: EndlessFantasy Translation Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

"Kami ada di bawah ni, Cik Muda," kata Ye Mei dan Ye Sha dengan serentak.

"Macam mana dengan keadaan di bawah?" tanya Jun Wu Xie. Hasil bantuan kuasa rohaninya, Jun Wu Xie dapat melemparkan suaranya tanpa perlu bercakap dengan kuat.

"Darjah penglihatan tersangat rendah dan suhu juga agak sejuk. Saya cadangkan Cik Muda dan yang lain tidak berehat terlalu lama. Kabus di sini agak aneh dan mempercepatkan penyusutan kuasa rohani. Kalau kita berada dalam kabus ini untuk jangka masa yang panjang, kita akan kehilangan lebih banyak kuasa rohani." Suara Ye Sha membelah kabus itu dan sampai ke telinga mereka.

Dia hanya berjarak sepuluh meter lebih bawah berbanding Jun Wu Xie dan rakan-rakannya. Namun keadaan kabus yang menyelubungi Ye Sha dan Ye Mei ternyata berbeza dengan kabus yang mereka baru saja tempuhi tadi. Seolah-olah ada sesuatu di dalam kabus di bawah ini yang menyusutkan kuasa rohani mereka.

Kata-kata Ye Sha membuatkan hati para pemuda itu menjadi gelisah. Walaupun mereka sudah bersedia dari segi mental sebelum ini dan sedar bahawa Cenuram Penghujung Syurga itu dipenuhi rintangan, mereka tidak menyangka kabus itu sendiri pun begitu berbahaya.

"Tiba-tiba saya rasa sangat kagum dengan Mu Qian Fan dan rakan-rakannya. Macam mana mereka mampu lakukan semua ni?" Qiao Chu merintih. Tempat ini dipenuhi bahaya. Memang menakjubkan Mu Qian Fan dan rakan-rakannya, yang semuanya adalah orang dari Alam Bawahan, berjaya sampai ke dasar cenuram.

Mu Qian Fan pula berjaya kekal selamat dan dapat kembali dari situ. Memang sukar dipercayai!

"Sebagai pengembara berpengalaman, Mu Qian Fan dan orang-orangnya tentu lebih bersedia menghadapi tempat begini berbanding kita. Saya rasa mereka ada cara tersendiri." Hua Yao menyampuk.

"Kabus di sekeliling kita ni belum menunjukkan tanda-tanda sedang menyusutkan kuasa rohani. Tapi makin kita turun ke bawah, saya percaya situasinya akan sama seperti apa yang Ye Sha katakan tadi." Rong Ruo telah menyeru Kupu-kupu Neraka untuk memeriksa udara di sekeliling mereka.

"Cuba pulihkan kembali kuasa fizikal dan rohani kamu di sini seberapa boleh. Lepas ni kita tak ada masa untuk berehat." Jun Wu Xie memakan bekalan daging keringnya. Menelan kepingan daging yang sejuk dan keras itu ibarat menelan batu kerikil.

Mereka semua berhenti bercakap dan mengikut arahan Jun Wu Xie supaya berehat selama mungkin dan menyimpan kuasa rohani sebanyak yang boleh.

Selepas berehat seketika, mereka meneruskan perjalanan turun sekali lagi.

Selepas turun sedikit lagi, mereka akhirnya dapat merasai fenomena yang Ye Sha sebutkan tadi.

Tenaga rohani yang mereka gunakan untuk menyelubungi tubuh mereka seolah-olah menipis dan tidak lagi membentuk lapisan perlindungan. Tenaga rohani itu hilang sedikit demi sedikit, memaksa mereka menggunakan lebih banyak tenaga untuk menutup semula bahagian di mana lapisan perlindungan itu mula lenyap.

Suhu sekeliling juga amat sejuk. Walaupun sudah memakai pakaian yang amat tebal, Jun Wu Xie masih dapat merasakan kedinginan yang membekukan mukanya. Kelembapan di udara menyebabkan kedinginan itu meresap ke dalam tulang.

Dalam keadaan sebegini, mereka akan mudah mengalami luka beku jika mereka tidak melindungi diri menggunakan kuasa rohani.

Saat berlalu menjadi minit. Jun Wu Xie terus menghitung detik di dalam mindanya. Darjah penglihatan si sekelilingnya semakin rendah sehinggakan dia tidak dapat melihat kelibat Rong Ruo dan Qiao Chu dengan jelas. Tidak lama kemudian, bayang-bayang mereka turut hilang apabila keadaan menjadi gelap gelita. Tangannya sendiri pun tidak dapat dilihatnya.

Kesunyian menyelubungi Jun Wu Xie. Hanya kedengaran bunyi sarung tangannya yang bergeser dengan tali kasar serta bunyi batu-batu kecil kerikil yang jatuh ketika dia memijak cenuram.

Di dalam kegelapan ini, kesunyian itu meningkatkan lagi perasaan takut di dalam hati mereka terhadap sesuatu yang tidak dapat dilihat dan tidak diketahui. Begitu ramai orang sudah terkorban di Cenuram Penghujung Syurga dan ini mengingatkan mereka tentang tahap bahaya yang terselindung di sebalik tempat ini!

'Sha sha…..'

'Sha sha…..'

Tiada apa lagi yang dapat didengar selain bunyi-bunyi ini.

Permukaan cenuram itu menjadi basah dan licin. Kalau mereka tidak berhati-hati memilih tempat berpijak, bila-bila masa sahaja mereka boleh terseliuh.

Setiap langkah yang diambil, setiap inci mereka turun, mereka semakin perlu berwaspada..