webnovel

Tiada Siapa Boleh Membuli Pesakit Saya (4)

Dịch giả: EndlessFantasy Translation Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

Lelaki ini memandang Jun Wu Xie sambil seluruh badannya menggigil. Walaupun anak muda di hadapannya ini kelihatan kurus dan lemah, lelaki itu tidak berani memandang rendah padanya.

Seseorang yang mampu mengarahkan Binatang Roh Gred Penjaga yang bertaraf legenda. Tak mungkin dia hanya anak muda biasa.

Walaupun jumlah mereka ramai, sewaktu berdepan dengan kekuatan Binatang Roh Gred Penjaga itu, tak ada seorang pun mampu melarikan diri. Semuanya dapat ditangkap. Walaupun mereka telah berpecah dan menyembunyikan diri di sebalik pokok-pokok yang tebal di dalam hutan itu, tak ada siapa pun yang bertuah untuk dapat menyelamatkan diri.

Selepas menyedari kekuatan Binatang Roh Gred Penjaga yang sukar dipercayai ini, mereka semua terus berputus asa.

"Saya… saya…" Lelaki itu jelas kaku seketika dan matanya kelihatan licik. Dia asyik memandang-mandang di sekelilingnya.

Mata Jun Wu Xie mengecil sedikit. Tuan Embek Embek yang bijak itu terus dapat mengesan kejengkelan "Cik Pemberi Makan" lalu secara curi-curi mengibas salah satu ekornya. Lelaki bermata licik itu terus dihentam ke tanah!

Kibasan bersahaja seekor Binatang Roh Gred Penjaga ibarat satu daya yang tak akan dapat ditahan oleh seorang manusia biasa!

"ARRGH! !" Satu jeritan yang membingitkan telinga dilepaskan oleh lelaki itu. Apabila Tuan Embek Embek mengalihkan ekornya, seluruh badan lelaki itu sudah terbenam ke dalam tanah. Tulangnya patah riuk di beberapa tempat dan darah mengalir keluar dari tubuhnya lalu menukarkan tanah menjadi warna merah pekat!

Lelaki itu mengerang lemah. Tubuhnya tersentak-sentak beberapa kali sebelum dia terus berhenti bergerak.

"….." Tuan Embek Embek merenung lelaki yang baru sahaja dihentamnya ke tanah itu lalu mengelipkan mata beberapa kali sebelum berpaling memandang Jun Wu Xie. Apabila terlihat mata Jun Wu Xie perlahan-lahan bertukar dingin, Tuan Embek Embek berasa seram sejuk. Ia cepat-cepat mengorek lelaki itu keluar dan meletakkan tubuh lelaki itu ke atas tanah dengan perlahan-lahan. Agak lama juga Tuan Embek Embek menggoyang-goyang dan menujah-nujah tubuh lelaki itu dengan lembut...

Hasilnya...

Lelaki itu memang sudah mati! Tidak syak lagi!

Malah hidungnya juga penyek, hampir terperosok ke dalam mukanya. Tulang rusuknya yang patah terkeluar dari dadanya. Tak mungkin lelaki ini dapat diselamatkan.

"….." Tuan Embek Embek menjadi kaku. Telinganya yang tajam itu dirapatkan ke kepalanya tanda kesal. Tuan Embek Embek tunduk dengan sedih dan tidak berani memandang mata Jun Wu Xie.

[Mana saya tahu lelaki ini sangat rapuh!? Saya hanya "membelai" dia dengan ekor saya secara perlahan. Tiba-tiba mati pula!]

[Dia ni mudah sangat patah!]

Jun Wu Xie menjeling sekilas pada mayat lelaki itu kemudian mengalihkan pandangannya pada kumpulan lelaki yang sedang terpaku itu.

Lelaki-lelaki ini tidak sedar tentang "perbualan" mata di antara Jun Wu Xie dan Tuan Embek Embek. Mereka hanya nampak Bos mereka dibunuh tanpa sebarang keraguan, dalam sekelip mata sahaja! Langsung tidak ada belas kasihan!

Ketika itu, mereka berasa bersyukur kerana masih hidup. Mereka sudah pun berasa amat ketakutan sehingga hampir hilang akal. Sekali pun mereka tidak berani untuk memandang mayat di sebelah mereka itu.

"Kamu, mari sini." Jun Wu Xie mengangkat sebelah tangannya dan menudingkan jari pada seorang lelaki yang sedang memegang busur.

Lelaki itu meraung dan hampir-hampir mahu merayu sebelum dia ditendang oleh rakan-rakannya. Dia jatuh tersungkur, terbaring betul-betul di kaki Jun Wu Xie. Lelaki-lelaki lain di dalam kumpulan itu takut terlibat sekali dan tak ada seorang pun yang bertindak untuk menghulurkan bantuan.

Pemanah yang sedang panik itu terus berlutut dan menundukkan kepalanya ke tanah dengan kuat. Dia begitu takut sehinggakan langsung tidak berani mengangkat kepala dan hanya tunduk melutut sambil menggigil.

"Kamu beritahu saya." Suara Jun Wu Xie yang dingin itu kedengaran dari arah atas kepala lelaki tersebut.

Padanya, suara itu kedengaran seperti bunyi isyarat kematian.

"Bu… bukan… idea saya… untuk membunuhnya. Dia… dia yang… suruh saya buat…" Pemanah itu meniarap di atas tanah ambil tergagap-gagap memberikan jawapan. Sungguh-sungguh dia mengharapkan agar boleh tunduk lebih bawah lagi untuk merayu. 

"Sebab." Jun Wu Xie tidak mahu mendengar alasan yang merepek itu.

Pemanah itu teringat bagaimana Bosnya telah mati lalu tidak teragak-agak untuk berkata, "Dia… dia tak sengaja terdengar perbualan kami. Bos risau hal itu akan terbongkar jadi dia arahkan kami untuk bunuh lelaki ini."