webnovel

Tiada Siapa boleh Membuli Pesakit Saya (1)

Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

Tiba-tiba mereka dikelilingi oleh beberapa roh berkontrak binatang yang menghalang laluan mereka untuk terus ke hadapan!

"AUMMM!!" Binatang hitam itu mengaum dengan penuh ancaman. Roh berkontrak binatang yang lain terus menerkam binatang hitam itu.

Binatang hitam itu tiba-tiba mendapati dirinya bertarung dengan beberapa roh berkontrak binatang.

"Pergilah! Lari! Kenapa kamu tak lari lagi!?" Penjahat yang mengejar mereka sampai di situ. Ada kira-kira sepuluh orang semuanya dan mereka merupakan lelaki-lelaki bertubuh sasa. Sebaik terlihat binatang hitam itu sedang bertarung dengan roh berkontrak mereka, lelaki-lelaki ini tersenyum lebar.

"Roh berkontrak lelaki tu sudah pun kita tewaskan. Binatang hitam ni bukannya roh berkontrak dia. Tak tahu dari mana datangnya. Nampaknya lelaki ini ada teman-teman lain di kawasan ini. Hapuskan dia cepat supaya kita tak hadapi masalah lain." Ketua kumpulan lelaki itu memberikan arahan dengan wajah berkerut. Dia memerhatikan sahaja roh-roh berkontrak mereka bertarung dengan binatang hitam yang ganas itu.

Binatang hitam itu telah dikepung. Dengan kepantasannya yang hebat itu, mudah sahaja untuk binatang hitam ini melarikan diri. Tetapi kepantasannya berkurangan disebabkan terpaksa membawa Mu Qian Fan yang cedera parah di belakang badannya. Keadaan ini menjejaskan kelincahan dan pergerakannya. Selain perlu menangkis serangan roh-roh berkontrak yang lain, binatang hitam ini masih perlu memastikan Mu Qian Fan tidak diserang.

Roh berkontrak jenis binatang yang lain tidak menjadikan binatang hitam itu sebagai sasaran. Setelah berjaya menghalang binatang hitam itu daripada melarikan diri, dua ekor Roh Binatang jenis singa tidak henti-henti menyerang binatang hitam itu dari arah hadapan. Sementara itu, Roh Binatang lain mengelilingi bahagian tepi dan belakang binatang hitam itu kemudian menerkam Mu Qian Fan!

"Aum!" Binatang hitam itu tidak mempedulikan serangan dari hadapan lalu tiba-tiba berdiri di atas kaki belakangnya dan menghayunkan kaki hadapannya dengan kuat. Pukulan itu menghentam kepala salah satu roh binatang tersebut.

Bunyi hentakan yang kuat bergema di udara!

Roh berkontrak itu terpelanting dan terhempas ke sebatang pokok. Daya yang terlalu kuat itu membengkokkan batang pokok itu yang kemudiannya bergetar lalu patah!

Pada ketika yang sama binatang hitam itu membuatkan binatang roh jenis binatang itu terpelanting keluar daripada pertempuran, binatang hitam itu telah membiarkan dirinya terdedah dengan serangan dari roh binatang. Dalam sekelip mata, satu ketulan daging yang agak besar di bawah perutnya telah dicarik. Dalam kekecohan itu, satu roh binatang yang bersaiz kecil telah menyelinap melalui bahagian bawah!

Setelah diserang begitu, makhluk roh sekalipun akan mengalami seksaan yang hebat.

Binatang hitam itu bergolek untuk melepaskan diri dari kepungan musuh. Kemudian ia berdiri sambil tercungap-cungap. Badannya menggerenyet akibat kesakitan yang dirasainya dari bahagian bawah perutnya.

Kalau bukan kerana Mu Qian Fan berada di belakangnya, pastinya binatang hitam ini sudah menelan makhluk-makhluk jahat yang menjengkelkan ini satu per satu!

Beberapa pancaran dingin meluru ke arahnya. Binatang hitam itu cepat-cepat melompat. Tiga batang anak panah kuat tertusuk ke tanah, tepat terkena tempat di mana binatang hitam itu berdiri tadi!

Seorang pemanah menyediakan busurnya. Sebatang anak panah ditarik ke belakang dan disasarkan tepat pada binatang hitam itu. Senyuman kejam muncul di bibirnya.

"Kasihannya kamu ni. Saya ingin bermain-main dengan kamu lagi, tapi sayangnya Bos kami sudah mengarahkan yang lelaki di belakang badan kamu itu mesti dibunuh." Pemanah itu tersenyum sinis dengan kejam.

Binatang hitam itu begitu teringin untuk mencarik-carik pemanah itu sehingga hancur, tetapi roh-roh berkontrak jenis binatang yang lain sekali lagi mengelilinginya dan menyerang dari setiap arah. Binatang hitam itu perlahan-lahan tunduk di bawah serangan bertalu-talu itu. Lebih banyak luka muncul di badannya dan ia tidak dapat mencari jalan keluar daripada kesusahan ini!

"Tinggalkan saya…" Mu Qian Fan merayu pada binatang hitam itu. Hatinya berasa pedih. Dia sedar yang dia tidak akan dapat hidup lama lagi. Kalau keadaan ini berterusan, binatang hitam itu akan turut berada dalam bahaya bersama-sama dengannya.

Jun Wu Xie telah menyelamatkan nyawanya. Dia tidak boleh membiarkan roh berkontrak Jun Wu Xie cedera parah begini!

Binatang hitam itu memukul seekor lagi Binatang Roh yang menerkamnya, sedikit pun ia tidak menunjukkan tanda-tanda ingin melepaskan Mu Qian Fan.

Sebaik kumpulan lelaki itu terlihat binatang hitam itu perlahan-lahan tenggelam dalam perangkap maut mereka, kedengaran satu ngauman yang membelah langit dan menggegarkan bumi!

Semua daun-daun pada pokok di sekeliling mereka berdesir dengan kuat sewaktu ngauman membingitkan itu bergema!

Binatang-binatang roh yang mengepung binatang hitam itu terus menjadi kaku sebaik terdengar ngauman yang mengerikan itu lalu menggeletar dengan tidak berdaya. Masing-masing mengerekotkan ekor dengan ketat. Mata binatang-binatang roh ini tiba-tiba dipenuhi perasaan gerun yang tidak berpenghujung!