webnovel

Tersembunyi Daripada Musuh (1)

Dịch giả: EndlessFantasy Translation Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

Malam itu selepas ahli rombongan itu sudah kenyang dengan wain dan makanan yang disajikan di jamuan itu, Mo Qian Yuan dan Bai Yun Xian membawa Qin Yu Yan serta Jiang Chen Qing ke istana di mana Mo Xuan Fei ditempatkan.

Sebelum mereka sampai ke depan pintu sekalipun, Qin Yu Yan sudah dapat menghidu bau busuk daging reput, bercampur dengan bau-bauan pelbagai herba. Bau herba yang kuat sekalipun tidak mampu menutup bau busuk itu.

Pintu dibuka dan di dalam istana itu, ada seorang lelaki sedang duduk di atas kerusi roda.

Tidak.

Lebih tepat lagi, ini ialah mayat yang sedang membusuk. Daging reput meliputi tulangnya yang terdedah. Dia memakai pakaian, tetapi bahagian badannya yang tidak ditutup, tidak ada satu sekalipun yang tidak terkesan dengan penyakitnya. Ada nanah yang kuning dan pekat di luka-lukanya yang berdarah, menitik-nitik daripada muka, leher dan tangan lelaki ini. Kalau dadanya tidak turun naik dengan lemah, tidak ada tanda-tanda yang lelaki ini masih hidup.

Jiang Chen Qing yang keras dan tegas sekalipun amat terkejut melihat keadaan Mo Xuan Fei, sehingga menarik nafas dalam.

Tindakan itu menyebabkan bau busuk itu masuk hingga ke paru-parunya dan hampir membuatkan dia pengsan.

Lelaki ini masih hidup? Ini jelas sekali cuma mayat yang sedang reput.

Keadaan mereput yang berterusan itu telah menyebabkan Mo Xuan Fei kehilangan semua rambutnya. Kulit kepalanya yang nipis kelihatan cemamai dan tulang tengkoraknya jelas kelihatan.

Senyuman di wajah Qin Yu Yan menjadi kaku dan tangannya menggeletar.

Mo Qian Yuan memerhatikan reaksi mereka dengan teliti dan berasa seronok di dalam hatinya. Secara berhati-hati, dia memandang satu susuk tubuh yang berdiri di sudut bilik itu. Badan Jun Wu Xie kecil sahaja dan pakaian sida-sida istana menyembunyikan bentuk badannya sebagai seorang wanita. Wajahnya yang kecil tersembunyi dalam kalangan kakitangan istana yang lain. Dia langsung tidak menonjol.

"Inilah Adinda Beta. Dia sudah lama diracun. Kalau tak kerana usaha Cik Bai, Adinda Beta tidak akan dapat bertahan sehingga sekarang. Beta merayu pada Cik Qin untuk memeriksanya."

Senyuman Qin Yu Yan agak kekok. Sewaktu dia dengar tentang Mo Xuan Fei yang telah diracun, dia sudahpun bersedia. Namun dia tidak pernah menjangkakan yang Mo Xuan Fei akan bertukar menjadi makhluk yang hodoh seperti ini….

Adakah ini masih dianggap manusia?

Ini cuma setimbun daging reput!

"Pak Cik Jiang ialah seorang yang disegani dalam Kumpulan Qing Yun, serta mempunyai kemahiran perubatan yang luar biasa. Benarkan dia memeriksa Adinda Tuanku." Qin Yu Yan menenangkan dirinya dan mengembalikan senyuman lembut dan anggun di wajahnya. Dia langsung tidak mahu mendekati Mo Xuan Fei.

Putera Kedua yang telah menggoda ramai gadis di seluruh Kerajaan Qi kini mempunyai wajah yang mampu membuatkan gadis-gadis yang melihatnya pengsan kerana ketakutan.

Jiang Chen Qing terkejut dengan keadaan Mo Xuan Fei, tetapi mereka telah berjanji untuk memberikan bantuan. Jadi, dia tidak ada pilihan selain meneruskan sahaja.

Jiang Chen Qing berjalan ke arah Mo Xuan Fei dengan ekspresi gelap di wajahnya. Qin Yu Yan mengalihkan pandangannya ke arah Bai Yun Xian, yang tidak berhenti-henti merenung Mo Xuan Fei. Mata Bai Yun Xian menunjukkan ketakutan dan harapan.

"Yun Xian, kamu benar-benar cintakan dia," kata Qin Yu Yan sambil ketawa.

Bai Yun Xian hanya fokus pada diagnosis Jiang Chen Qing. Dia tidak begitu memberi perhatian pada kata-kata Qin Yu Yan dan mengangguk tanpa sedar.

Di satu sudut, Jun Wu Xie yang sedang menyamar sebagai sida-sida, memerhatikan reaksi ketiga-tiga orang ini. Jiang Chen Qing mungkin berpangkat Tuan Tua dalam Kumpulan Qing Yun, tetapi melalui perbualan mereka, dapat disimpulkan yang Qin Yu Yan mempunyai kuasa untuk mengarahkan dia. Jelas sekali yang Qin Yu Yan ialah ketua delegasi Kumpulan Qing Yun ini.

Qin Yu Yan kelihatan seperti sedang risaukan hubungan di antara Bai Yun Xian dan Mo Xuan Fei, tapi sebenarnya dia sedang cuba memastikan sama ada Bai Yun Xian benar-benar mahu menyelamatkan Mo Xuan Fei.