webnovel

Teratai Bertempur (1)

Dịch giả: EndlessFantasy Translation Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

Seolah-olah ada ribut di dalam mata Jun Wu Xie sewaktu dia memandang si bunga dan si binatang yang sedang bergumpal itu. Pandangan matanya yang dingin tertumpu pada kabinet wain di sudut bilik itu. Di situlah tempat dia menyimpan balang balang berisi wain Nektar Jed yang telah dia susun dan asingkan dengan susah payah sebelum ini. Kini semuanya sudah berselerak dan balang-balang yang kosong dibiarkan tunggang-langgang. Banyak lagi balang yang pecah di atas lantai, menumpahkan Nektar Jed yang berharga itu. Patutlah dia dapat menghidu haruman yang begitu kuat!

Apa yang dilihatnya ini membuatkan pandangan matanya menjadi lebih dingin, dan matanya mengecil penuh ancaman.

"Pisahkan mereka," kata Jun Wu Xie dengan perlahan.

Jun Wu Yao tahu yang gadis itu sedang bercakap dengannya dan tanpa sebarang kata, dia masuk ke 'medan perang' itu dan mencapai Teratai Mabuk.

Teratai Mabuk yang terlalu fokus dalam pembalasan dendam peribadinya, tidak perasan kepulangan Jun Wu Xie sehinggalah Jun Wu Yao mendekatinya. Dia mendongak dengan terkejut.

Malangnya, dia terlalu lewat menyedarinya.

Pada saat Teratai Mabuk mengangkat kepalanya, Jun Wu Yao sudahpun mencengkam bahunya. Tangan yang sangat kuat itu memegangnya begitu erat sehingga dia merasakan tulang-tulang bahunya hampir patah.

"Tak guna!" Teratai Mabuk menyumpah seranah. Dia memusingkan badannya yang lincah dan membuat gerakan balas dengan mencengkam siku Jun Wu Yao, berdiri teguh dan melonjak ke atas.

Jun Wu Yao tetap berdiri, seperti gunung yang tidak dapat digerakkan. Dia mengangkat keningnya memandang pemuda tampan yang mabuk itu.

"Agak bagus juga pergerakan kamu itu, tetapi digunakan pada lawan yang salah." Jun Wu Yao tersenyum dan tangan yang memegang bahu Teratai Mabuk itu dipulas. Kesengsaraan muncul di mata Teratai Mabuk dan dia merasakan kekuatannya mengalir keluar daripada badannya.

Binatang hitam itu melompat setelah mendapat kebebasannya, tetapi lehernya dicengkam dan binatang hitam itu diangkat dengan mudah. Dengan marahnya, binatang hitam itu berpaling dan berhadapan dengan...

Sepasang mata berwarna ungu yang menyebabkan semangat bertempur yang membara di dalam diri binatang hitam itu lenyap sepenuhnya. Binatang hitam itu longlai di dalam cengkaman tangan yang besar itu.

"Dah cukup?" Jun Wu Xie bertanya dengan tenang sambil tangannya disilangkan. Wajahnya tidak berperasaan sewaktu dia merenung kedua-dua samseng yang dipegang oleh Jun Wu Yao.

Berapa lama dia telah meninggalkan mereka?

Binatang hitam itu dan Teratai Mabuk menjadi lemah sebaik mereka terpandang Jun Wu Xie.

Pandangan matanya yang dingin dapat dirasakan oleh kedua-duanya yang terus menundukkan kepala mereka sewaktu pandangan mata itu merenung wajah mereka yang bersalah. Mata dingin itu memandang si hitam berbulu itu kemudian beralih ke wajah yang tampan, sebelum kembali memandang binatang hitam itu.

"Cakap!" Suara itu membekukan hati mereka.

Binatang hitam itu meringking.

[Cik! Tak lama selepas Cik pergi, pencuri itu mencuri wain Cik yang berharga! Saya cuba menghentikan dia! Kemudian dia bertukar rupa dan berani memukul saya…]

Ini ialah pertemuan kedua binatang hitam itu dengan Teratai Mabuk. Pada kali pertama, mereka tidak bergaduh kerana Jun Wu Xie ada di situ. Pertemuan kedua mereka hari ini bermula sebaik Jun Wu Xie berlalu pergi. Ketamakan Teratai Kecil telah menguasainya dan dia terkedek-kedek menuju kabinet simpanan wain. Sebaik dia dapat mencapai balang-balang itu, dia minum Nektar Jed dengan banyak. Kucing hitam kecil itu mendapat tahu dan terus cuba menghentikannya. Teratai Kecil menjadi mabuk dan bertukar menjadi Teratai Mabuk yang menawan. Dia tidak mempedulikan rayuan kucing hitam kecil itu dan terus minum berbalang-balang Nektar Jed lagi.

Berasa tidak berdaya, kucing hitam kecil itu bertukar menjadi bentuk binatang hitam dan berlawan dengan Teratai Mabuk.

Malangnya niat yang mulia itu berakhir dengan...tragedi.

Binatang hitam itu telah menerkam dengan berani tetapi dengan hanya satu tumbukan, pemuda yang kurus dan kelihatan seperti tidak cukup zat itu membuatkan binatang hitam itu rebah, dan pemuda itu duduk di belakang binatang hitam itu sepanjang malam. Binatang hitam itu berasa sedih dengan segala-galanya yang berlaku!

Binatang hitam itu berjaya membaham Singa Emas, tetapi berhadapan dengan si bunga kecil yang kurus dan tak tahu malu itu, binatang hitam ini telah dimalukan dan menjadi tidak berdaya… Sungguh tak masuk akal!

Sejuta cara untuk menghukum mereka bermain-main di minda Jun Wu Xie. Tetapi setelah mendengar cerita kucing hitam kecil itu tentang apa yang berlaku pada malam itu, Jun Wu Xie menjadi serius dan kemarahan lenyap daripada matanya. Sambil asyik berfikir, dia berjalan lalu berdiri di hadapan Teratai Mabuk.