webnovel

Tamparan Ketujuh (7)

Dịch giả: EndlessFantasy Translation Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

"Apa yang telah kami lakukan sehingga Cik merasakan kami sudah mungkir janji?" Fan Qi menyapu keningnya yang sedang dibasahi peluh.

Mata Jun Wu Xie yang dingin itu memandang kerumunan orang ramai yang berkumpul tanpa menjawab pertanyaan Fan Qi. Kemudian matanya tertumpu pada seseorang yang berada dalam kalangan para pelajar di situ.

"Long Qi."

"Saya menantikan arahan Cik."

"Pergi."

"Baik!"

Suara Long Qi yang jelas dan kuat itu masih lagi terngiang-ngiang sewaktu dia meluru seperti puting beliung ke arah kerumunan itu. Kedengaran beberapa jeritan terkejut ketika Long Qi sepantas kilat menyambar dua orang dalam kalangan para pelajar itu dan pantas kembali ke sisi Jun Wu Xie sekali lagi. 

Tiba-tiba kedengaran dua raungan. Dua orang dicampakkan ke kaki Jun Wu Xie dan mula menggigil tanpa kawalan.

Mereka yang dilempar seperti kain buruk itu ialah Ning Xin dan Yin Yan. Mereka langsung tidak terfikir akan ditarik keluar oleh Long Qi sendiri dan berada dalam keadaan yang memalukan di hadapan seluruh pelajar yang berkumpul.

Apabila Ning Rui melihat anak perempuannya dilayan sebegitu, wajahnya berubah. Dia terus melangkah ke hadapan.

"Cik Jun, apa maksud semua ini?"

Jun Wu Xie tersenyum sinis dan berkata, "Apa maksudnya? Belum cukup jelas lagi? Kamu semua fikir menyingkirkan beberapa orang pelajar itu sudah cukup untuk menyelesaikan masalah ini? Secara terang-terangan kamu menyembunyikan dalang sebenar di sebalik rancangan tersebut. Apa? Kamu fikir hanya kerana Tentera Rui Lin ini berasal dari Kerajaan Q yang jauh, kamu boleh mendiamkan hal ini dengan begitu mudah?"

Sambil bercakap, Jun Wu XIe membongkok lalu menggenggam rambut Ning Xin. Dia menarik dengan kuat sambil berdiri.

Kesakitan yang tajam di seluruh kulit kepalanya itu membuatkan Ning Xin menjerit dan meraung dengan hiba. Yin Yan yang berada di sebelahnya juga menangis ketakutan sambil mengerekot dan mengecilkan diri. Air mata dan hingus membasahi mukanya.

"Berhenti!" Mata Ning Rui membara melihat anak tunggalnya itu diperlakukan sebegitu oleh Jun Wu Xie.

"Berhenti?" Jun Wu Xie ketawa dingin. "Saya beri peluang pada kamu semua. Kalau kamu uruskan hal itu dengan adil dan tidak berat sebelah, saya tidak akan ambil tindakan. Tapi jelaslah hanya orang suruhan yang dihukum sementara dalang di sebalik semua ini disembunyikan untuk menutup kebenaran. Perlukah saya ingatkan? Penjahat yang bersalah kerana mengumpan Binatang Roh Gred Penjaga untuk cuba membunuh orang-orang daripada Tentera Rui Lin dan Puncak Menjejak Awan ialah mereka berdua. Inikah jawapan yang pihak kamu berikan pada kami?"

Setelah mendengar kata-kata Jun Wu Xie, kekecohan tercetus dalam kalangan kerumunan di sekeliling mereka.

Apa yang Lu Wei Jie katakan ketika dia pergi dari situ sudah pun menanamkan benih curiga di hati para pelajar ini. Segala yang Jun Wu Xie katakan hanya menukarkan kesangsian mengenai kesalahan Ning Xin dan Yin Yan menjadi kepastian!

Yin Yan dan Ning Xin berada dalam kumpulan yang sama dengan Lu Wei Jie sewaktu Perburuan Roh. Semua ahli kumpulan itu telah dihalau keluar daripada Akademi Zephyr, kecuali mereka berdua yang masih ada di sini. Situasi di sebalik kejadian ini amat mencurigakan.

"Cik Jun pasti sudah tersalah faham. Hal itu tak ada kena-mengena dengan mereka berdua. Lu Wei Jie yang melakukan semuanya," kata Ning Rui yang cuba sedaya-upaya untuk menahan kemarahannya yang sedang membuak-buak.

Tangan Ning Xin memegang kepalanya. Dia menggigil seperti anak burung yang baru menetas. Ning Xin cepat-cepat meniru kata-kata ayahnya.

"Lu Wei Jie yang buat! Lu Wei Jie lakukan semuanya! Saya tak terlibat!"

"Oh?" Jun Wu Xie menyentap tangannya dengan kuat. Ning Xin menjerit dengan sangat kuat sehingga tidak mampu berkata apa-apa.

"Kalau tak silap saya, gadis ini ialah anak tunggal Naib Guru Besar Akademi Zephyr, bukan? Dan pemuda yang sedang mengerekot itu ialah orang suruhannya. Kata-kata yang Akademi Zephyr ucapkan ini memang kedengaran elok sahaja, tetapi realitinya, kamu menunjukkan yang kamu juga mampu menyalahgunakan kuasa dan kedudukan untuk melindungi kepentingan diri sendiri, bukan? Nangong Xu, datang ke mari sekarang!"

Jun Wu Xie mendesak dengan kuat dan nada suara yang menggerunkan.

Nangong Xu turut terkejut dan cepat-cepat melangkah ke hadapan.

"Kamu tahu apa yang berlaku pada hari itu. Beritahu pada Naib Guru Besar kamu ini," cemuh Jun Wu Xie.