webnovel

Tamparan Keenam (5)

Dịch giả: EndlessFantasy Translation Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

Orang yang telah mendedikasikan seluruh hidupnya ke arah menjadikan Kumpulan Qing Yun semakin baik ialah orang yang sama bersubahat dengan pihak musuh untuk memusnahkan Kumpulan Qing Yun ini sepenuhnya.

Pemerintah dan Tuan Tua lain sukar mempercayainya!

Sebagai balasan terhadap jeritan Qin Yue Yang kedengaran terdesak itu, Mu Chen hanya berpusing perlahan-lahan untuk menghadapnya. Suara Mu Chen kedengaran jijik sewaktu dia berkata dengan perlahan, "Tempat ini bukan lagi Kumpulan Qing Yun yang sama yang saya kenali dan hargai. Kalau Kumpulan Qing Yun terus wujud dalam keadaannya sekarang, saya lebih rela memilih supaya kumpulan ini lenyap sepenuhnya."

Kesucian kumpulan ini sudah teruk dicemari kekotoran yang sudah berakar umbi dan berleluasa sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Memang selayaknya kumpulan ini dihapuskan!

Qin Yue merenung Mu Chen dengan kemarahan yang tidak terbendung. Dia tidak dapat menduga dan mengagak bila sebenarnya Mu Chen memulakan persekutuannya dengan ketiga-tiga pemuda ini. Mu Chen selama ini sudah diracun teruk, bagaimana pula dia boleh menyertai mereka?

Persoalan demi persoalan ini berlegar-legar di minda Qin Yue dan tak lama kemudian dia tiba-tiba mendapat jawapannya.

Keadaan Mu Chen yang terlantar akibat diracun itu hanyalah muslihat untuk mendapatkan simpati Tuan Tua lain! Mu Chen tidak banyak bercakap tetapi setiap butir kata-katanya menyemarakkan api yang sedang membara di dalam hati Qin Yue!

"Kau fikir kalau kau bunuh aku dan Tuan Tua lain di sini, kau masih boleh keluar dari Kumpulan Qing Yun ini hidup-hidup? Jangan mimpilah! Semua pengikut-pengikut di dalam dua belas puncak ini tak akan membiarkan kau terlepas begitu saja! Puncak Berawan ini akan menjadi tempat persemadian kau semua!" Qin Yue yang sedang marah dan takut, menjerit jengkel. Dia cuba melepaskan kemarahannya dan menyembunyikan perasaan gerun di dalam hatinya.

Jun Wu Xie ketawa. Hilai tawanya yang merdu jelas bergema di dalam dewan itu. Dia menggelengkan kepala mendengar ugutan kosong Qin Yue. Lelaki itu berdiri kaku, mukanya pucat.

"Mustahil! Kau tak akan berjaya di sini hari ini!" Qin Yue bersusah-payah mahu kekal tenang. Namun ada suara hatinya mengatakan anak muda di hadapannya ini seolah-olah mampu melaksanakan apa yang dikatakan.

Jun Wu Xie tersenyum sambil mengeluarkan sebiji pil berlilin.

"Pil ini mengandungi kabus beracun. Dalam masa sejam saja, sewaktu matahari memuncak, kepanasan itu akan mencairkan lapisan lilin ini dan kabus beracun akan tersebar. Tersentuh atau terhidu sedikit saja sudah cukup untuk meragut nyawa seseorang."

Jun Wu Xie menunjukkan pil itu kepada Qin Yue dan Tuan Tua lain. Senyumannya semakin berseri-seri. Dia telah mencipta kabus beracun ini dengan menambah baik kesan daripada Asap Tunggal milik Ke Cang Ju. Kabus ini tidak berbentuk dan mustahil seseorang itu dapat melarikan diri daripadanya. Hanya pakar yang paling berkemahiran tinggi melebihi pakar roh indigo saja yang dapat menahan kesan kabus racun ini dan berpeluang untuk selamat.

"Kebanyakan pil ini sudah diletakkan di seluruh kawasan sebelas puncak Kumpulan Qing Yun. Kabus beracun ini akan menghantar pengikut-pengikut kamu menuju neraka." Jun Wu Xie tersenyum lebar sewaktu mengatakannya. Matanya bersinar dengan niat membunuh.

"Bila….kau rancang semua ini….." Qin Yue merenung Jun Wu Xie. Matanya terbeliak akibat ketakutan dan dia mula menggigil.

Kalau apa yang budak muda ini katakan bukannya sekadar tipu muslihat… Kumpulan Qing Yun yang kuat ini serta pengikut-pengikutnya yang ramai…..akan musnah!

Jun Wu Xie membalas dengan bersahaja, "Selepas kamu bersetuju untuk membenarkan Ke Cang Ju memilih para pengikut dari puncak-pucak lain."

Qin Yue menarik nafas dalam dan hampir rebah ditimpa kekalahan!

Semua puncak-puncak itu mempunyai pengawal sendiri yang menghalang orang luar masuk tanpa kebenaran. Mustahil untuk ketiga-tiga pemuda ini masuk dan menanam pil beracun itu di dalam puncak-puncak berkenaan tanpa dikesan. Tetapi menggunakan persetujuan dan arahan daripada Pemerintah, mudah saja mereka melakukannya!

Qin Yue akhirnya sedar pada ketika itu. Apa yang budak muda bertubuh kecil molek ini mahukan bukanlah menghasut barisan Tuan Tua untuk menentang Pemerintah. Apa yang dia mahu capai sebenarnya ialah membiarkan pemilihan pengikut itu menarik perhatian Tuan Tua lain sepenuhnya lalu membenarkan ketiga-tiga pemuda ini menanam pil berkenaan di seluruh puncak-puncak itu tanpa dapat dikesan. Ini membolehkan mereka menyempurnakan rancangan untuk menghapuskan seluruh Kumpulan Qing Yun!