webnovel

Tamparan Berturut-turut - Bentuk Pertama (4)

Dịch giả: EndlessFantasy Translation Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

Li Zi Mu mendapati bahunya digenggam oleh kedua-dua pemuda itu dan dia ditolak dengan kuat sehingga tersandar di sebatang pokok. Dia merasakan seolah-olah tulang belakangnya hampir patah dua akibat hentakan ke batang pokok yang tajam berbonjol-bonjol. Li Zi Mu tiba-tiba berasa mual.

"ARRGGHH! Kamu buat apa ni? Lepaskan saya! Saya ni pelajar fakulti Pemulh Roh, tahu! Berani kamu melayan saya dengan begitu biadab? Sebaik kita balik ke akademi nanti, saya akan ajar sampah-sampah macam kamu ni!" Mata Li Zi Mu terbeliak. Dia kelihatan tidak percaya dengan serangan tiba-tiba dari Hua Yao dan Qiao Chu.

Serangan itu membuatkan Fan Jin terkejut dan dia hanya mampu berdiri pegun. Dia berpusing untuk memandang Jun Xie. Matanya menunjukkan perasaan gerun dan tidak selesa.

"Kalau tak sanggup tengok, kamu boleh ke tempat lain dulu." Jun Xie memandang Fan Jin seketika sebelum berpusing dan berjalan ke arah Li Zi Mu.

Fan Jin merasakan jantungnya tersentak. Hatinya mengatakan, apa yang Jun Xie suarakan sebelum masuk ke Hutan Roh Pertempuran sebelum ini bukannya satu gurauan!

Kini Jun Xie akan merealisasikan ramalan yang dibuatnya sebelum ini!

"Jun Xie!" Fan Jin secara separa sedar menarik lengan Jun Xie, memandangnya dengan penuh ketakutan.

Namun sewaktu terpandang mata Jun Xie yang dingin, Fan Jin mendapati genggaman tangannya menjadi longgar.

Sementara itu, Li Zi Mu sedang menjerit tanpa henti. Fei Yan berjalan perlahan-lahan dengan bersahaja kemudiannya menampar muka Li Zi Mu beberapa kali.

"Buat apa terjerit-jerit ni? Akhirnya memang kamu akan mati pun, simpan sajalah tenaga kamu tu."

Li Zi Mu menjadi pening setelah ditampar. Bekas tamparan di mukanya kelihatan merah. Dia menggigil sambil memandang Fei Yan untuk bertanya, "Apa…..apa yang kamu nak...nak buat….."

Fei Yan mengangkat bahunya dan berundur selangkah untuk memberikan ruang yang cukup bagi membolehkan Jun Xie berdiri di hadapan Li Zi Mu.

Sebaik mata Li Zi Mu terpandang Jun Xie, kedua-dua kakinya menjadi longlai. Sepasang mata yang merenungnya itu membuatkan dia berasa seram sejuk. Mata dingin itu memancarkan niat membunuh yang tidak disembunyikan. Hanya orang yang dungu sahaja yang tak menyedari bahawa Jun Xie memang berniat untuk membunuhnya.

"Jun….. Jun Xie….. apa…..apa yang kamu mahu….." Li Zi Mu berpeluh-peluh. Dia mendapati renungan mata yang menggerunkan itu membuatkan dia sukar bernafas.

"Saya curi tempat kamu, bukan?" Jun Wu Xie bertanya sambil mengangkat keningnya.

Li Zi Mu menggelengkan kepala dengan bersungguh-sungguh, "Tidak….tidak...Tuan Guru dah jelaskan semuanya…. Saya tak ada niat buat begitu, saya yang salah… Tak ada kena mengena dengan kamu…."

"Tapi bukan itu yang kamu beritahu pada semua orang," kata Jun Wu Xie. Kepalanya ditelengkan seolah-olah sedang bertanya. Dia merenung wajah Li Zi Mu yang pucat lesi.

Li Zi Mu menjadi panik. Dia telah menyebarkan khabar angin yang jahat itu untuk menarik lebih perhatian pada dirinya sendiri. Tapi kalaulah dia tahu yang dia akan berakhir di tangan Jun Xie seperti ini, dia tak mungkin akan bercakap apa-apa untuk menentang Jun Xie!

"Saya minta maaf, saya benar-benar minta maaf….. Saya merayu, tolonglah lepaskan saya. Saya janji tak akan bercakap yang bukan-bukan lagi! Saya akan jelaskan semuanya apabila kita balik nanti. Saya yang berbohong dan kamu langsung tak bersalah! Saya jamin saya akan beritahu semuanya! Saya akan minta maaf! Maafkan saya!" Li Zi Mu merayu-rayu sambil menangis, air mata dan hingus mengotori mukanya. Dia berharap Fan Jin akan menyelamatkan dia, tetapi Fan Jin hanya berdiri di satu sisi tanpa bergerak. Kepalanya ditundukkan dan dia diam sahaja, langsung tidak berniat untuk masuk campur.

Pelajar-pelajar dari kampus cawangan ini pula jelas sekali menyebelahi Jun Xie. Kalau tidak, mereka tak akan menyerangnya dengan tiba-tiba dengan hanya satu arahan dari Jun Xie.

"Saya merayu pada kamu, lepaskanlah saya…."

Jun Wu Xie memandang Li Zi Mu dengan acuh tak acuh sewaktu dia merayu. Dia langsung tidak berasa simpati.

"Kalau kamu lepaskan saya, mulai saat ini saya….saya akan ikut semua arahan kamu. Saya ialah pelajar fakulti Pemulih Roh dan saya ada ilmu Pemulihan Roh. Saya akan berkhidmat untuk kamu…." Li Zi Mu menyebut tentang fakulti Pemulih Roh sekali lagi sebagai cubaan untuk menyelamatkan nyawanya.