webnovel

Tamparan Berturut-turut - Bentuk Ketiga (5)

Dịch giả: EndlessFantasy Translation Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

Kalau mereka tidak lihat sendiri situasi ini, tak ada siapa dalam kalangan mereka yang percaya ada sesiapa yang mampu menyelamatkan seseorang yang sedang diserang Binatang Roh Gred Penjaga.

Situasi inilah yang sedang berlaku di hadapan mata Ning Xin dan ahli kumpulannya!

Sewaktu dua kelibat hitam itu muncul, Ning Xin dan ahli kumpulannya tidak menyangka keadaan akan menjadi begini.

Binatang hitam itu telah membawa keluar askar-askar Tentera Rui Lin dari medan pertempuran dengan pantas. Lelaki angkuh yang telah menolak Ning Xin dan Lu Wei Jie dengan dingin itu pula tidak teragak-agak untuk melutut di hadapan seseorang yang mereka tidak dapat lihat!

Kejadian inilah yang menyebabkan mata Ning Xin terbeliak kerana terkejut!

Apabila dia akhirnya dapat melihat wajah orang itu dengan jelas, Ning Xin begitu terperanjat sehingga dia tergamam dengan lama!

Bukankah orang yang bertubuh kecil itu ialah Jun Xie? Budak yang dia gunakan untuk memalukan dan menindas reputasi Fan Jin yang terlalu hebat!?

"Kenapa dia pula….." Ning Xin tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Apa yang berlaku seterusnya membuatkan Ning Xin menjadi pucat dan lemah longlai!

Selepas Jun Xie membawa Long Qi dan orang-orangnya keluar dari cengkaman maut itu, dia meluru untuk menyerang Binatang Roh Gred Penjaga tersebut. Sebaik Ning Xin masih lagi mahu tersenyum gembira melihat Jun Xie terlalu memandang tinggi kebolehan dirinya, lebih ramai orang yang tiba-tiba muncul untuk menyertai pertempuran itu, satu demi satu!

Pancaran cahaya ungu yang berturut-turut itu membuatkan dia pening. Roh berkontrak yang kuat dan tidak pernah dilihatnya sebelum ini juga hampir membuatkan matanya terjojol kerana terperanjat!

"Tak mungkin…. Ini mustahil…." Ning Xin merenung dengan terpesona sewaktu serangan Binatang Roh Gred Penjaga itu ditahan oleh serangan penuh cekap dan selaras dari Jun Wu Xie serta ahli-ahli kumpulannya. Dia tiba-tiba berpusing untuk merenung Yin Yan yang juga sedang terpukau. Ning Xin menjerit, "Bukankah kamu kata roh berkontrak Jun XIe itu cuma kucing hitam kecil yang biasa? Jadi binatang hitam yang besar itu apa? Dari mana datangnya pengguna-pengguna roh ungu itu!?"

Yin Yan turut gerun dengan apa yang dilihatnya dengan matanya sendiri. Mendengarkan suara Ning Xin yang sedang menjerit itu, dia pulih sedikit dan berasa seram sejuk sebelum tergagap-gagap menjawab, "Saya….Saya tak tahu….Saya memang benar-benar nampak…. Roh berkontraknya…..cuma kucing hitam…..Saya….Saya tak pernah lihat…. Binatang….binatang hitam besar itu… Pengguna...pengguna roh ungu itu….roh ungu….Saya betul-betul….tak tahu."

Yin Yan terasa seperti ingin menangis. Macam mana dia nak jelaskan tentang Jun Xie yang dengan tiba-tiba mengalami perubahan yang mampu menggegarkan langit?

Lebih menggerunkan lagi, dia mempunyai empat orang pakar roh ungu bersama-sama dengannya!

Empat roh ungu! Orang-orang keji ini datang dari mana!?

Mereka sudah tidak melihat kemunculan pengguna roh ungu selama seratus tahun lamanya. Kalau ada pun, biasanya orang itu hidup terpencil dan mengasingkan diri dari dunia ini serta mungkin berusia seratus tahun! Tak mungkin pengguna roh ungu itu ialah sekumpulan anak muda yang masih di usia remaja!

Tetapi tidak kira betapa hal ini sukar dipercayai, hakikatnya berada di depan mata mereka dan kebenaran yang tidak dapat disangkal ini membuatkan mereka tergamam. 

Apa yang mereka lihat ini benar-benar sedang berlaku!

"Tak guna!" Ning Xin mula menggigit-gigit kukunya kerana berasa cemas. Dia turut merasakan seperti akan ditimpa bencana. Dia tidak boleh menyalahkan Yin Yan sepenuhnya. Orang lain yang dihantarnya untuk mengintip Jun Xie juga telah kembali dengan kesimpulan yang sama.

Tetapi berdasarkan apa yang mereka lihat di Hutan Roh Pertempuran ini, segala maklumat risikan yang mereka kumpulkan tentang Jun Xie tersasar jauh dari hal sebenar!

Budak tak guna yang bertubuh kecil serta kelihatan biasa-biasa sahaja ini sebenarnya lebih rumit daripada apa yang mereka bayangkan. 

Selain binang hitam besar yang sering berada di sisinya, empat orang pakar roh ungu di hadapan mereka ini boleh mengakibatkan kekecohan yang tidak terbayang di seluruh dunia!

Ning Xin berpusar dengan satu demi satu pemikiran yang terlintas. Dia sedaya-upaya cuba mengingatkan jika dia ada menentang Jun Xie secara berdepan di Akademi Zephyr. Selepas melihat kekuatan dan kuasa sebenar Jun Xie di dalam pertempuran, Ning Xin langsung tidak berani membiarkan bayang-bayangnya sekalipun menyentuh Jun Xie, tidak kiralah apa sekalipun yang ditawarkan untuknya.

Ning Xin mengeluh lega apabila menyedari yang dia biasanya menggunakan Yin Yan untuk menghasut Li Zu Mu melakukan perbuatan-perbuatan jahat itu. Ning Xin sendiri tidak pernah muncul di hadapan Jun Xie.

Masih ada peluang untuk memenangi hati Jun Xie!