webnovel

Seorang Oportunis (4)

Dịch giả: EndlessFantasy Translation Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

Ning Xin membalas sambil ketawa, "Sama ada kita boleh menambat hati mereka atau tidak, bergantung pada sama ada mereka sudi menerimanya. Kalau mereka sendiri bersikap mesra dan menerima persahabatan kita, tentulah saya akan menolak sebarang bentuk bayaran sebaik kita tiba di Tasik Roh Bulan. Bukankah itu akan membuatkan mereka berasa lebih kagum berbanding jika kita hanya setuju untuk membawa mereka ke destinasi mereka tanpa mengharapkan apa-apa ganjaran?"

Demi memikat dan menawan hati orang lain, seseorang itu tidak boleh terlalu merendah diri. Ning Xin tahu yang dia sudah meninggikan status dan nilai dirinya di mata lelaki-lelaki tersebut.

Lu Wei Jie tidak begitu faham dengan apa yang Ning Xin maksudkan, tetapi dia merasakan apa sahaja yang Ning Xin katakan, pastinya betul.

Sedang kumpulan itu meneruskan perjalanan, satu bayang-bayang hitam bersembunyi di celah-celah pokok yang tinggi. Bayang-bayang itu melepaskan seekor ular hitam kecil di bawah lapisan daun-daun yang menutupi tanah di sekitar pokok berkenaan. Ular hitam kecil itu cepat-cepat menyusur di bawah daun dan hilang tanpa jejak.

…..

Jun Wu Xie dan kumpulannya menemui sumber air lalu Qiao Chu dan yang lain membersihkan kesan darah dari badan mereka. Kemudian mereka duduk di tunggul-tunggul kayu dan makan bekalan mereka.

Selepas beberapa ketika, Ye Sha tiba-tiba muncul di hadapan mereka. Qiao Chu dan rakan-rakannya yang selama ini ternanti-nanti kehadirannya, terus berdiri.

"Saya sudah berjaya menjejak sasaran." Ye Sha memberikan laporan sambil menundukkan kepala dan berlutut sebelah kaki.

"Berapa orang semuanya?" tanya Jun Wu Xie.

"Dua puluh tujuh. Selain itu, mereka baru saja bergabung dengan kumpulan yang bukan dari Akademi Zephyr. Mereka semua sedang menuju Tasik Roh Bulan," balas Ye Sha.

Bergerak bersama-sama dengan sekumpulan orang yang bukan dari Akademi Zephyr?

Berita yang Ye Sha bawa balik bersamanya itu agak mengejutkan.

"Mereka ada merancang apa-apa? Atau memohon bantuan pihak luar?" Qiao Chu menggosok-gosok dagunya. Dia tidak pernah bertemu dengan Ning Xin dan Yin Yan. Tetapi di dalam mindanya, dia sudah menggambarkan imej dua orang penjahat yang kejam, berkomplot sesama sendiri sambil menggosok-gosok tangan mereka dengan gembira.

Fan Jin baru sahaja mahu bersuara. Tetapi selepas tuduhan-tuduhan pantas yang Qiao Chu lemparkan tadi, Fan Jin terdiam dan badannya longlai.

Fei Yan menyedari keadaan Fan Jin yang sudah hilang semangat itu, lalu menumbuk Qiao Chu dengan perlahan. Qiao Chu menjelirkan lidah sedikit dan kelihatan kesal. Dia melambai-lambaikan tangannya dengan kekok.

"Tasik Roh Bulan? Untuk apa?" tanya Jun Wu Xie, tanpa mempedulikan pendapat Qiao Chu.

"Kumpulan satu lagi itu nampaknya perlu pergi ke Tasik Roh Bulan untuk mencari herba. Ning Xin bersetuju membawa mereka ke sana dan kumpulan itu kemudiannya akan memberikan batu-batu roh dari lima Binatang Roh gred tinggi, sebagai ganjaran." Ye Sha memberikan laporan dengan nada mendatar.

"Lima Binatang Roh gred tinggi!? Syarat-syarat Ning Xin si perempuan licik itu memang betul-betul tak berhati perut!" Qiao Chu terkejut. Mereka semua hidup serba daif sebelum bertemu dengan Jun Xie, jadi mereka faham benar bayaran yang dikenakan untuk sekadar menunjukkan jalan itu terlalu melampau.

Fan Jin menundukkan kepalanya. Dia langsung tidak sanggup memandang mereka.

"Kamu tahu identiti lelaki-lelaki itu?" tanya Jun Wu Xie. Dia mengusap-usap kucing hitam kecil itu sambil berfikir-fikir. Jun Wu Xie sudah berjanji dengan Fan Jin yang dia akan melepaskan Ning Xin serta Yin Yan. Kalau mereka tidak menimbulkan kemarahannya, dia juga tidak peduli sama ada mereka hidup atau mati.

Ye Sha teragak-agak seketika sebelum dia berkata, "Beberapa orang lelaki di dalam kumpulan itu nampaknya sama seperti orang-orang di dalam memori yang Tuan Wu Yao berikan pada saya."

"Memori yang dia berikan?" tanya Jun Wu Xie sambil mengecilkan matanya.

"Memori Ye Sha," kata Ye Sha.

"...….." Qiao Chu dan yang lain terdengar perbualan Ye Sha serta Jun Xie dan mendapati situasi ini agak menakutkan.

"Memori yang mana?" Jun Wu Xie mempunyai idea kasar tentang apa yang Ye Sha maksudkan. Jun Wu Yao telah memberikan memori Ye Sha terdahulu kepada Ye Sha yang sekarang menggunakan satu kaedah luar biasa. 

Ye Sha mengangkat kepalanya untuk membalas, "Salah seorang daripada mereka, Jeneral Long Qi, ialah dari Tentera Rui Lin. Seorang lagi, Rong Heng, datang dari Puncak Menjejak Awan. Berkenaan orang-orang lain, mereka juga berkaitan dengan Tentera Rui Lin dan Puncak Menjejak Awan. Tapi saya tak tahu nama mereka."

Sebaik Ye Sha berhenti bercakap, tangan Jun Wu Xie yang sedang mengusap-usap kucing hitam kecil itu tiba-tiba menjadi kaku!