webnovel

Seksaan (4)

Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

Suara Mo Qian Yuan hampir tidak kedengaran, tetapi bunyi yang perlahan itu tetap sampai ke telinga Qin Yu Yan sewaktu lelaki itu mendongak untuk memandang Jun Wu Xie yang sedang berdiri di pintu masuk dewan.

'Wu Xie?'

'Kalau tak salah, Cik Sulung Keluarga Jun itu namanya Jun Wu Xie.'

'Tetapi orang-orang Kumpulan Qing Yun sudah dihantar ke Istana Lin. Bagaimana pula Jun Wu Xie boleh berada di sini?'

Namun apabila Qin Yu Yan terpandang Jun Wu Yao yang begitu elok rupa parasnya, berdiri di belakang Jun Wu Xie, senyumannya menjadi semakin lebar dan dia tidak dapat mengalihkan pandangannya daripada lelaki itu.

'Tampannya lelaki itu!'

Dia tak tahu pula lelaki yang begitu menawan, wujud di dalam dunia ini.

"Aku akan ajar mulut kau itu jadi beradab sikit! Kalau maut yang kau cari, aku bersedia menunaikan hasrat kau!" Jiang Cheng Qing tidak peduli siapa gadis ini dan betapa cantiknya dia. Apa yang dia tahu hanyalah orang yang berani menghina Kumpulan Qing Yun seperti itu, perlu mati bagi menebus kesalahan yang tidak boleh dimaafkan ini!

Jiang Chen Qing menerkam Jun Wu Xie, langsung tidak mempedulikan Teratai Mabuk. Dalam kalangan tiga orang dan seekor binatang yang tiba-tiba muncul itu, hanya binatang hitam itu yang nampaknya mempunyai sedikit kemahiran bertempur. Ketiga-tiga orang manusia itu pula, masih terlalu muda. Yang paling tua sekalipun nampaknya baru berusia dua puluhan. Tak kira betapa hebatnya mereka, semuanya bukan tandingan dia!

Namun begitu, sebelum Jiang Chen Qing dapat menyentuh hujung baju Jun Wu Xie sekalipun, satu kelibat berwarna merah darah bergerak sekilas dan muncul tepat di hadapannya.

Pemuda yang segak itu memberi satu tumbukan sepantas kilat ke muka Jiang Chen Qing. Pergerakan pantas itu membuatkan Jiang Chen Qing terkejut dan dia cepat-cepat mengangkat tangannya untuk menghalang serangan itu. Tumbukan Teratai Mabuk kena tepat pada lengannya. Kesakitan yang tidak tergambar merebak ke seluruh tangannya dan impak serangan itu dirasakan di seluruh tubuhnya!

Dalam sekelip mata, Jiang Cheng Qing sudah tertolak ke belakang. Tangannya yang menghalang tumbukan Teratai Mabuk tadi, kini telah berlumuran darah. Tulang tangannya itu patah dan jelas kelihatan terbonjol keluar.

'Kekuatan raksasa jenis apakah ini?'

Jiang Chen Qing merenung Teratai Mabuk sambil tercengang. Fikirannya bingung kerana terkejut.

Dia, seorang pakar roh tahap biru yang kuat dan disegani, telah dipatahkan tangannya oleh budak mentah yang masih di usia remaja. Hanya dengan sekali tumbuk sahaja? Kalau hal ini tersebar, tiada siapa yang akan percaya!

Serangan berkuasa Teratai Mabuk bukan sahaja mengejutkan Jiang Chen Qing sendiri, malah membuatkan orang-orang Kumpulan Qing Yun yang lain bingkas bangun kerana terperanjat!

Mereka amat arif tentang kehandalan Jiang Chen Qing. Kalaupun budak itu berjaya membuat serangan hendap, mustahil Jiang Che Qing boleh kalah teruk dengan hanya satu serangan!

Teratai Mabuk mengangkat penumbuknya ke dada dan menggenggamnya. Darah segar yang membasahi penumbuknya itu, menitis-nitis dari jari-jarinya. Dia mungkin seorang yang sangat angkuh, tetapi ada satu aspek yang dikongsi oleh semua roh berkontrak. Mereka bersifat pelindung terhadap tuan mereka. Orang tua jelik ini berani menyerang Jun Wu Xie di depan matanya? Mesti orang tua ini sudah penat hidup lama!

"Siapa kau?" tanya Jiang Chen Qing sambil menggenggam tangannya yang berlumuran darah. Dia merenung Teratai Mabuk. Dia tidak percaya remaja ini mempunyai kekuatan sebegitu!

"Kau tak layak tahu siapa aku." Teratai Mabuk menolak soalan itu dengan angkuh, sambil ketawa mencemuh.

Qin Yu Yan berjaya mengalihkan pandangannya daripada ketampanan Jun Wu Yao. Dia memerhati dari atas singgahsana dengan mata yang semakin mengecil. Jiang Chen Qing telah mencapai roh tahap biru dan orang biasa bukan tandingannya. Tambahan pula, dia juga amat berkemahiran dalam penggunaan racun. Melainkan lawannya ialah pengguna roh tahap indigo, tak ada siapa yang sepatutnya boleh mengalahkan Jiang Chen Qing seperti ini.

Tetapi pemuda ini jelas sekali masih terlalu muda. Bagaimana satu tumbukan daripadanya mampu mencederakan seorang Tuan Tua Kumpulan Qing Yun seperti ini?

Qin Yu Yan mengubah taktiknya dan tiba-tiba bangun berdiri. Dia tersenyum lembut ke arah Teratai Mabuk yang angkuh dan menjengkelkan itu, lalu berkata, "Saya tertanya-tanya kenapa seorang individu yang terhormat seperti Tuan sudi hadir ke sini hari ini. Mungkinkah terdapat salah faham di antara Tuan dan Kumpulan Qing Yun? Kami sedang menguruskan hal peribadi dan saya mohon agar Tuan sudi memberi ruang kepada kami untuk menyelesaikan hal ini. Kumpulan Qing Yun tidak akan melupakan sifat murah hati yang Tuan tunjukkan."

Tidak kira siapa sekalipun pemuda ini, Qin Yu Yan tidak mahu bermusuh dengannya. Dia menyebut nama Kumpulan Qing Yun untuk menguatkan lagi kata-katanya dan menggalakkan pemuda ini untuk menerima permintaannya. Tentang hal Mo Qian Yuan dan Jun Wu Xie pula, dia akan menanti masa yang sesuai untuk membuat keputusan tentang hukuman mereka.