webnovel

Putera Mahkota Negara Yan (4)

Dịch giả: EndlessFantasy Translation Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

Tiupan angin malam membawa sedikit kedinginan. Dua orang pengawal itu tiba-tiba berasa amat mengantuk. Dalam sekelip mata, mereka sudah bersandar pada tombak masing-masing dan mula melelapkan mata.

Sebaik mereka benar-benar telah tidur dengan nyenyak, kepala mereka terlentok ke sisi. Kemudian Jun Wu Xie dan rakan-rakannya berjalan keluar melalui pintu Rumah Agam Barat tanpa halangan.

Kawasan Kediaman Putera Mahkota amat luas dan jarak di antara Rumah Agam Barat dan bilik tidur Putera Mahkota di Rumah Agam Timur agak jauh. Walaupun sudah lewat malam, para pengawal yang meronda di kawasan Kediaman Putera Mahkota tidak berehat. Tetapi pengawal yang meronda ini tidak menyedari seekor kucing hitam yang bersaiz sebesar tapak tangan telah meneliti laluan rondaan mereka dan masa yang diperlukan untuk mereka menyelesaikan rondaan. Tepat-tepat satu minit selepas seorang pengawal telah melepasi satu kawasan koridor yang panjang, Jun Wu Xie dan rakan-rakannya terus menyelinap dan bergerak menuju bilik tidur Lei Chen.

Lei Chen banyak minum arak malam itu dan sekarang ini sedang tidur tidak sedarkan diri di atas katilnya. Dia langsung tidak bergerak.

Selepas menidurkan dua orang pengawal di pintu masuk, Jun Wu Xie berjalan masuk ke dalam bilik tidur Lei Chen. Sebatang lilin menerangi bilik itu. Cahaya lilin yang malap itu menyingkirkan sedikit kegelapan.

Sebaik Qiao Chu melangkah masuk, dia nampak Lei Chen baring tidak bergerak di atas katil. Lei Chen nampaknya tidur dengan begitu nyenyak. Satu senyuman jahat muncul di bibir Qiao Chu.

Sewaktu jamuan malam tadi, mereka semua perasan yang Lei Chen mampu minum arak dengan banyak. Mereka tahu Lei Chen tidak akan membenarkan dirinya menjadi mabuk. Tetapi malam tadi, hal ini di luar kawalannya. Jun Wu Xie senyap-senyap telah memasukkan dadah ke dalam cawan berisi wain yang dihulurkannya pada Lei Chen. Tak kira betapa hebatnya kemampuan Lei Chen dalam meminum arak, dia tidak akan dapat bertahan dengan dadah yang Jun Wu Xie hasilkan.

"Keadaan dia dah macam ni, macam mana kita nak tanya apa-apa?" Qiao Chu berdiri di sebelah katil Lei Chen kemudian mencangkung. Dia mencucuk pipi Lei Chen yang kemerah-merahan itu dengan jarinya.

Nyenyak betul Lei Chen tidur!

Qiao Chu ragu-ragu Lei Chen yang sudah pengsan ini mampu menjawab soalan-soalan Jun Wu Xie.

Mereka datang sejauh ini bukannya untuk makan dan minum secara percuma. Sebaliknya, mereka mahu mencipta peluang untuk mendapatkan lokasi kepingan peta keempat supaya Fei Yan boleh meyalinnya dan mereka boleh memutuskan hubungan dengan Lei Chen.

Jun Wu Xie tidak peduli dengan komplikasi dalaman yang rumit di Negara Yan. Matlamatnya selama ini memang cukup jelas.

"Bantu dia bangun," kata Jun Wu Xie.

Qiao Chu cepat-cepat menghulurkan tangan dan menarik Lei Chen bangun dengan mudah.

Kepala Lei Chen terlentok ke satu sisi. Tidak ada tanda-tanda dia akan kembali sedar.

"Buka mulutnya," kata Jun Wu Xie lagi.

Fei Yan melangkah ke hadapan lalu membuka mulut Lei Chen, seolah-olah sudah biasa buat begitu. Jun Wu Xie terus memasukkan sebiji eliksir ke dalam mulut Lei Chen.

Qiao Chu memapah Lei Chen untuk duduk di sebuah kerusi di tepi bilik. Kemudian dia melangkah ke sisi dan memandang Lei Chen dengan teruja.

"Adik Xie beri apa pada dia?" tanya Qiao Chu dengan perasaan ingin tahu sambil melompat ke sisi Jun Wu Xie. Di dalam simpanan Jun Wu Xie selalu ada eliksir yang pelik dan aneh. Kebanyakannya adalah eliksir yang Qiao Chu tak pernah tahu kewujudannya pun.

"Sesuatu untuk buatkan dia bercakap," kata Jun Wu Xie tanpa perasaan. Dia tidak berminat untuk memuaskan perasaan ingin tahu Qiao Chu.

Mereka yang lain juga berdiri di tepi dan menunggu dengan sabar. Seluruh situasi itu diserahkan ke tangan Jun Wu Xie. Mereka tahu yang mereka hanya perlu menantikan hasilnya.

Tidak lama kemudian, Lei Chen yang tidak sedarkan diri itu tiba-tiba bergerak. Dia mengangkat kepalanya perlahan-lahan dan membuka matanya. Tetapi mata itu tidak fokus pada apa-apa pun dan hanya merenung kosong ke hadapan. Tidak ada sedikit perasaan atau ekspresi pun di wajah tampan itu. Sekilas pandang, Lei Chen nampak seperti masih tidur dan belum sepenuhnya sedar.