webnovel

Puncak Awan Tersembunyi (2)

Dịch giả: EndlessFantasy Translation Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

Jun Wu Xie tidak membalas apa-apa. Dia sudahpun menerima kenyataan.

Ke Cang Ju?

Dia akan biar Ke Cang Ju lihat, siapa yang lebih jahat di antara mereka!

Permainan baru sahaja bermula. Tak perlu terburu-buru!

Seperti yang dijangka, dalam kalangan beratus-ratus calon yang tinggal, hanya kira-kira sepuluh orang sahaja yang dipilih oleh barisan Tuan Tua untuk masuk ke Rumah Dalaman dan kurang daripada seratus orang yang diterima masuk ke Rumah Luaran. Majoritinya diarah berkemas dan meninggalkan kawasan gunung itu.

Hari itu berakhir dengan tangisan kebanyakan pemuda di situ. Beberapa orang pengikut Kumpulan Qing Yun membawa calon yang terpilih ke pelbagai puncak di gunung itu.

Jun Wu Xie dikumpulkan bersama-sama Qiao Chu dan pengikut yang membawa mereka ialah pengikut yang hampir bergaduh dengan Jun Wu Xie tadi. Namun kini pengikut itu tidak melayannya dengan sombong seperti sebelum ini. Mungkin disebabkan diagnosis Jun Wu Xie yang begitu tepat berkenaan keadaannya membuatkan pengikut ini melayan mereka dengan hormat.

"Puncak Awan Tersembunyi itu tidaklah begitu teruk dan tak banyak yang perlu dilakukan. Kamu berdua tidaklah terlalu penat nanti." Pengikut itu terus berceloteh kemudian berhenti dan memandang keadaan sekeliling. Setelah memastikan tiada siapa di sekeliling mereka, dia berpaling lalu berbisik, "Ingat ni. Apabila masuk ke Puncak Awan Tersembunyi, jangan menentang Tuan Tua Ke."

Jun Wu Xie mendongak memandang pengikut Kumpulan Qing Yun itu. Dia ada dengar tentang keadaan berbahaya di Puncak Awan Tersembunyi, tetapi dia tidak menyangka akan mendengar amaran daripada pengikut Kumpulan Qing Yun.

Menyedari pandangan Jun Wu Xie, pengikut itu berpaling.

"Pertengkaran kita tadi telah membuatkan hubungan kita menjadi rapat dan kita sudah jadi rakan seguru. Kalau saya ada menyinggung perasaan kamu tadi, harapnya junior saya ini boleh memaafkan saya," kata pengikut itu lagi.

"Senior dari puncak mana?" Tiba-tiba Jun Wu Xie bertanya.

"Saya? Saya dari Puncak Menjejak Awan, tetapi bukan murid Tuan Tua Mu. Saya cuma diberikan tugasan biasa di sana. Nama saya Rong Heng." Dia ketawa kemudian teragak-agak semula sebelum meneruskan, "Saya nak berterima kasih atas diagnosis kamu tadi. Saya dah catat semuanya, tapi mungkin susah nak dapatkan semua herba yang kamu sebutkan tadi. Saya perlu serahkan preskripsi itu kepada Guru saya."

Perubahan sikap Rong Heng yang berlaku tiba-tiba ini bukanlah tidak bersebab. Apa yang Jun Wu Xie katakan tadi mampu membantu dia menambah baik keadaan urat darah dan arterinya, membolehkan dia mengubah prestasinya dan mungkin mencapai tahap lebih tinggi. Ini akan mengubah kehidupannya secara menyeluruh dan dia amat berterima kasih.

Jun Wu Xie mengangguk dan diam seketika sebelum berkata, "Kalau senior ada masa nanti, dalam setengah bulan daripada sekarang, datanglah ke Puncak Awan tersembunyi. Tunggu saya di sana sejam sebelum tengah hari. Saya ada sesuatu untuk diberikan."

Jun Wu Xie tidak merasakan Rong Heng perlu terhutang budi dengannya kerana tindakannya tadi hanya bertujuan untuk menarik perhatian Mu Chen. Secara tidak sengaja, tindakannya itu turut membuatkan Rong Heng turut berterima kasih kepadanya. Namun begitu, niat baik Rong Heng dalam memberikan amaran kepada mereka berdua bakal memberikan ganjaran kepadanya.

Jun Wu Xie tidak akan melupakan penganiayaan yang dilakukan ke atasnya, tetapi dia juga akan membalas kebaikan yang diberikan kepadanya. Kalau dia menerima manfaat daripada orang lain, dia pasti akan memberi ganjaran berlipat kali ganda.

Rong Heng tidak sedar tuah yang bakal diperolehnya dan tidak tahu apa yang Jun Wu Xie mahu berikan kepadanya. Dia hanya mengangguk dan meneruskan perjalanan.

Di pintu masuk Puncak Awan Tersembunyi, mereka bertemu sekumpulan calon lain.

Mereka tidak dipilih dan sepatutnya meninggalkan kawasan pergunungan itu, tetapi sebaliknya seorang pengikut Kumpulan Qing Yun telah membawa mereka ke sini. Ada kira-kira dua puluh atau tiga puluh orang, dan apabila mereka terlihat Jun Wu Xie dan kumpulannya, wajah mereka menunjukkan mereka gembira dengan nasib baik mereka yang muncul tiba-tiba, tetapi tetap berasa benci terhadap Jun Wu Xie.

"Bukankah itu rakan seguru senior kita yang hebat? Hebat begitupun tak mampu berjalan sepantas kita?" Salah seorang pemuda di dalam kumpulan itu mencemuh Jun Wu Xie dan Qiao Chu.