webnovel

Pemulih Roh (3)

Dịch giả: EndlessFantasy Translation Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

"Saya maksudkan kamu boleh bawa balik dan perlahan-lahan membacanya dengan teliti," Gu Li Sheng menjelaskan.

"Saya dah habis baca."

"Apa?" Gu Li Sheng merenung Jun Wu Xie dengan tidak percaya.

Jun Wu Xie mengulangi kata-katanya, "Saya dah habis baca."

Buku ini lebih nipis daripada buku peraturan Akademi Zephyr. Menghafal isi buku ini mudah saja baginya.

"….." Gu Li Sheng terus memandang Jun Wu Xie. Beberapa ketika kemudian barulah dia bertanya, "Dah habis? Kalau begitu sebutkan perenggan kedua pada muka surat lapan."

Jun Wu Xie memandang sekilas pada Gu Li Sheng dan akhirnya bercakap dengan perlahan dan jelas. Dia menyebutkan perenggan tersebut sepatah demi sepatah perkataan tanpa sebarang kesilapan. Setiap perkataan disebut dengan amat jelas….

Raut wajah Gu Li Sheng ketika itu kelihatan sedikit gerun.

Dia masih lagi menyimpan sedikit perasaan ragu-ragu lalu terus meletakkan beberapa buah buku lagi di hadapan Jun Xie dan berkata, "Baca semua buku ni."

Jun Wu Xie menjeling Gu Li Sheng tapi menerima saja kehendak lelaki itu. Dia menundukkan kepala dan membaca buku-buku tersebut, menghabiskan semuanya.

Tanpa menantikan pertanyaan Gu Li Sheng, Jun Wu Xie sendiri memilih beberapa buah perenggan daripada buku-buku itu dan membacakannya.

Selepas itu…..

Gu Li Sheng mengambil buku-buku itu dan meletakkannya kembali ke atas rak.

Dia bersumpah pada dirinya sendiri yang dia tak akan menunjukkan buku-buku tersebut pada pelajar lain lagi!

Sungguh memalukan!

Pada mulanya, sewaktu mahu menghafal buku-buku ini, Gu Li Sheng telah berusaha hampir setengah tahun. Dia langsung tidak menyangka seorang pelajar yang telah dia telah pilih tanpa berfikir panjang ini, telah menggunakan masa kurang daripada tempoh pembakaran sebatang colok untuk menghafal sepenuhnya sebaris buku-buku di raknya….

Dia tiba-tiba berasa malu dengan diri sendiri….

Gu Li Sheng berdeham, "Menghafal buku bukannya susah sangat. Memori kamu ni bagus juga. Tapi yang lebih penting ialah…..memahami isinya." Gu Li Sheng tidak pernah berada di dalam situasi yang begitu memalukan di hadapan pelajarnya seperti ini. Dia sentiasa mengekalkan imej sebagai guru yang penuh misteri dan sopan di mata mereka. Dia merasakan perlu untuk memulihkan kembali maruahnya yang sudah sedikit tercalar..

Jun Wu Xie mengangkat keningnya lalu berkata, "Pemulihan Roh itu bergantung pada kuasa rohani dalaman seseorang. Kuasa rohani itu akan ditukarkan untuk memulihkan sebarang kekurangan atau kecederaan yang dialami oleh roh tersebut. Tetapi kaedah penukaran ini tidak boleh bertahan lama. Jumlah kuasa rohani yang digunakan tidak sama dengan kadar pemulihan yang diterima oleh roh berkenaan. Kehilangan kuasa rohani yang berlebih-lebihan ini hanya bermaksud yang kaedah ini salah."

Buku-buku itu telah mencatatkan segalanya tentang Pemulihan Roh dengan teliti. Kandungannya mungkin kelihatan amat sukar difahami. Tetapi bagi Jun Wu Xie yang memahami tentang rantaian genetik dengan cekap dan telah mendominasi bidang perubatan itu, konsep pemindahan tenaga ini tidaklah begitu rumit untuk dia fahami sepenuhnya. Selagi dia diberikan asas yang kukuh, dia akan dapat mencari kesimpulan tanpa batasan, berdasarkan inferens daripada asas tersebut.

Daripada perspektif Jun Wu Xie, Pemulihan Roh ini sememangnya satu penggunaan kuasa rohani yang berani dan inovatif. Namun kaedah rawatan ini menghabiskan terlalu banyak tenaga demi mendapatkan hasil yang terlalu kecil.

Memang berguna, tetapi amat memerlukan lebih banyak penyelidikan dan penambahbaikan.

Buku-buku ini telah menjelaskan banyak keraguan Jun Wu Xie serta memberikannya pandangan baru.

Melalui buku-buku itu, dia mengetahui yang roh boleh ditukarkan menjadi tenaga yang kemudiannya boleh digunakan. Sewaktu kucing hitam kecil itu membaham Singa Emas, situasi ini boleh dilihat sebagai pembahaman tenaga. Kemudian tenaga itu pula telah mengalami perubahan ketika melalui roh kucing hitam kecil itu. Roh Singa Emas pula telah menjadi seperti khasiat yang mencetuskan peningkatan mendadak pada kuasa kucing hitam kecil itu.

Berkenaan Pemulihan roh pula, kuasa rohani seseorang itu ditukarkan menjadi sejenis tenaga rohani. Walaupun tidak tulen seperti ketika membaham roh berkontrak sebenar, hasil yang sama masih boleh dicapai di bawah syarat-syarat tertentu.

Pemulihan Roh itu sendiri masih menjadi misteri pada orang lain. Namun pada Jun Wu Xie yang telah membaca buku-buku tersebut, dia tiba-tiba terfikir….

Semua ini nampaknya….bukannya susah sangat.

Dia sendiri yang telah mengusutkan pemikirannya tentang aspek rohani dunia ini dan membelenggu batasan mindanya dalam hal ini.

Jun Wu Xie jauh mengelamun di dalam pemikirannya sendiri dan menyuarakan keraguan serta idea-ideanya tentang kekurangan serta kelemahan dalam Pemulihan Roh Gu Li Sheng. Dia juga bercakap tentang ideanya sendiri tentang bahagian mana yang boleh ditambah baik.

Memandangkan Jun Wu Xie langsung tidak sedar yang dia telah meluahkan apa yang difikirkannya secara lisan, dia tidak menyedari yang Gu Li Sheng sedang ternganga. Seolah-olah dia tidak mampu menutup mulutnya.