webnovel

Pemulih Roh (1)

Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

Sewaktu semua orang masih lagi ternganga, Jun Wu Xie kekal tidak terkesan. Fan Jin telah datang untuk memberitahunya supaya melaporkan diri ke fakulti Pemulih Roh awal pagi esok. Namun begitu, Fan Jin hanyalah pelajar fakulti Roh Binatang dan dia tak banyak tahu tentang fakulti Pemulih Roh.

Jun Wu Xie mendengar sambil diam dan kemudian mereka berdua berlalu pergi.

Namun begitu, dalam masa satu malam saja, nama Jun Xie sudah tersebar ke seluruh Akademi Zephyr dan sampai ke telinga semua orang.

Ini disebabkan hakikat yang dia satu-satunya pelajar yang telah diterima masuk ke fakulti Pemulih Roh. Fakta ini membuatkan dia begitu menonjol, menarik perasaan ingin tahu dan lebih banyak pandangan hina akibat khabar angin jahat yang sedang tersebar merata-rata.

Menarik perhatian semua orang itu tidak selalunya bagus. Sewaktu Jun Xie berjalan balik ke kawasan asrama, renungan yang diterimanya dari pelbagai arah amat tidak mesra dan penuh kejahatan.

Awal keesokan harinya, Jun Wu Xie pergi melapor diri ke fakulti Pemulih Roh.

Mungkin tak ramai orang yang ada di fakulti Pemulih Roh, tetapi kawasan kampusnya amat luas dan langsung tidak kurang berbanding dua lagi fakulti lain. Jelas sekali penekanan yang pihak akademi letakkan ke atas fakulti Pemulih Roh, menyatakan fakulti ini sama penting seperti dua fakulti lain yang mempunyai lebih ramai orang.

Di dalam bangunan fakulti yang besar serta tinggi melangit itu, beberapa susuk tubuh dapat dilihat berlegar-legar sendirian. Mereka memakai pakaian seragam Akademi Zephyr serta mempunyai lambang jed di dada mereka.

Sebaik sampai ke pintu masuk, Jun Wu Xie bertemu seseorang yang dikenalinya.

Yin Yan sedang bercakap dengan seorang lagi pelajar apabila dia melihat susuk tubuh kecil itu melangkah masuk. Dia mengangkat kepalanya untuk memandang Jun Wu Xie dan wajahnya tiba-tiba kelihatan marah. Malam tadi dia tidak balik ke asrama kerana dia sibuk di fakulti Pemulih Roh. Tak sangka dia akan bertemu Jun Xie awal-awal pagi ini!

"Kamu buat apa datang ke fakulti Pemulih Roh ni?" Yin Yan bertanya sambil mengerutkan keningnya.

Jun Wu Xie mengangkat sebelah kening lalu berkata dengan ringkas dan kasar, "Melapor diri."

Wajah Yin Yan berubah menjadi terkejut. Sebelum dia sempat berkata apa-apa, Jun Wu XIe sudah pun meneruskan perjalanannya memasuki bangunan fakulti Pemulih Roh. Pelajar lain yang sedang bercakap dengan Yin Yan tadi terlihat wajah Yin Yan yang kelihatan marah. Dia kemudiannya berpaling untuk merenung susuk tubuh Jun Wu Xie yang semakin menghilang lalu berkata, "Kamu kenal dia?"

"Siapa?"

"Jun Xie. Budak yang baru saja melepasi kita tadi. Kamu sibuk di fakulti sepanjang malam dan mesti kamu tak dengar lagi tentang budak tu. Hari pertamanya di Akademi Zephyr belum pun berakhir dan dia sudah pun menjadi terkenal."

"Apa maksudnya tu?" tanya Yin Yan dengan bingung.

"Fakulti Pemulih Roh kita ni hanya mengambil seorang pelajar saja tahun ini. Tuan Guru sendiri yang memutuskannya dan orang yang dipilih itu ialah Jun Xie."

Mata Yin Yan terbeliak kerana terkejut. Dia tak percaya dengan apa yang dia dengar!

"Apa kamu kata? Budak tak guna tu pelajar fakulti Pemulih Roh?"

"Betul tu….Kita ni rakan seperguruan dengan budak tu mulai hari ini." Pemuda seorang lagi itu langsung tidak menyedari pergelutan yang meluap-luap di mata Yin Yan.

Yin Yan mengetap giginya dengan marah dan berjalan menuju bangunan fakulti.

Benar juga tekaan Senior Ning. Hakikat yang Fan Jin sanggup menjadi mentor budak itu menunjukkan yang hal ini bukanlah semudah yang disangka.

Sewaktu terfikirkan perkara ini, mulut Yin Yan menguntum senyuman jahat. Patutlah Fan Jin sangat berminat menjadi mentor Jun Xie. Pasti dia sudah tahu sejak awal-awal lagi yang budak kecil tak guna tu akan terus diterima masuk ke fakulti Pemulih Roh.….. Tepat betul pilihan Fan Jin!

Tapi…..

Seseorang itu tidak boleh menjadi Pemulih Roh semudah itu.

Yin Yan benar-benar mahu lihat sehebat manakah pilihan Fan Jin ini!

Satu kedinginan yang menggerunkan muncul di mata Yin Yan. Sewaktu dia terpandang susuk tubuh kecil yang sedang menaiki tangga itu, kejahatan yang menggerunkan di matanya terus membara dan berpusar-pusar tanpa kekangan.