webnovel

Negara Yan (1)

Dịch giả: EndlessFantasy Translation Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

Ibu Negara Diraja Negara Yan seringkali sibuk sewaktu awal tahun kerana Kejohanan Pertempuran Roh Besar-besaran antara akademi akan diadakan di situ pada waktu tersebut. Para pelajar elit dari lebih seratus akademi akan berkumpul di situ untuk bertanding mendapatkan kedudukan yang tinggi di kejohanan itu!

Setiap tahun, sepuluh kedudukan tertinggi di dalam Kejohanan Pertempuran Roh dari pelbagai akademi akan mendapati diri mereka berhadapan dengan satu kemuncak yang baru. Anak-anak muda ini yang belum lagi menjadi terkenal hanya perlu menunjukkan kelebihan mereka dengan baik dan bersinar lebih gemilang dari orang lain demi mendapatkan status dan kemasyhuran yang melebihi jangkaan mereka.

Menjadi terkenal di usia muda. Inilah tarikan yang tidak dapat ditolak oleh semua anak muda yang bersemangat!

Sebagai tuan rumah yang menyediakan pentas pertempuran, Negara Yan sering berusaha untuk memberikan persekitaran terbaik bagi membolehkan para pelajar ini menunjukkan bakat paling cemerlang dalam kejohanan ini.

Sebagai negara paling kuat dan paling makmur serta tuan rumah kejohanan ini, saban tahun Negara Yan mendapat pilihan pertama dalam kalangan para pemenang Kejohanan Pertempuran Roh. Hampir setiap tahun, kira-kira separuh para peserta yang mendapat kedudukan sepuluh teratas akan diambil oleh Negara Yan. Para pemuda ini biasanya menunjukkan kemahiran yang hebat walaupun kuasa mereka masih belum matang sepenuhnya. Bakat mereka yang luar biasa akan membuatkan mereka lebih menonjol berbanding yang lain. Tidak kiralah sama negara atau kuasa tertentu, semuanya mahu memilih anak-anak muda yang menunjukkan potensi baik di kejohanan tersebut. Mereka tidak membataskan pilihan pada para peserta yang mendapat kedudukan sepuluh teratas sahaja tetapi juga memerhatikan bakat-bakat luar biasa dan mengambil anak-anak muda ini tanpa teragak-agak.

Boleh dikatakan Kejohanan Pertempuran Roh ini merupakan acara yang dihormati dan unggul bagi semua akademi dan kuasa dari seluruh dunia.

Pelbagai kuasa besar dapat merekrut orang-orang yang berbakat untuk menyertai mereka manakala pihak akademi pula boleh mendapatkan kemasyhuran dan reputasi yang tinggi jika para pelajar mereka mendapatkan kedudukan yang baik.

Jadi tidak kiralah sama ada pihak akademi atau anak-anak muda yang mengambil bahagian dalam Kejohanan Pertempuran Roh, semuanya mementingkan prestasi mereka dalam kejohanan itu nanti.

Hanya ada sepuluh tempat diperuntukkan bagi setiap akademi yang menyertai kejohanan itu. Sepuluh pelajar yang terpilih itu pula pastilah para pelajar elit yang telah bertanding dalam proses pemilihan yang ketat dan akhirnya mencapai kejayaan. Mereka bukan sahaja mewakili diri sendiri malah turut memikul reputasi akademi di bahu masing-masing.

Tiga akademi elit teratas di seluruh dunia ialah Akademi Zephyr, Akademi Panji Perang dan Akademi Pembunuh Naga. Tiga akademi yang kuat ini paling banyak mendapat perhatian pada setiap tahun. Sepuluh kedudukan teratas biasanya akan didominasi oleh wakil-wakil daripada tiga akademi ini. Negara Yan dan kuasa-kuasa kuat lain di seluruh dunia sudah pun merekrut ramai anak muda dari ketiga-tiga akademi ini pada tahun-tahun sebelum ini. Semua anak muda yang lebih cemerlang berbanding rakan-rakan sebaya mereka sewaktu kejohanan yang lalu. Mereka menyertai kuasa-kuasa ini dan meninggalkan akademi masing-masing. Kini mereka sudah pun menjadi lebih kuat dan membawa banyak manfaat pada tempat mereka berkhidmat!

Walaupun ada lebih seratus buah akademi yang menyertai Kejohanan Pertempuran Roh, hanya tiga akademi tertinggi ini yang mempunyai kuasa untuk bersaing mendapatkan kedudukan sepuluh teratas. Para pelajar dari akademi lain tidak berani mengimpikan kedudukan tersebut. Tetapi itu tidak menghalang mereka daripada tampil menunjukkan potensi masing-masing. Ini kerana jumlah orang yang diperlukan oleh pelbagai kuasa dan negara di dunia ini adalah tinggi. Sepuluh orang di kedudukan teratas itu tidak akan cukup untuk memenuhi keperluan mereka!

Tempoh berlangsungnya Kejohanan Pertempuran Roh adalah selama sebulan. Sepanjang waktu itu, penginapan dan makanan untuk semua peserta dari setiap akademi akan diuruskan oleh Negara Yan. Seminggu sebelum kejohanan itu bermula, konvoi dari pelbagai akademi akan mula masuk ke Ibu Negara Diraja Negara Yan, perlahan-lahan menjadikan kawasan itu lebih meriah dan bertambah kecoh.

Kereta kuda yang dihiasi panji-panji yang menunjukkan lambang Akademi Zephyr masuk melalui pintu pagar bandar tersebut. Sebaik melihat kereta-kereta kuda ini, askar-askar di pintu pagar itu beralih untuk membenarkan mereka masuk. Konvoi ini hanya terdiri daripada lima buah kereta kuda. Jumlah kereta kuda mereka kurang daripada separuh jika dibandingkan dengan kebanyakan konvoi dari akademi lain yang datang untuk menyertai Kejohanan Pertempuran Roh ini!