webnovel

Mengusik (3)

Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

Darah mengalir ke muka Jun Wu Yao. Setitik darah itu masuk ke dalam mulutnya.

Bau darah yang pekat membangkitkan naluri dalaman Jun Wu Xiao dan satu sinar berwarna ungu muncul tanpa terkawal di matanya.

Bau dan rasa darah menyerang deria rasa Jun Wu Xie, dan mencetuskan memori kehidupan silamnya, sehingga membuatkan dia menggigit dengan kuat.

Merasa lebih banyak darah dalam mulutnya, Jun Wu Yao melepaskan pegangannya. Matanya yang berwarna ungu begitu mendalam, sehingga kelihatan tidak terbatas. Darah yang mengalir dari bibirnya membuatkan dia kelihatan seperti syaitan.

Jun Wu Xie berusaha untuk keluar daripada pelukan Jun Wu Yao. Kemudian dia berdiri sambil merenung lelaki itu.

Jun Wu Yao mengesat darah yang mengalir dari mulutnya dengan tangannya. Rasa sakit itu menjadi peringatan yang berpanjangan, tentang gadis tidak berbelas kasihan yang sedang berdiri di hadapannya ini. Kalau tak kerana gerakan refleks yang pantas, Jun Wu Yao tidak mungkin terlepas begitu mudah.

Kucing ini sudah tumbuh kuku, dan tidak boleh diusik.

"Janganlah marah. Saya membuatkan sedikit darah terkena pada kamu, memang salah saya." kata Jun Wu Yao sambil tersenyum. Dia menarik keluar jarum perak itu dari pelipisnya, sebelum meletakkan jarum itu ke tangan Jun Wu Xie.

"Malam ini kamu akan tahu sama ada kucing hitam kecil itu dapat menghadamkan Singa Emas sepenuhnya. Perhatikan kucing itu dengan teliti. Panggil saya kalau ada apa-apa yang tidak diingini berlaku. Saya akan berada di sini." Jun Wu Yao tersengih nakal, langsung tidak mempedulikan pandangan dingin Jun Wu Xie.

Jun Wu Yao meninggalkan bilik itu tanpa menunggu jawapan.

Selepas menutup pintu bilik itu, Jun Wu Yao senyum. Dia menikmati darah yang masih mengalir di dalam mulutnya, tidak mampu menahan kilauan ungu pada matanya.

Satu bayang-bayang hitam yang telah mengawal kawasan itu, muncul di sebelah Jun Wu Yao. Bayang-bayang itu melutut sebelah kaki dan mengunjukkan sebotol ubat luka.

"Tuan." Mata bayang-bayang itu mengecil sewaktu terlihat darah pada mulut Jun Wu Yao.

Di dunia ini, jarang dapat ditemui orang yang boleh menyentuh Tuan, tetapi Cik dari Keluarga Jun ini sering membuatkan Tuan berdarah….

Melihatkan ekspresi terhibur pada wajah Jun Wu Yao, bayang-bayang itu menelan sahaja rungutan yang berlegar dalam dadanya.

Bayang-bayang itu gerun melihat wajah puas hati Tuannya itu. Tidakkah Tuannya ini menyedari masalah besar dalam interaksi di antara dirinya dan Cik Muda itu?

Sudah terlalu kerap Tuan luka parah dan balik dalam keadaan berlumuran darah...

"Tak perlu." Jun Wu Yao langsung tidak memandang ubat yang diunjukkan. Ekspresi wajahnya semakin terhibur.

Gadis yang dingin dan tidak berperasaan itu, akhirnya sudah menunjukkan ledakan emosi. Nampaknya ini satu perkembangan yang baik.

"Ini cuma satu hadiah kecil, tak perlu kecoh-kecoh. Kamu teruskan mengawal di sini." Jun Wu Yao mencium bajunya dan terhidu bau darah yang kuat. Dia berfikir tentang bau yang amat dibenci oleh gadis itu.

Bayang-bayang itu hanya mampu mengangguk sambil melihat kelibat Jun Wu Yao berlalu. Dia menyimpan saja kerisauan yang dirasainya.

"Tuan….. Mungkin Tuan berminat dengan Cik Muda itu, tetapi cara tuan ini agak melampau. Tiada siapa yang balik dalam keadaan berlumuran darah setiap kali bertemu dengan kekasih hati mereka. Tuan pasti apa yang Tuan lakukan ini betul?"

Seketika kemudian, setelah selesai mandi dan menyalin pakaian, Jun Wu Yao kembali ke pintu bilik Jun Wu Xie. Dia mencari kedudukan yang selesa dan bersandar pada tiang di luar pintu itu.

Gadis nakal itu sangat sayangkan kucing hitam kecil itu, jadi tak salah kalau dia membantu Jun Wu Xie menjaga kucing itu...

Jun Wu Yao mengangkat tangannya dan kabus hitam tersebar ke udara sebelum meresap masuk melalui ruang di celah-celah pintu, dan masuk ke dalam bilik itu.