webnovel

Menguruskan Masalah (3)

Dịch giả: EndlessFantasy Translation Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

Mo Xuan Fei mahu bersembunyi di satu sudut, tetapi dengan keadaan dirinya yang terikat di kerusi roda itu, dia tidak boleh ke mana-mana.

"Ap….. Apa yang kamu mahu?" Mo Xuan Fei tergagap-gagap kerana ketakutan. Roh berkontraknya telah dipisahkan secara paksa daripadanya. Ini menyebabkan dia bukan saja terseksa dari segi fizikal, malah menyebabkan rohnya juga menjadi kacau-bilau. Kesakitannya baru saja reda, tetapi sebaik terlihat Jun Wu Xie, segalanya kembali secara berlipat ganda.

Jun Wu Xie memandang lelaki itu tetapi tidak berkata apa-apa. Dia berpusing untuk melihat kurungan satu lagi.

Di dalamnya ada seorang gadis berpakaian putih yang sedang duduk sambil memeluk lutut. Gadis itu cuba bersembunyi di satu sudut. Keadaan badannya yang menggigil membuatkan timbunan jerami kering di bawahnya berbunyi.

Berbanding dengan muka cengkung dan keadaan tidak terurus Mo Xuan Fei, Bai Yun Xian telah dilayan dengan lebih baik.

Walaupun dia berada di dalam kurungan dan kebebasannya terbatas, Tentera Rui Lin telah memberikan dia makanan yang segar dan air minuman yang bersih. Dia juga mendapat air suam untuk membersihkan diri, dan menerima pakaian yang bersih. Ini sekurang-kurangnya membolehkan anak murid Kumpulan Qing Yun ini mengekalkan penampilan yang elok.

Perbezaan layanan ini telah menimbulkan sinar harapan dalam dirinya. Mungkin Jun Wu Xie tidak akan membunuhnya.

Walaupun dia menyimpan sedikit harapan, dia tidak berani menentang Jun Wu Xie dalam apa cara sekalipun.

"Heret dia keluar." Jun Wu Xie memberikan arahan kepada pengawal Tentera Rui Lin.

Pengawal-pengawal itu membuka pintu dan mengheret Bai Yun Xian keluar. Dia menundukkan pandangannya dan menggigil sambil berdiri, tidak mampu untuk memandang tepat ke mata Jun Wu Xie.

Dia tak tahu apa yang akan berlaku dan cuma boleh berdoa yang Jun Wu Xie tidak berniat untuk membunuhnya.

"Bawa dia keluar." kata Jun Wu Xie sambil menuding pada Mo Xuan Fei.

Mo Xuan Fei dibawa keluar menggunakan kerusi roda. Mantan Maharaja duduk di dalam kurungannya dan memandang Jun Wu Xie dalam ketakutan.

"Bagaimana dengan kemahiran perubatan kamu di dalam Kumpulan Qing Yun?" Jun Wu Xie bertanyakan pada Bai Yun Xian yang kelihatan pucat itu.

Bai Yun Xian hampir melompat kerana terkejut dan terlalu takut untuk menjawab pertanyaan Jun Wu Xie. Keyakinannya dalam bidang perubatan telah dihancurkan sepenuhnya dengan ganas oleh gadis itu.

Melihatkan Bai Yun Xian senyap saja, Jun Wu Xie memberikan arahan pada pengawal Tentera Rui Lin, "Paksa Putera Kedua membuka mulutnya."

Mo Xuan Fei berputus asa dan dia tidak berdaya untuk meronta-ronta. Kakinya tidak lagi berguna dan tangannya diikat pada kerusi roda itu. Ini membuatkan dia tidak dapat bergerak. Pengawal Tentera Rui Lin memaksanya membuka mulut, dan dia hanya mampu menjerit ketakutan.

Jun Wu Xie mengangkat tangan dan menjatuhkan sebiji pil berwarna hitam ke dalam mulut Mo Xuan Fei dan lelaki itu terpaksa menelannya.

"Lihat." Jun Wu Xie memberitahu Bai Yun Xian.

Bai Yun Xian menelan air liur dalam diam.

Seketika kemudian, Mo Xuan Fei yang diikat di kerusi roda itu mula meronta-ronta dan meraung kesakitan. Tompok-tompok hijau seperti bisul muncul dan merebak di mukanya sebelum mula mengembang. Kulitnya terkoyak di tempat-tempat keluarnya bisul itu dan menjadi luka berdarah yang perlahan-lahan bertukar menjadi gelap. Tompok hijau itu merebak ke leher dan seterusnya ke seluruh badannya. Dalam sekelip mata, Putera Kedua yang dahulunya segak bergaya itu, bertukar menjadi hodoh. Mo Qian Yuan terus meraung, kulitnya yang reput jatuh ke tanah dan mengeluarkan bau yang busuk.

Bai Yun Xian hampir menjadi gila melihat keadaan ini. Jika tidak kerana pengawal Tentera Rui Lin sedang memegangnya, dia pasti sudah rebah. Kakinya kehilangan segala kekuatan setelah menonton kejadian ini.

Di depan matanya, putera raja yang dahulunya tampan dan segak bertukar menjadi raksasa dari neraka!

Pada ketika ini, Mo Xuan Fei sudah kelihatan seperti mayat yang dagingnya tidak henti-henti mereput.