webnovel

Melarikan Diri dari Cenuram Penghujung Syurga (2)

Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

Qiao Chu dan yang lain tidak begitu memikirkan tentang pemergian Ye Mei. Selepas terpelanting keluar dari puting beliung itu, mereka semua telah mengalami kecederaan. Nasib baiklah sebelum turun ke dasar Cenuram Penghujung Syurga, Jun Wu Xie sudah memberikan beberapa botol ubat dan eliksir kepada setiap seorang. Sekurang-kurangnya mereka dapat pulih sedikit dalam masa yang singkat dan membolehkan mereka melakukan pencarian dengan cepat.

Setelah lama mencari tanpa henti, kaki mereka kini berasa lenguh. Kelembapan yang dingin serta kesejukan udara berterusan menyerang tubuh mereka, langsung tidak membantu proses penyembuhan luka-luka mereka.

Setelah berjalan perlahan-lahan di dalam kabus yang tidak berpenghujung itu, mereka akhirnya dapat melihat perubahan bentuk muka bumi. Kini mereka sampai di satu kawasan yang tidak diliputi lumut hijau. Malah di atas tanah yang hangus terbakar itu terdapat satu timbunan batu yang dikumpul dan disusun sehingga menyerupai bentuk rumah!

"Itu rumah ke? Mata saya ni salah tengokkah?" Qiao Chu menggosok-gosok matanya dengan kuat kemudian terkebil-kebil. [Adakah kelesuan ini menyebabkan saya berhalusinasi!? Mustahil ada rumah wujud di dasar Cenuram Penghujung Dunia yang tak berpenghuni!]

"Saya tak bergurau ni. Mata kamu pasti elok saja sebab… saya pun nampak benda yang sama!" kata Fei Yan sambil menarik tangan Qiao Chu.

Kemunculan tiba-tiba rumah batu itu menimbulkan perasaan ingin tahu di dalam hati mereka. Sewaktu mahu mendekati rumah tersebut, Ye Sha terus menghalang laluan mereka.

"Abang Ye Sha, kenapa ni?" tanya Fan Zhuo. Dia menyedari raut wajah Ye Sha yang kelihatan sedang berwaspada.

Ye Sha mengecilkan mata sambil merenung rumah batu tersebut.

"Ada orang dalam rumah tu."

Tiada cahaya dapat menembusi dasar cenuram itu dan mereka masih jauh lagi dari rumah batu itu. Ketika itu barulah mereka sedar bahawa rumah itu tidak diterangi cahaya dari Glob Api Roh mereka, tetapi mereka tetap dapat melihat bentuk rumah itu dengan jelas. Jaluran cahaya dapat dilihat memancar dari celah retakan rumah itu dan ini membolehkan rumah batu tersebut kelihatan samar-samar di dalam kegelapan.

Kata-kata Ye Sha membuatkan sekumpulan sahabat ini terpaku.

Qiao Chu hampir menjerit teruja, "Jun Xie! Pasti itu Jun Xie! Saya terfikir juga kenapa kita tak dapat cari dia. Rupa-rupanya dia menemui tempat macam ni!" Qiao Chu sudahpun melangkah menuju rumah itu dengan gembira ketika dirinya tiba-tiba ditarik oleh Ye Sha.

"Orang di dalam rumah itu memiliki roh ungu," kata Ye Sha sambil berkerut risau. Ketika matanya terpandang rumah tersebut, dia juga terfikirkan hal yang sama seperti Qiao Chu. Tetapi sejurus sebelum dia meluru ke situ, dia dapat mengesan kehadiran seseorang yang memiliki roh ungu di dalam rumah tersebut. Aura kuasa rohani yang dirasainya tidak syak lagi adalah merupakan roh ungu.

"Apa!?" Qiao Chu terperanjat.

Jun Wu Xie hanya memiliki roh tahap kuning. Kalau benar ada pemilik roh ungu di dalam rumah itu, pasti orang itu bukan Jun Wu Xie!

"Bukan pemilik roh ungu yang sebenar, tapi orang tu pasti menggunakan cara tertentu untuk membolehkan kuasa rohaninya mencapat tahap ungu," kata Ye Sha sambil matanya bersinar dingin.

Setelah mendengar kata-kata Ye Sha, senyuman di wajah Qiao Chu dan yang lain terus menjadi kaku.

Kebolehan untuk meningkatkan kuasa rohani sehingga ke tahap ungu pastilah dimiliki oleh seseorang dari Aalam Pertengahan!

"Orang dari Alam Pertengahan…" kata Hua Yao sambil merenung rumah batu itu.

"Rasanya betullah tu." Ye Sha mengangguk.

"Elak?" tanya Fan Zhuo sambil mengangkat keningnya. Walaupun dia berkata begitu, raut wajahnya kelihatan dingin dan matanya kelihatan ganas.

Orang Alam Pertengahan yang akan datang ke Cenuram Penghujung Syurga hanyalah mereka yang berasal dari Dua Belas Istana. Kumpulan sahabat ini sememangnya berasa marah dengan Dua Belas Istana. Kini musuh yang mereka benci sudah ada di depan mata. Mana mungkin mereka dapat menahan diri!?

"Rumah batu yang cantik dan menarik ni tak patut dibazirkan pada sampah-sampah dari Dua Belas Istana," kata Qiao Chu dengan nada mencemuh.

Pada ketika itu, para sahabat ini terus mencapai kesimpulan yang sama. Mereka mengumpulkan tenaga rohani sebelum serentak menghampiri rumah batu itu!

Ye Sha memberitahu mereka tadi yang hanya ada seorang sahaja di dalam rumah itu dan dia belum mencapai tahap roh tahap ungu yang sebenar. Sebab itulah dalam keadaan badan mereka yang tercedera itu pun mereka masih mampu menentang orang tersebut!