webnovel

Maut Menjelma (1)

Dịch giả: EndlessFantasy Translation Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

Sia-sia sahaja menyesali perkara yang sudah berlaku. Maharaja dan Mo Xuan Fei menyedari hakikat ini.

Mereka hanya mampu berharap orang-orang suruhan mereka lambat melaksanakan arahan yang diberikan, dan Jun Xian masih hidup. Kalau tidak, mereka terpaksa menemaninya di alam kematian!

Angin yang dingin bertiup, tetapi tidak sedingin kejadian pembunuhan yang berlaku di khalayak ramai ini. Bau darah membuatkan perut orang-orang di situ memulas-mulas. Pada malam ini, Kerajaan Qi kehilangan satu pertiga daripada pegawai-pegawai istana. Kepala mereka bersusun di hadapan Pintu Pagar Istana...

Selepas pegawai yang terakhir menyembah bumi dalam keadaan tidak bernyawa, Jun Wu Xie mengangkat tangannya. Anggota Tentera Rui Lin berundur, mengesat dan menyarungkan kembali pedang mereka. Pedang-pedang yang telah meragut banyak nyawa pada malam itu.

Jun Wu Xie tersenyum ke arah Maharaja.

Senyuman itu amat menggerunkan baginda yang sedang berdiri di atas tembok istana. Baginda takut apa lagi yang akan berlaku selepas munculnya senyuman itu, lalu berkata dengan tergesa-gesa, "Wu Xie, baguslah kamu dapat menyingkirkan pegawai-pegawai yang berbahaya ibarat kanser ini, daripada Kerajaan Qi. Kamu sememangnya keturunan Jun Xian. Istana Lin akan mendapat ganjaran sewajarnya!"

Senyuman Jun Wu Xie hilang dan matanya menjadi dingin. Maharaja berpeluh sejuk sewaktu Jun Wu Xie merenung baginda.

Inilah kali pertama Maharaja menyebut nama Jun Xian dan Jun Wu Xie faham maksud yang tersirat.

Bagus. Itu yang dia mahukan!

Maharaja mengalah kerana takut kehilangan nyawa dan memilih untuk melepaskan Jun Xian.

Tapi...

Jun Wu Xie masih mendiamkan diri, langsung tidak menunjukkan reaksi ke atas Kurnian Diraja yang diterimanya. Dia masih lagi berada di atas binatang hitam itu.

Wajah Maharaja menggerenyet kerana jengkel, namun baginda hanya mampu menelan sahaja sebarang kata-kata celaan. Jun Wu Xie tidak percayakan baginda dan mahukan Jun Xian dibawa ke situ!

Sambil mereka berdua saling merenung di antara satu sama lain, Maharaja hanya mampu berharap Jun Xian akan dibawa ke situ dalam keadaan selamat.

Jun Xian satu-satunya orang yang boleh membuatkan Jun Wu Xie berundur dan seterusnya mengekalkan hubungan harmoni di antara pemerintah dan rakyat.

Masa berlalu dan Maharaja semakin berpeluh.

Kedengaran bunyi tapak kaki yang bergerak dengan tergesa-gesa menghampiri Maharaja, dan baginda berpaling. Muka baginda kelihatan pucat.

Sida-sida yang dihantar untuk menghentikan tragedi itu, kembali dalam keadaan termengah-mengah…tanpa Jun Xian!

"Di mana dia? Di mana Jun Xian?" Maharaja menjerit.

Sida-sida itu hampir menangis, "Tu...Tuan..Tuanku… Sewaktu Patik tiba di sana...penjara itu ko...kosong. Cuma ada kesan darah…"

Maharaja hampir terduduk mendengarkan berita itu.

Darah…..

Adakah…..itu darah Jun Xian?

Selama bertahun-tahun, baginda memang menginginkan kematian Jun Xian. Kini setelah mendengar berita yang dibawa oleh sida-sida itu, baginda merasai ketakutan yang tidak pernah baginda rasai sebelum ini!

Jun Xian sudah mati! Jun Wu Xie tidak akan membiarkan Maharaja hidup!

Maharaja berputus harap. Baginda tidak mampu berpusing menghadap Jun Wu Xie. Mata baginda terbeliak ketakutan dan muka baginda dibasahi peluh.

Jun Wu Xie akan menghapuskan Istana Diraja! Dia tidak akan lepaskan sesiapa sekalipun!

"Tuanku!" Kedengaran satu suara yang dingin, menusuk baginda seperti pedang yang tajam.

"Y….. ya?" Maharaja tergagap-gagap sambil gigi baginda bergetar, mencuba sedaya upaya untuk kelihatan tenang. Jun Wu Xie tidak boleh mendapat tahu yang Jun Xian sudah dibunuh!

Renungan yang dingin itu ditujukan pada orang-orang yang berkumpul di atas tembok istana itu.

Pada saat itu, mata yang dingin itu sedang membara. Niat membunuh yang tidak terkawal dapat dirasakan oleh mereka yang berada di tembok istana.

Berani baginda bertindak begitu!