webnovel

Maaf, Ini Giliran Saya (7)

Dịch giả: EndlessFantasy Translation Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

Di dalam Bilik Bacaan Diraja di Ibu Negara Diraja Negara Yan, Maharaja negara itu sedang duduk di sebalik sebuah meja tinggi. Wajah baginda kelihatan marah sambil merenung lelaki berjubah hitam yang sedang melutut di hadapan meja tersebut. Tangan baginda menggenggam kertas kekulit yang merekodkan segala kejadian, khabar angin dan perubahan yang berlaku di Ibu Negara Diraja.

"Hal itu diurus dengan baik, ya? Hmm?" Mata Maharaja itu mengecil dan kertas kekulit di tangan baginda dicampakkan ke muka lelaki berjubah hitam itu!

Lelaki berjubah hitam itu kekal tidak bergerak sambil melutut di atas lantai. Dia tidak berani berkata sepatah pun untuk membantah.

"Beta titahkan kamu untuk laksanakan rancangan dan apa yang kamu buat? Apa maksudnya ni? Apa ni? Kenapa pelajar Akademi Hua Wan itu muncul di Kejohanan Pertempuran Roh? Dengan langkah pertamanya saja, budak Jun Xie tu telah mempamerkan kuasa roh hijau yang sukar dipercayai. Bukankah itu sama saja dengan memberitahu semua orang yang semua pembohongan sebelum ini boleh dianggap remeh? Tak cukup dengan membiarkan hakikat ini terdedah, kamu semua yang dungu ni buat apa pula selepas tu? Kamu semua biarkan pelajar Akademi Hua Wan itu berlari di jalan utama dan bercakap yang bukan-bukan! Kamu fikir Beta tak cukup hal untuk difikirkan? Sampaikan kamu perlu menyebabkan kekecohan ini berlaku dan menjadi skandal yang besar!?" Maharaja duduk di kerusi dengan dadanya kembang kempis menahan kemarahan yang membuak-buak di dalam hati baginda. Mata baginda yang kemerahan itu merenung tepat pada lelaki berjubah hitam yang sedang melutut di atas lantai itu.

Badan lelaki berjubah hitam itu menjadi kaku dan kepalanya semakin tertunduk.

"Kejadian ini berlaku disebabkan kesilapan patik yang hina ini. Patik tak sangka pelajar Akademi Hua Wan itu tiba-tiba akan mungkir janji. Patik sudah pun menghantar orang untuk menyiasat di mana Zhao Xun berada. Sebaik menemuinya, patik pasti akan buat dia menyesal."

Selepas Zhao Xun membuat kecoh di Ibu Negara Diraja tempoh hari, dia tiba-tiba menghilangkan diri. Demi menangkap Zhao Xun, mereka telah menunggu di rumah tumpangan yang disediakan untuk Akademi Hua Wan. Tetapi setelah menunggu sehingga lewat malam pun, mereka tidak ada melihat kelibat Zhao Xun. Demi mengelakkan hal ini menjadi semakin besar, mereka hanya mampu menghantar orang-orang mereka pergi mencari Zhao Xun di seluruh Ibu Negara Diraja secara senyap-senyap. Tetapi nampaknya pemuda itu telah lenyap dari muka bumi ini. Setelah mencari di seluruh Ibu Negara Diraja, bayangnya pun tidak kelihatan.

"Walau apa sekalipun, Zhao Xun mesti dicari!" Maharaja mengecilkan mata dan memaksa kemarahan di dalam hati baginda dipendam jauh. "Lagi satu, kita tak boleh teruskan hal ini. Kuasa Jun Xie telah didedahkan. Kalau kita teruskan juga, kita hanya akan dianggap sebagai bahan jenaka. Tak ada siapa yang akan percaya seorang pemilik roh hijau akan memerlukan pertolongan daripada Lei Chen."

Minda Maharaja akhirnya cukup tenang untuk baginda berfikir panjang. Baru-baru ini Akademi Zephyr telah mencuri perhatian di kebanyakan daerah pertempuran. Baginda ada mendengar tentangnya tetapi tidak menyangka peserta paling muda dari Akademi Zephyr itu juga akan memiliki kuasa yang begitu menggerunkan.

"Baik, Tuanku," jawab lelaki berjubah hitam itu.

Maharaja menarik nafas panjang. "Situasi di Akademi Zephyr sudah melebihi jangkaan Beta sewaktu mereka merapatkan diri dengan Putera Mahkota. Memandangkan tidak ada caranya lagi untuk kita mempergunakan orang-orang dari Akademi Zephyr ini, kita patut buat sesuatu untuk menarik para pemuda yang berbakat besar ini," kata Maharaja sebelum berhenti. Kemarahan di wajah baginda mula lenyap. Bibir baginda pula membentuk satu senyuman yang boleh dianggap menunjukkan sikap baik hati.

"Baru-baru ini Lei Fan asyik berkurung di dalam istana. Dia patut keluar dan bergembira sedikit. Ambil kesempatan dari Kejohanan Pertempuran Roh ini dan keluar bergaul dengan pelajar-pelajar elit dari pelbagai akademi. Nanti bolehlah dia memilih beberapa orang yang hebat untuk berada di sisinya dan melindunginya di masa hadapan."

Ketika bercakap tentang Putera Keempat, renungan mata Maharaja menjadi lebih lembut.

"Hal berkaitan Yang Mulia Putera Mahkota…" tanya lelaki berjubah hitam itu dengan berhati-hati.

Wajah Maharaja terus berkeru, "Buat sementara waktu ni, berhenti dulu. Tunggu sampai sepuluh peserta terbaik Kejohanan Pertempuran Roh ini ditentukan baru kamu teruskan. Dengan masalah yang kamu dan orang-orang kamu timbulkan itu, syak wasangka yang tak diingini akan timbul kalau kamu terus bertindak menentangnya."