webnovel

Kekuatan Kumpulan Qing Yun (1)

Dịch giả: EndlessFantasy Translation Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

Mantan Maharaja yang berkongsi bilik kurungan dengan Mo Xuan Fei memandang Bai Yun Xian dalam diam. Matanya mengecil dan penuh perasaan benci. Kalau Bai Yun Xian tidak bertindak bodoh dan menghantar Rama-rama Min itu ke Kumpulan Qing Yun yang berada jauh daripada mereka, pasti mereka dapat diselamatkan dengan lebih awal. Kalau Bai Yun Xian tidak menggunakan racun berbahaya ke atas penduduk Bandar Diraja, Jun Wu Xie dan Mo Qian Yuan tidak akan ada alasan untuk membawa angkatan tentera mereka masuk ke dalam Istana Diraja.

Dia juga tidak akan dipaksa turun takhta dan Mo Xuan Fei tidak akan bertukar menjadi makhluk yang dahsyat ini.

Semuanya disebabkan oleh perempuan ini!

Sikap dungu dan naifnya membuatkan mereka kehilangan segala-galanya.

Bai Yun Xian terlalu takut sehingga tidak perasankan pandangan berniat jahat itu. Dia sedang berdoa bersungguh-sungguh supaya tidak bertukar menjadi hodoh seperti Mo Xuan Fei.

Pada ketika ini, dia langsung tidak terfikir tentang cinta dan kasih sayang. Fikirannya hanya tertumpu pada cara untuk kekal hidup dan selamat.

Mantan Maharaja itu terus merenung dingin ke arah Bai Yun Xian. Keadaan sekarang membuatkan dia tidak lagi menaruh harapan untuk dirinya sendiri. Namun begitu, niat Jun Wu Xie untuk menipu Kumpulan Qing Yun melalui Bai Yun Xian, bukanlah sesuatu yang mudah.

Satu perkara lagi, dia sebenarnya telah membuat perjanjian sulit dengan Pemerintah Kumpulan Qing Yun. Bai Yun Xian juga tidak tahu tentang perkara ini. Orang-orang yang akan tiba di Kerajaan Qi, bukan hanya datang untuk menyelamatkan Bai Yun Xian…..

Dia akan menyaksikan semuanya, menyaksikan Jun Wu Xie, Mo Qian Yuan dan Bai YunXian menempuhi kematian beribu kali!

Mantan Maharaja itu ketawa perlahan, ketawa yang ditahan-tahan dan penuh niat jahat. Bai Yun Xian mendongak dengan takut dan melihat pandangan tajam yang diberikan oleh lelaki itu. Pandangan yang bermaksud lelaki itu tidak sabar-sabar mahu memusnahkannya.

Bai Yun Xian menyelinap ke sudut paling jauh dalam kurungannya. Dia tidak ada rasa bersalah, kerana dia tidak merasakan dirinya bertanggungjawab atas keadaan sekarang. Dia menganggap dirinya sebagai mangsa Jun Wu Xie, si gila dari Kerajaan Qi yang telah menyeksanya. Mangsa ketidakcekapan mantan Maharaja dan Mo Xuan Fei yang mengheretnya ke dalam situasi ini. Dia cuma mahu membantu dirinya sendiri, apa salahnya?

Lima hari kemudian, satu konvoi kereta kuda perlahan-lahan menghampiri Bandar Diraja. Setiap kereta kuda membawa sepanduk yang dihiasi lambang awan. Para pengawal di pintu masuk bandar bergegas membenarkan mereka masuk sebaik terlihat sepanduk itu, dan tidak menghalang laluan konvoi ini untuk terus menuju ke Istana Diraja.

Lambang awan itu merupakan tanda kebesaran Kumpulan Qing Yun. Sebarang konvoi yang membawa lambang itu tidak akan dihalang laluan mereka, walau di mana jua.

Di dalam kereta kuda yang paling cantik, ada seorang gadis yang jelita tiada bandingan, memakai pakaian berwarna biru muda. Dia duduk di dalam kereta kuda itu, matanya yang cerah memandang ke luar kereta kuda dan memerhatikan kerumunan orang ramai yang berkumpul di tepi jalan. Gadis itu mengangkat sedikit sudut bibirnya, mengurniakan senyuman yang anggun dan lembut pada orang ramai.

"Ini Kerajaan Qi?" Gadis berpakaian biru itu mengalihkan pandangannya ke dalam kereta kuda itu dan bertanya.

"Ya, Cik Sulung." Penemannya di dalam kereta kuda itu ialah seorang tua yang berambut putih. Walaupun dia kelihatan sudah lanjut usia, pandangan matanya yang tajam membuatkan orang berfikir sebaliknya.

"Yun Xian terperangkap di tempat kecil ini?Ini…" Gadis itu mengeluh dan melupakan perkara itu. Namun sedikit kilauan penuh hinaan terpancar seketika di matanya.

"Itu yang Rama-rama Min milik Cik Yun Xian katakan." Orang tua itu menjawab dengan hormat.

"Saya lihat tidak ada ramai pengawal di dalam dan di luar bandar ini. Bukankah Yun Xian kata, seluruh bandar ini telah dikepung oleh angkatan tentera yang dipanggil Tentera Rui Lin?" Gadis itu menopang dagunya, menunjukkan rasa tidak setuju. Rombongan Kumpulan Qing Yun tidak ada melihat apa-apa yang tidak diduga di sepanjang perjalanan. Mereka juga tidak melihat ramai askar di situ. Keadaan ini bertentangan dengan apa yang disampaikan oleh Rama-rama Mi.