webnovel

Kekuasaan Roh Ungu (2)

Dịch giả: EndlessFantasy Translation Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

"Memandangkan Senior Wen percaya yang Fan Jin tidak bersalah, kenapa tergesa-gesa nak bawa dia pergi dari sini? Senior tahu bukan, sebaik dia pergi, seumur hidupnya dia tak boleh membersihkan namanya daripada tuduhan membunuh ayahnya?" kata Ning Rui dengan gelisah. Walaupun Fan Jin sudah hilang akal, tapi dunia ini luas. Siapa tahu kalau wujudnya seseorang yang boleh menyembuhkan Fan Jin suatu hari nanti? Tambahan pula orang yang membawa Fan Jin ini ialah Wen Xin Han yang amat dihormati!

Sebagai pemilik roh ungu, Wen Xin Han hanya perlu menyatakannya. Semua doktor dan pengamal perubatan akan mengerumuninya seperti lebah menghurung madu!

Ada sesuatu yang membuatkan Ning Rui bingung. Kenapa Wen Xin Han tiba-tiba mahu bawa Fan Jin pergi dari sini? Dia tahu sebab mengapa Wen Xin Han tidak bertindak selama ini ialah kerana dia mahu melindungi reputasi dan nama baik Fan Jin!

Apa sebenarnya yang membuatkan Wen Xin Han berubah fikiran?

Wen Xin Han merenung tajam pada Ning Rui. Walaupun Ning Rui sedaya-upaya cuba mengawal keresahan di dalam hatinya dan berpura-pura risau tentang Fan Jin, Wen Xin Han tetap dapat mengesan sedikit nada panik pada suaranya.

Wen Xin Han tidak tahu siapa yang membunuh Fan Qi tetapi tindak-tanduk Ning Rui ini membuatkan Wen Xin Han begitu curiga dengan niatnya.

"Kalau Naib Guru Besar sanggup terus menyiasat dan membersihkan nama Fan Jin, baguslah. Tapi kalau tak sanggup pun, hal itu bukanlah sesuatu yang Fan Jin perlukan dalam keadaannya sekarang," balas Wen Xin Han. Keadaan Fan Jin lebih teruk daripada apa yang dia sangkakan. Mujurlah Jun Wu Xie menyuruh dia membawa Fan Jin keluar dari sini secepat mungkin.

Ning Rui mula berasa panik dan matanya asyik memandang ke luar.

"Senior Wen rasa patutkah pembunuh Fan Qi dibawa keluar begini?" Gu Ying berjalan keluar dari kerumunan orang ramai. Gongcheng Lei terus menuju ke sisi Ning Rui. Mereka berdua saling bertukar pandangan dan Ning Rui berasa senang hati.

Kening Wen Xin Han berkerut ketika menyedari Gu Ying telah bergegas ke situ.

"Sama ada Fan Qi dibunuh oleh Fan Jin atau tidak masih belum dibuktikan. Menggelar dia sebagai pembunuh itulah yang tak patut." Wen Xin Han tidak menyukai Gu Ying. Kata-kata pertama yang Gu Ying sebutkan sebaik tiba di situ ialah menuduh Fan Jin sebagai pembunuh.

Wen Xin Han menyedari kehadiran Jun Wu Xie yang berdiri di celah-celah orang ramai. Jun Wu Xie merenung tajam padanya dan Wen Xin Han mengalihkan pandangan kembali ke hadapan.

Jun Wu Xie telah menyuruh dia membawa Fan Jin keluar dari tempat ini walau apa pun yang berlaku.

"Belum dibuktikan? Kelakar juga Senior Wen ni. Hanya Fan Jin dan Fan Qi yang berada di bilik tersebut ketika itu. Sewaktu Gongcheng Lei masuk ke dalam, Fan Qi sudah pun mati dan pedang yang digunakan untuk membunuhnya ada dalam genggaman Fan Jin. Kalau itu tidak membuktikan Fan Jin telah membunuh Fan Qi, saya tak tahu bukti macam mana lagi yang Senior Wen inginkan untuk percaya Fan Jin adalah pembunuhnya." Gu Ying ketawa sambil berjalan mendapatkan Wen Xin Han dan menghalang laluannya. Matanya memandang Fan Jin yang tidak bergerak. Gu Ying meneruskan.

"Mungkinkah Senior Wen cuba melindungi Fan Jin? Walaupun tahu dia telah membunuh Guru Besar, Senior Wen masih berkeras mahu bawa dia pergi?"

Gu Ying cuba memerangkap Wen Xin Han. Dia mahu menarik Wen Xin Han masuk ke dalam lumpur bersama-sama Fan Jin.

Namun Wen Xin Han masih lagi tenang. Setelah menerima isyarat Jun Wu Xie, dia tidak perlu mempedulikan hal lain kecuali tugas yang diberikan.

"Hanya masa yang akan menentukan kebenaran dan penipuan. Keadaan Fan Jin begitu teruk sekarang ini. Sebagai orang tua, saya tak boleh berdiam diri dan tak berbuat apa-apa. Tak kira apa pun, saya akan bawa Fan Jin keluar dari sini hari ini." Wen Xon Han merasakan sudah cukuplah dia bercakap. Gu Ying memiliki lidah beracun. Kalau Gu Ying dibiarkan terus bercakap, dia cuma akan terus memburuk-burukkan Fan Jin.

Fan Jin pula sudah tidak mampu lagi untuk melindungi dirinya sendiri.

"Jadi Senior Wen berkeras untuk melindungi pembunuh ini?" tanya GuYing sambil mengecilkan matanya yang kini bersinar dengan cahaya berbahaya.

"Kalau saya mahu bawa dia pergi, siapa yang berani halang saya!?" Wen Xin Han ketawa. Tubuh badannya tiba-tiba diselubungi pancaran cahaya tenaga rohani ungu yang terang!