webnovel

Kekok (2)

Dịch giả: EndlessFantasy Translation Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

Jun Wu Xie bergegas pulang ke Istana Lin, di mana Jun Xian dan Jun Qing sedang menantinya dengan resah. Mereka mengeluh lega apabila melihat Jun Wu Xie melangkah masuk. Jun Qing mahu bangun mendapatkan Jun Wu Xie, untuk bertanya tentang keadaan di Istana Diraja, tetapi Jun Xian menarik tangannya sebelum berkata kepada Jun Wu Xie, "Sudah lewat malam, bersihkan diri kamu dan berehatlah. Hal-hal lain boleh tunggu hari esok."

Jun Wu Xie teragak-agak sebelum mengangguk diam. Dia benci kelihatan kusut-masai seperti ini. Pada saat ini dia hanya mahu berendam dalam air panas dan membuang segala kesan darah serta bau yang kuat.

"Ayah….." Jun Qing memandang Jun Xian dengan hairan.

Jun Xian menggelengkan kepalanya sedikit dan berkata, "Kamu tak nampak betapa letihnya dia?"

Jun Qing berfikir semula dan menyedari Jun Wu Xie nampak tak apa-apa, tetapi mukanya agak pucat.

"Kasihan budak tu, mesti dia dah memaksa dirinya. Memandangkan dia dah pulang dengan selamat, keadaan di Istana Diraja pasti sudah tenang. Biar dia berehat dulu. Esok kita boleh tanya dia." Jun Xian mengeluh berat. Gadis muda berusia empat belas tahun. Usia di mana dia sepatutnya boleh menikmati zaman remajanya tanpa perlu risaukan apa-apa, tetapi Jun Wu Xie tidak berpeluang buat begitu.

Jun Xian berasa tenang dengan kematangan dan kekuatan cucunya, tetapi hatinya pedih mengenangkan betapa kuatnya Jun Wu Xie bekerja.

"Saya terlalu gelisah tadi. Saya akan suruh hamba suruhan sediakan makanan panas dan hantarkan kepada Wu Xie." Jun Qing sedar yang dia tidak sensitif dengan keadaan Jun Wu Xie, lalu terus pergi untuk mencari hamba suruhan.

Sewaktu Jun Wu Xie sampai ke biliknya, air mandian sudah tersedia. Dia membuka bajunya dan berendam penuh bahagia di dalam air suam yang menenangkan itu. Otot-ototnya yang tegang di seluruh badannya akhirnya dapat direhatkan.

Dia baru sahaja berjaya mencapai roh tahap jingga sebelum mengharungi dua pertempuran secara berturut-turut. Dia juga telah berusaha keras untuk menyelamatkan seseorang yang cedera parah. Hal-hal yang berlaku hari ini benar-benar membuatkan dia keletihan….

Binatang hitam itu berubah bentuk, kembali menjadi seekor kucing hitam kecil dan dengan tangkas menarik keluar sehelai pakaian lalu menyangkutkannya pada tabir. Teratai Mabuk mahu masuk ke dalam, tetapi dihalang oleh kucing kecil itu. Teratai Mabuk telah menghabiskan wain Bulan Jed dan kesan mabuk akibat arak itu semakin lenyap. Dia kemudiannya bertukar menjadi Teratai Kecil. Sebaik melihat kuku kucing hitam itu yang tajam, Teratai Kecil terhuyung-hayang sambil menangis, masuk ke dalam kolam teratai untuk berendam sendirian dalam kesedihan.

Kucing hitam kecil itu kemudiannya berpaling untuk bercakap dengan Jun Wu Xie, namun berasa kecewa sebaik terpandang susuk tubuh tinggi lampai Jun Wu Yao yang sedang berada di pintu bilik mandi. Mata kucing hitam kecil itu menjadi dingin dan langkahnya terhenti.

Jun Wu Yao berjalan tanpa bunyi, menghampiri tab kayu itu dan memandang Jun Wu Xie yang berada di dalamnya. Mata gadis itu tertutup. Jun Wu Yao tersenyum sambil berdiri di belakang tab itu. Jari-jarinya yang runcing memegang bahu Jun Wu Xie. Dia mula mengurut lembut otot-otot tegang di bahu gadis itu.

Mungkin disebabkan oleh kejadian-kejadian yang berlaku sepanjang hari ini atau urutan Jun Wu Yao yang menenangkan, Jun Wu Xie tidur nyenyak dalam rendaman air suam di dalam tab kayu itu. Kepalanya terlentok di atas tangan Jun Wu Yao.

Haruman air mandian itu serta kabus yang terbentuk daripada air yang panas, menyelubungi bilik itu dan tersebar sehingga ke hidung Jun Wu Yao. Dia menarik nafas dalam dan mengurut-urut bahu Jun Wu Xie. Kehangatan meliputi dirinya dan jantungnya berdegup lebih pantas.

Kucing hitam itu duduk di belakang Jun Wu Yao sambil memandang dengan bimbang. Kucing hitam itu tak pasti mahu bergerak atau tidak.

Dalam keadaan tidak berdaya, kucing hitam itu membuat keputusan dengan tegas. Kalau Jun Wu Yao membuat sesuatu yang tak elok, demi mempertahankan kesucian tuannya, kucing hitam kecil itu akan...akan...mengejutkan tuannya!

Tetapi kucing hitam kecil itu lega kerana perkara yang difikirkannya itu tidak terjadi. Jun Wu Yao menyedari suhu air mandian itu sudah turun, lalu dia menarik jubah yang disangkutkan pada tabir. Dia mengangkat Jun Wu Xie keluar dari tab itu dan menututpi tubuh gadis itu dengan jubah tersebut secara berhati-hati. Kemudian dia membawa gadis itu ke katil dan membaringkannya dengan perlahan-lahan ke atas katil yang empuk.

Tak ada apa yang dilakukan selepas itu.

Kucing hitam kecil itu yang tadinya resah, mula bertenang. Kucing hitam kecil itu menyorok di bawah meja kerana malu akibat telah memikirkan perkara yang bukan-bukan.

Kucing hitam kecil itu mengetepikan hal ini dan mula berfikir secara serius. Adakah syaitan ini sudah berubah? Syaitan ini sudah menjadi lelaki budiman?