webnovel

Jamuan Makan (9)

Dịch giả: EndlessFantasy Translation Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

Lei Yuan memarahi pembantunya dengan tidak sabar, "Kamu tak boleh bercakap? Berhenti tergagap-gagap!"

"Tengok… Cepat… Tengok…" Suara pembantu itu semakin bergetar.

Lei Yuan mengklikkan lidahnya lalu berpusing. Dia menjeling taman itu dengan kurang sabar.

Satu jelingan itu sahaja sudah cukup membuatkan dia ternganga. Dia tidak dapat menutup mulutnya!

Di bawah sinaran cahaya bulan, anak muda bersaiz kecil molek itu sedang berdiri bersendirian. Susuk tubuhnya diselubungi cahaya roh hijau yang terang. Warna hijau pekat seperti batu zamrud itu menjadi bukti yang tidak dapat disangkal bahawa roh hijau itu sudah pun mencapai kemuncaknya. Cahaya roh yang terang itu perlahan-lahan menghilang, serentak dengan degupan kencang dari jantung Lei Yuan.

"Roh… roh hijau…" Mata Lei Yuan menjadi bulat sebesar piring sewaktu merenung pemuda yang kelihatan kurus dan lemah itu dengan perasaan tidak percaya. Tanpa sedar, dia menggosok-gosok matanya untuk memastikan dia tidak tersilap pandang.

"Empat belas tahun… roh hijau… dan… tahap kemuncak…" Lei Yuan tergamam. Dalam mimpi pun dia tidak pernah menyangka akan dapat melihat seorang pelajar, dari sebuah akademi yang sedang mengalami kejatuhan, memaparkan jumlah kuasa yang sukar dipercayai...

Usia semuda itu, memiliki roh di tahap tersebut.... Ini memang melangkaui batasan dan tidak pernah didengari sebelum ini!!

[Budak ini manusiakan?]

Pada ketika itu, Lei Yuan mempunyai sebab yang kukuh untuk percaya bahawa budak ini ialah seorang pakar yang sedang menyamar!

Kalau tidak, kuasa budak ini terlalu luar biasa!

Bukan hanya di Akademi Zephyr. Kalau dicari di dua buah lagi akademi terhebat itu pun atau di beratus-ratus akademi yang lain, tak mungkin dapat ditemui seorang lagi pelajar seperti ini!

Tidak ada lagi persembahan yang boleh ditontonnya, malahan dia pula terkejut besar. Lei Yuan tiba-tiba berasa lega kerana tidak mendedahkan dirinya tadi. Kalau tidak, dia yang akan malu sekarang. "Patutlah Kakanda Beta memberi layanan istimewa pada budak tu. Rupa-rupanya dia dah tahu!" kata Lei Yuan sambil mengetap gigi. Di dalam mindanya, dia mengutuk dan menyumpah-nyumpah Lei Chen. Dia tertanya-tanya kenapa Lei Chen akan melakukan sesuatu yang tidak memberikan manfaat kepada dirinya. Rupa-rupanya Lei Chen sudah pun menyedari nilai Jun Xie, Jadi sebab itulah dia menggunakan panggilan mesra "Adik Jun" di hadapan orang lain. Lei Yuan terus sedar mengapa Jun Xie tidak teruja pun mahu membalas layanan berat sebelah Lei Chen padanya. Kebolehan yang ada pada Jun Xie ini tidak memerlukan dia mengampu dan tunduk pada orang lain. Berdasarkan kepantasan pemupukan kuasa rohaninya, tak lama lagi dia boleh mencapai roh ungu!

Lei Yuan pada mulanya gembira dengan tindakan Lei Chen yang memalukan Akademi Pembunuh Naga lalu memberikan dia peluang untuk mendekati mereka. Namun berdasarkan situasi yang baru dilihatnya, dia sememangnya bernasib malang. Tak kira betapa elitnya para pelajar Akademi Pembunuh Naga, mereka tidak setanding dengan anak muda yang berpotensi untuk mencapai tahap roh ungu.

Minda Lei Yuan mula ligat berfikir. Dia sedar yang Jun Xie tidak begitu melayan Lei Chen. Adakah itu bermaksud yang Jun Xie tidak begitu sukakan Lei Chen? Maksudnya dia juga ada peluang?

Sebaik terfikirkan hal ini, hati Lei Yuan berbunga-bunga. Dia tidak sanggup berputus asa beigut sahaja. Cepat-cepat dia menarik-narik bajunya untuk kelihatan lebih kemas dan mengubah ekspresi wajahnya sebelum melangkah masuk ke dalam taman tersebut.

Jun Wu Xie baru sahaja selesai menghalau sekumpulan budak-budak biadab yang tidak sedar diri. Sekarang ini dia tiba-tiba berhadapan dengan "bola manusia" yang sedang "bergolek" ke arahnya.

"Adik ni tak apa-apa? Beta nampak ada orang dari Akademi Pembunuh Naga datang ke sini tadi dan berasa risau kalau-kalau mereka biadab dengan kamu. Mereka tak ada buat apa-apa, bukan?" Sikapnya amat berbeza dengan kebencian yang ditunjukan pada Jun Wu Xie ketika di jamuan tadi. Lei Yuan menghampiri Jun Wu Xie sambil tersenyum lebar. Dia tekad mahu menampilkan imej sopan dan lemah-lembut. Namun badannya yang gempal itu bergetar ketika dia ketawa dengan kekok, berlawanan dengan imej yang mahu dipaparkannya.

Jun Wu Xie berkerut sedikit sambil memandang Lei Yuan. Lelaki itu begitu obes sehinggakan dia kelihatan seperti sebiji bola.

Kalau tak salah ingatannya, si bola ini adalah Putera Kedua Negara Yan. Di jamuan tadi dia menunjukkan kebencian terhadap Akademi Zephyr. Kenapa sekarang ini dia tiba-tiba berubah?