webnovel

Jamuan Makan (3)

Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

Orang yang bercakap itu bukannya orang biasa tetapi merupakan Putera Kedua, Lei Yuan. Pemerintah Negara Yan memiliki empat orang anak lelaki. Putera Mahkota adalah anak Maharani. Memandangkan Putera Kedua dan Putera Ketiga dilahirkan oleh Gundik Diraja, pangkat dan kedudukan mereka tentulah tidak setaraf dengan Putera Mahkota Lei Chen. Tambahan pula, Lei Chen adalah anak sulung dan putera yang paling berbakat. Jadi kedudukannya amat kukuh. Walaupun putera bongsu Negara Yan bukannya dilahirkan oleh Maharani, bonda kandungnya meninggal ketika usianya masih muda dan sejak kecil lagi putera bongsu ini dibesarkan oleh Maharani.

Jamuan makan tahun ini dianjurkan oleh Putera Mahkota Lei Chen dan putera-putera lain telah dijemput untuk turut serta Jamuan ini belum lagi bermula dan hanya Lei Yuan yang hadir pada ketika itu. Badan Lei Yuan yang gempal itu kelihatan agak besar. Wajahnya yang tembam pula membuatkan paras rupanya seolah-olah terhimpit dan herot. Walaupun dia mengenakan jubah broked yang cantik, tidak ada sedikit pun ciri-ciri bangsawan atau kemegahan yang dapat dilihat padanya. Sebaliknya, dia kelihatan agak menyedihkan.

Ketika Lei Yuan bercakap tadi, suaranya agak kuat dan para pemuda yang duduk berdekatan dapat mendengar dengan jelas. Sewaktu terdengar kata-katanya, mereka ketawa sesama sendiri. Mereka tidak fikir Akademi Zephyr yang sekarang ini layak menerima layanan sebaik itu dan tindak-tanduk Lei Chen amat mengelirukan mereka. Sebab itulah mereka amat bersetuju dengan Lei Yuan.

"Adinda Kedua jangan cakap yang bukan-bukan," kata Lei Chen sambil merenung Lei Yuan dan menggelengkan kepalanya. Dia nampaknya tidak berpuas hati dengan kata-kata Lei Yuan yang agak biadab.

Tetapi Lei Yuan tidak setuju dengan kakandanya. Matanya memandang Jun Wu Xie dan rakan-rakannya yang lain dengan penuh cemuhan.

"Kakanda terlalu baik hati. Hati-hati. Takut nanti personaliti Kakanda yang lemah-lembut ini akan diambil kesempatan oleh orang lain yang mahu rapat dengan Kakanda."

Lei Chen menjeling Lei Yuan dengan marah sebelum berpaling memandang Jun Xie dengan pandangan mata yang seolah-olah memohon maaf atas perlakuan Lei Yuan.

Jun Wu Xie memandang adik-beradik dari Keluarga Lei ini dengan tenang. Dia langsung tidak menunjukkan kegembiraan di atas layanan baik Lei Chen, mahupun tersinggung dengan kemarahan Lei Yuan. Dia hanya kekal tenang.

Jun Wu Xie tidak fikir yang Lei Chen ikhlas berbuat baik dengan Akademi Zephyr. Sebagai Putera Mahkota, mustahil dia tidak sedar tentang keadaan terkini Akademi Zephyr yang menyedihkan. Huru-hara yang berlaku di Akademi Zephyr baru-baru ini sudah pun membuatkan mereka menjadi tumpuan. Namun Putera Mahkota masih melayan mereka dengan baik di hadapan akademi-akademi lain. Jelas sekali yang tindakannya itu bukan sekadar layanan yang sopan, tetapi sengaja mahu menolak Akademi Zephyr ke dalam satu lagi kekusutan! Kalau Lei Chen tidak buat begitu, Lei Yuan juga tidak akan menyindir mereka.

Nampaknya Putera Mahkota ini juga tidaklah sebaik mana.

Jun Wu Xie masih lagi tenang dan dia dapat merasakan beberapa pasang mata yang membara sedang merenungnya. Dia berpaling memandang ke arah renungan itu dan terlihat beberapa orang pemuda yang berpakaian seragam Akademi Pembunuh Naga. Mereka duduk di satu tempat berhampiran dan merenungnya dengan perasaan benci dan tidak puas hati. Jun Wu Xie hanya memandang mereka sekilas dengan tenang sebelum berpaling.

Disebabkan Lei Chen telah pergi ke Lof Dewa sebelum ini, orang-orang dari Akademi Pembunuh Naga menjadi sangat marah. Jadi ketika pelajar-pelajar akademi itu terpandang Jun Wu Xie dan rakan-rakannya tadi, mata mereka membara dengan penuh kemarahan. Seolah-olah mereka baru saja terpandang musuh ketat mereka.

Kalau Akademi Zephyr masih gemilang seperti dahulu, Akademi Pembunuh Naga mungkin masih boleh memaafkan mereka. Tetapi akademi yang hampir musnah ini telah membuatkan Lei Chen menolak mereka secara terang-terangan. Mereka tidak berani berdendam dengan Lei Chen, kemarahan yang tersimpan itu dilepaskan pada para pelajar Akademi Zephyr.

"Mereka tu datang dari Akademi Zephyr?"

"Mereka nampak lembik. Orang-orang yang tampan, sedap mata memandang, tapi hakikatnya tidak berguna pun," kata beberapa orang pelajar dari Akademi Pembunuh Naga sambil mencemuh. Mereka tidak memperlahankan suara. Nampaknya mereka mahu Jun Wu Xie dan yang lain mendengar kata-kata tersebut.

Jamuan belum pun bermula dan suasana di situ sudah pun menjadi tegang.