webnovel

Jamuan di Istana (5)

Dịch giả: EndlessFantasy Translation Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

Sida-sida muda itu tiba-tiba menggelabah dan memanggil lelaki berambut putih perak itu, "Tuan Penasihat Agung! Tuan nak ke mana?"

"Macam mana saya boleh kecewakan bulan yang dah mempamerkan pemandangan indah ini? Kamu laporkan pada Tuanku yang saya akan lewat sikit ke jamuan itu." Selesai bercakap, lelaki berambut putih perak itu berpaling dan berlalu tanpa menoleh kembali.

Seketika kemudian ada orang suruhan yang datang dari jamuan, membawa titah Maharaja. Baginda menjemput Penasihat Agung untuk menyertai jamuan. Tapi… Penasihat Agung sudah pun berlalu pergi.

Lei Fan membawa Jun Xie ke Taman Diraja. Jamuan masih berlangsung pada ketika itu dan Taman Diraja lengang tanpa ada sesiapa pun di situ. Tanglung digantung tinggi di merata tempat, menemani sinaran cahaya bulan yang menerangi seluruh kawasan itu. Musim bunga belum tiba lagi, Negara Yan masih di dalam musim sejuk. Malah beberapa hari lalu salji turun dengan lebat di Ibu Negeri Diraja Negara Yan. Salji yang putih melitupi kebanyakan kawasan. Di dalam Taman Diraja itu, salji yang terkumpul telah disapu bersih, tetapi dahan-dahan dan bahagian atas pokok masih dilitupi salji. Cahaya bulan terbias pada salji yang memutih, membuatkan Taman Diraja itu kelihatan dingin dan terang pada waktu malam.

"Kejohanan Pertempuran Roh dah pun berakhir. Apa rancangan kamu?" tanya Lei Fan sambil tersenyum. Dalam perjalanan ke taman itu, beberapa kali dia cuba mencari peluang untuk berbual dengan Jun Wu Xie tetapi kurang mendapat balasan. Kesabaran Lei Fan semakin menipis.

Pandangan mata Jun Wu Xie memerhatikan pelbagai jenis tumbuhan di Taman Diraja. Disebabkan adanya Teratai Salji di dalam badannya, Jun Wu Xie lebih sensitif dan mampu mengesan tumbuhan. Walaupun Taman Diraja di Negara Yan ini nampak biasa sahaja, dia dapat mengesan beberapa tumbuhan luar biasa yang tersembunyi di bawah timbunan salji di taman itu. Tumbuhan-tumbuhan tersebut mampu memberikan sejumlah besar kuasa rohani. Meskipun tidak setanding dengan Teratai Salji, tetap lebih baik berbanding tumbuhan lain.

"Kenapa Putera Keempat tanya begitu?" balas Jun Wu Xie.

Lei Fan berkata sambil tersenyum, "Pada tahun-tahun terdahulu, selepas berakhirnya Kejohanan Pertempuran Roh, mereka yang mencapai kedudukan tinggi akan memilih sama ada untuk kembali belajar di akademi atau pergi ke tempat lain yang lebih bagus. Kamu masih muda dan sudah pun begitu kuat. Beta percaya ramai orang mahu menawan hati kamu. Walaupun kamu dah berulang kali menolak pelawaan ikhlas Beta, sekali lagi Beta mahu menawarkannya. Beta mahu tanya sama ada kamu sanggup menjadi rakan belajar Beta. Tak sanggup rasanya Beta mahu melihat orang yang Beta rasa selesa berkawan ini terpisah jauh ke hujung dunia."

Selepas bercakap, Lei Fan mengeluh berat, seolah-olah dia amat tertekan.

Jun Wu Xie kembali diam tetapi matanya senyap-senyap meneliti wajah Lei Fan. Apa yang Fei Yan katakan tadi telah mencetuskan minatnya. Dia pasti ini bukanlah penampilan asal Lei Fan.

Hal ini berada dalam lingkungan kemahiran Jun Wu Xie. Tidak terlalu sukar untuk dia menyelami penyamaran Lei Fan.

Penukaran Wajah boleh dibahagikan kepada tiga jenis. Satu daripadanya ialah sama seperti yang Jun Wu Xie lakukan. Dia menutup wajah asalnya secara luaran untuk menampilkan wajah yang dia mahukan. Cara kedua memerlukan seseorang mencederakan tendon dan memperbetulkan tulang untuk mengubah wajah dengan menukar struktur tulang. Cara ketiga agak sama dengan Hua Yao dan kemahirannya, Teknik Pengubah Tulang. Namun cara ini tidak membolehkan penggunanya sendiri mengawal perubahan tulang, sebaliknya melalui penggunaan dadah dan ubat tertentu untuk membentuk semula rupa mereka.

Di antara ketiga-tiga cara ini, cara yang pertama paling mudah tetapi juga paling senang diketahui. Asalkan seseorang itu tahu tentang Penukaran Wajah, mereka akan dapat mencari kesalahan yang akan mendedahkannya.

Berkenaan cara kedua pula… Jun Wu Xie percaya memandangkan Lei Fan adalah anak kandung Maharani, baginda tidak akan mahu Lei Fan menanggung kesakitan dan seksaan penggunaan cara itu. Lagipun, Lei Fan masih muda dan struktur tulangnya masih belum cukup matang. Melakukan pembedahan ke atasnya pada tahap ini tidak memberi jaminan rupa parasnya akan menjadi seperti yang mereka mahukan setelah dia meningkat dewasa nanti.

Kepada para pembaca,

Telah diputuskan bahawa terjemahan buku ini akan dihentikan. Terima kasih kerana bersama-sama dengan kami dalam pengembaraan yang indah ini dan semoga berjaya kepada anda semua dalam masa yang mencabar ini. Jumpa lagi!

dracarys3064creators' thoughts