webnovel

Hanya untuk Lelaki Budiman (2)

Dịch giả: EndlessFantasy Translation Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

Wen Xin Han memandang Jun Wu Xie dengan bingung, kemudian merenung botol yang dipegangnya.

Apa yang gadis kecil ini katakan?

Dia sudah melihat sendiri Teratai Mabuk beraksi dan Wen Xin Han tidak yakin sepenuhnya yang dia akan terselamat jika berlawan dengan Teratai Mabuk. Dia faham apa yang Jun Wu Xie maksudkan dengan mengatakan dia akan mati di sini. Jauh di sudut hatinya, dia tahu yang ini bukannya ugutan kosong.

Dan gadis itu juga kata...eliksirnya ini dapat menyelamatkan nyawa...benarkah?

Mereka yang lain dapat melihat Wen Xin Han hampir bertindak sebelum botol eliksir Jun Wu Xie itu telah mengelirukannya dan membuatkan dia berhenti. Pihak penyerang yang kini menjadi tidak berdaya akibat serangan Teratai Mabuk dan binatang hitam itu, semakin terdesak.

"Wen Xin Han! Jangan terpedaya dengan perempuan sihir itu! Pemerintah Kumpulan Qing Yun sekalipun tidak yakin sepenuhnya dapat merawat cucu kamu, apa saja kebolehan yang budak muda ini ada? Dia cuma melengahkan masa untuk membunuh kami sebelum dia dapat mengumpulkan angkatannya untuk menentang kamu! Jangan tertipu dengan rancangannya!"

Wen Xin Han berdiri merenung Jun Wu Xie dengan hairan. Dia tidak akan memikirkannya jika dia hanya mempertimbangkan umur gadis itu. Tetapi ada sesuatu tentang gadis ini yang menarik perhatiannya sewaktu dia melihat mata gadis ini yang tenang dan yakin. Dia juga dapat merasakan gadis ini amat pasti dengan kata-katanya.

'Berlawan bermati-matian, atau berlalu pergi membawa harapan terakhir ini?'

Kalau dia mati di sini, cucunya juga tidak akan terselamat. Dia sangat faham tentang sikap Kumpulan Qing Yun yang tidak berperasaan. Walaupun dia mati di sini atas urusan mereka, Kumpulan Qing Yun tidak akan membazirkan masa merawat cucunya. Mereka akan menganggap cucunya tidak berguna tanpa dia.

Kalau begitu, mengapa dia perlu bergadai nyawa?

"Nama kamu Jun Wu Xie?" Wen Xin Han mendongak dan memandang gadis itu.

"Ya."

"Saya tak akan lupakan kamu. Saya tak akan melibatkan diri lagi di sini, hari ini. Kalau eliksir ini benar-benar berkesan, saya, Wen Xin Han, akan terhutang nyawa dengan kamu mulai hari ini. Tapi kalau kamu berbohong, saya akan lakukan apa saja untuk memusnahkan Keluarga Jun, walaupun terpaksa berkorban nyawa." Wen Xin Han memutuskan untuk membuat taruhan. Dia tidak yakin akan selamat jika bertempur dengan Teratai Mabuk, dan jika dia mati, cucunya juga tidak akan mempunyai peluang untuk terus hidup.

Menerima cadangan Jun Wu Xie sebagai jalan alternatif ialah pilihan terbaik jika ini dapat menyelamatkan nyawa cucunya. Jika tidak, dia akan membuat Jun Wu Xie membayar hutang darah.

"Saya tak mahu nyawa kamu." Jun Wu Xie menolak dengan dingin dan ini menjawab persoalan yang bermain di minda Wen Xin Han.

Wen Xin Han tiba-tiba ketawa berdekah-dekah. Berdepan dengan gadis yang begitu yakin dan angkuh ini, dia tidak dapat menahan diri daripada menyukai gadis ini.

"Baiklah! Kalau ubat ini berkesan, saya akan melindungi Keluarga Jun sehingga saya mati. Bagaimana?"

"Kamu fikir saya tak boleh lindungi keluarga sendiri?"

Angkuh betul!

Inilah kali pertama Wen Xin Han berdepan situasi ini. Dia tidak pernah bertemu budak yang tidak mudah dikawal dan bersikap memberontak seperti Jun Wu Xie. Kalau tak kerana masa dan keadaan yang tidak sesuai, dia mahu lihat apa yang gadis ini mampu lakukan. Gadis hebat yang mampu mencapai roh tahap jingga pada usia yang sangat muda.

"Nampaknya saya telah menimbulkan kekacauan hari ini. Semoga kita bertemu lagi." Wen Xin Han tidak mahu dikaitkan dengan Kumpulan Qing Yun lagi. Kalau tak kerana cucunya yang sedang nazak, dia tidak akan setuju untuk turut serta dengan kekejaman Kumpulan Qing Yun yang dipandang tinggi itu.

Setelah berkata begitu, Wen Xin Han melenyapkan tekanan rohnya. Dengan satu libasan lengan bajunya, dia melayang ke udara, meninggalkan jeritan dan sumpahan para pengguna roh biru di belakangnya.

"Dia benar-benar sudah pergi?" Jun Qing telah memerhatikan semuanya dengan perasaan tidak percaya. Dia tidak faham bagaimana Wen Xin Han begitu mudah dipujuk untuk pergi dari situ, hanya dengan beberapa ayat daripada Jun Wu Xie.

Jun Wu Xie menjelaskan, "Kekuatan Teratai Mabuk amat ketara dan dia tahu dia tidak akan terlepas begitu sahaja. Kalau dia mati, Kumpulan Qing Yun tidak akan menyelamatkan orang yang dia mahu selamatkan. Daripada berhempas-pulas melaksanakan arahan Kumpulan Qing Yun, lebih baik dia mengambil risiko." Perlu dinyatakan yang Jun Wu Xie berjaya membaca hati dan fikiran Wei Xin Han sehingga dapat memaksanya membuat pilihan yang paling logik.

Sebagai seseorang yang berjaya menyelamatkan diri daripada pembunuhan yang dirancang Maharaja Kerajaan Yan sehingga ke hari ini, dan berjaya mencapai roh tahap indigo yang jarang ditemui, Jun Wu Xie ada sebab yang baik untuk percaya Wen Xin Han tahu bagaimana untuk membuat pilihan.

Kepada para Pembaca,

Versi terbaru Webnovel membenarkan anda mengepos komen kepada perenggan yang khusus.

Untuk menggunakan ciri ini, sila ketik dengan lama kepada perenggan yang anda mahu komen dan pilihan mengepos berkenaan akan muncul.

Selamat berbual!

dracarys3064creators' thoughts