webnovel

Ditundukkan (5)

Dịch giả: EndlessFantasy Translation Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

Ye Sha menghalang laluan turun dari gunung itu, tidak membenarkan dua orang lelaki itu melepasinya.

Lelaki berjubah putih itu menyerang Ye Sha dengan tapak tangannya secara tidak sabar. Tanpa disangka-sangka, Ye Sha membalas dan menyerang dengan tapak tangannya sendiri pula!

Dua kuasa kuat yang bertentangan meletup pada ketika itu. Lelaki berjubah putih tersebut merenung Ye Sha dengan perasaan tidak percaya apabila mendapati kuasa Ye Sha setanding dengan kuasanya!

"Kau bukan dari Alam Bawahan! Dari mana kau datang?" Lelaki berjubah putih itu terkejut dan senyumannya mula lenyap.

Ye Sha ketawa dingin tetapi tidak menjawab.

"Jahanam!" Lelaki berjubah putih itu menyumpah-nyumpah dalam diam dan tak lama kemudian dia terus bertempur dengan Ye Sha. Dua kuasa kuat ini bertembung. Rumput dan tumbuhan lain di kawasan sekeliling mereka tercabut akibat deruan angin daripada pergerakan mereka. Tanah di bawah kaki mereka turut bergegar sedikit!

Lelaki berjubah putih itu mendapati dia tidak boleh mengalahkan Ye Sha dan tak henti-henti menyumpah-nyumpah.

Ye Sha meneliti serangan dan pergerakan lawannya, memahatkan segalanya ke dalam ingatan. Dengan pantas dia cuba mencari-cari di dalam ingatannya untuk mengenalpasti siapa pihak lawannya ini.

Sebaik kedua-dua belah pihak itu sedang asyik bertempur, lelaki berjubah kelabu yang selama ini diam sahaja mula menyerang. Satu ledakan yang kuat dilancarkan dari tapak tangannya, disasarkan tepat ke arah organ penting Ye Sha. Akibat diserang lelaki berjubah putih itu bertubi-tubi, Ye Sha hanya dapat mengelak sedikit sahaja. Ledakan itu kena tepat pada dadanya dan Ye Sha tiba-tiba menyemburkan darah dari mulutnya.

"Biar aku uruskan dia. Jangan biarkan roh berkontrak jenis tumbuhan itu terlepas." Mata lelaki berjubah kelabu itu sedingin besi sewaktu dia mengarahkan lelaki berjubah putih tersebut.

Lelaki berjubah putih itu merenung Ye Sha dengan marah dan berpusing untuk meluru turun dari gunung itu. Ye Sha mahu mengejarnya tetapi lelaki berjubah kelabu itu sudah pun menyerangnya dan tidak memberikan Ye Sha pilihan selain bertempur!

Setelah bertempur beberapa ketika, Ye Sha semakin kecewa. Lelaki berjubah kelabu ini lebih handal daripada lelaki berjubah putih tadi!

Di Alam Pertengahan sekalipun tahap kemahiran seperti ini dianggap amat kuat!

…..

Hua Yao dan Qiao Chu tidak melepaskan Jun Wu Xie tetapi berlari dengan pantas tanpa berhenti. Kelajuan mereka lebih tinggi berbanding Jun Wu Xie dan mereka sudah pun dapat melihat kaki gunung itu di hadapan mereka. Tetapi satu susuk tubuh berpakaian putih tiba-tiba muncul di laluan turun dari gunung itu.

"Kamu semua nak pergi mana?" Lelaki berjubah putih itu mengecilkan matanya dan mengeluarkan aura dingin. Dia merenung tepat pada Jun Wu Xie.

Kelajuan yang menakjubkan! Hua Yao dan Qiao Chu amat terkejut. Mereka berdiri di hadapan Jun Wu Xie untuk melindungi rakan seperjuangan mereka ini. Ular tulang berkepala dua dan beruang Ying Yang itu berdiri di kedua-dua belah hujung.

Jun Wu Xie memandang Hua Yao dan Qiao Chu yang membelakangkan dia. Wajahnya berkerut sedikit.

"Sasaran dia cuma saya dan hal ini tak ada kaitan dengan kamu berdua. Pergi saja dari sini." Jun Wu Xie menarik nafas dalam. Melihatkan reaksi Hua Yao dan Qiao Chu, nampaknya kalau mereka berdua menyerang serentak sekalipun, mereka bukan tandingan lelaki berjubah putih ini.

Musuh ini muncul kerana mahukan Teratai Kecil yang bersembunyi di dalam tubuhnya dan ini tak ada kena-mengena dengan mereka berdua.

Hua Yao dan Qiao Chu langsung tidak berpusing tetapi berdiri dengan tegas di hadapan Jun Wu Xie.

"Xie Kecil, alasan kamu itu ada yang tak kena. Memandangkan kita ni dah macam adik beradik, tak ada apa yang akan membuatkan kami meninggalkan saudara kami dan melarikan diri. Kami tak akan tinggalkan kamu dalam masalah." Suara Qiao Chu menunjukkan sedikit kesan personalitinya yang riang dan tidak mudah runsing itu.

Hua Yao menjawab, "Kami berjanji dengan lelaki tadi yang kami akan bawa kamu ke tempat yang selamat, jauh dari sini."

Jun Wu Xie tergamam. Mulutnya ternganga dan dia merenung dua orang pemuda yang baru dikenalinya selama sebulan. Dia tak sangka mereka menganggapnya sebagai saudara...

Pada ketika itu, susuk tubuh Hua Yao dan Qiao Chu bertindan dengan satu susuk tubuh tinggi lampai yang muncul di mindanya.

Sewaktu mereka berdua dalam keadaan bahaya seperti ini dulu, si dungu itu buat perkara yang sama. Berdiri di hadapan Jun Wu XIe untuk melindunginya….

"Pergi!" Jun Wu Xie mengetap giginya dan tiba-tiba menyelinap melepasi mereka berdua. Kucing hitam kecil di bahunya sudah bertukar rupa menjadi binatang hitam besar.

Jun Wu Xie tak mahu lagi lihat orang lain bergadai nyawa untuk melindunginya!