webnovel

Dibaham (4)

Dịch giả: EndlessFantasy Translation Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

Maharaja menggigil melihat Mo Xuan Fei yang terbaring di atas lantai. Hati baginda seolah-olah ditusuk pisau.

Baginda tidak menafikan, sewaktu Mo Xuan Fei menyeru Singa Emas, baginda berasa sangat gembira dan menganggap mereka mempunyai peluang yang tinggi untuk menang.

Namun ketika melihatkan Singa Emas bersusah-payah dan telah dibaham oleh binatang hitam milik Jun Wu Xie, baginda mula putus asa dan firasat yang buruk muncul dalam hati baginda.

Jun Wu Xie ibarat syaitan!

Maharaja tidak lagi menganggap gadis itu sebagai manusia normal. Dia dapat mencapai begitu banyak kejayaan pada usia yang muda dan dapat membuat rancangan jahat dengan teliti. Rancangannya untuk memaksa Maharaja turun takhta bukanlah sesuatu yang dapat difikirkan oleh seseorang yang berusia empat belas tahun. Tambahan pula, binatang hitam miliknya mampu membaham Singa Emas...

Dia bukan manusia! Dia seperti syaitan!

Maharaja berasa seram sejuk dan menggigil sambil duduk di atas singgahsana. Baginda tidak berani berkata apa-apa untuk merayu bagi pihak Mo Xuan Fei.

"Angkat dia." Jun Wu Xie mengerutkan kening dan memandang Mo Xuan Fei, yang sedang menggeliang-geliut di atas lantai dan berbuih-buih mulutnya, dengan perasaan tidak setuju. Orang ini sudah hampir mati sebelum sempat Jun Wu Xie memberikan pukulan kedua.

Dua orang askar Tentera Rui Lin mengangkat Mo Xuan Fei ke atas kerusi roda. Kali ini dia tidak lagi meronta-ronta. Dia sedang meracau-racau dan mulutnya berbuih-buih.

Roh berkontraknya telah dibaham dan ini menyebabkan rohnya mengalami kecederaan.

Selepas menyaksikan segala-galanya, Bai Yun Xian amat ketakutan. Dia mengerekot untuk menyembunyikan dirinya di sebalik tiang dan berharap Jun Wu Xie tidak dapat melihatnya.

Malangnya, mana mungkin Jun Wu Xie melupakan seseorang yang telah memberi 'penjagaan khas' untuk datuknya?

Jun Wu Xie menjeling sekilas pada Mo Qian Yuan, dan lelaki itu terus faham apa yang dimaksudkannya. Dia membawa dua orang askar Rui Lin dan mengheret Bai Yun Xian keluar dari belakang tiang itu, tanpa mempedulikan jeritan nyaring gadis itu. Mo Qian Yuan turut menyumbat mulut Bai Yun Xian dengan kain dan mengheretnya ke satu sudut untuk menanti hukumannya.

Kini pendahuluan acara turun takhta Maharaja sudah tamat. Kini tiba masanya untuk ke acara utama.

Senyuman Jun Wu Xie sudah lama hilang sambil dia memandang dingin pada singgahsana itu. Dia sengaja melangkah perlahan-lahan menghampiri Maharaja yang kini sudah semakin pucat.

"Ja..Jangan datang dekat…" Maharaja menggigil dan mengelak dalam ketakutan. Mata Jun Wu Xie yang dingin merenung tepat pada Maharaja dan membuatkan baginda merasakan seperti terperangkap dalam ribut kencang yang dingin, tanpa dapat melepaskan diri.

"Saya cuma hanya mahu bertanya satu soalan." Jun Wu Xie memandang tepat pada mata Maharaja.

"Apa soalan kamu?" Maharaja memandang Jun Wu Xie dengan gelisah, peluh sejuk membasahi bahagian belakang badan baginda.

"Ayah saya mati, Pak Cik saya cedera. Kamu yang bertindak di sebalik bayang dan menyebabkan semua ini berlaku?" Jun Wu Xie mengecilkan matanya dan memandang dingin pada Maharaja.

Seluruh badan Maharaja menggigil ketakutan dan baginda cuba mengelak pandangan tajam Jun Wu Xie.

Baginda tidak berani menjawab... tetapi juga tidak berani untuk tidak menjawab...

Kalau baginda jawab, baginda akan mati!

"Bukan...bukan Beta…." baginda menjawab dengan terpaksa.

Jun Wu Xie tersenyum dan dengan pantas mengeluarkan lima batang jarum.

"Ini balasan untuk kamu." Sehingga saat ini, Maharaja masih tidak mahu mengaku. Hanya ada satu cara saja lagi, kematian!

Kejatuhan Keluarga Jun bukannya secara kebetulan dan melihatkan Jun Xian dan Jun Qing yang cuba mengelak menjawab persoalannya tentang kematian ayahnya, Jun Wu Xie dapat mengagak yang Maharaja ialah dalang di sebaliknya.

Selepas Istana Lin memenangi peperangan, Maharaja membuat keputusan untuk membuang mereka kerana mereka sudah tidak berguna lagi. Maharaja berani melayan mereka seperti alat dan menyingkirkan mereka dengan cara yang kejam!

"Saya akan berikan kamu peluang untuk memikirkan apa yang mahu ditulis pada papan tanda peringatan kamu."

Mo Qian Yuan terkejut. Sebelum dia sempat memikirkan apa yang dimaksudkan oleh Jun Wu Xie, seketika kemudian terdengar suara jeritan nyaring yang bergema ke seluruh Dewan Diraja. Jeritan ini begitu mengejutkan sehingga lembing perak Mo Qian Yuan terjatuh ke lantai.