webnovel

Cuba Menggoda? (1)

Dịch giả: EndlessFantasy Translation Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

Kemunculan Jun Wu Yao telah membuatkan hidup Jun Wu Xie menjadi sedikit berbeza. Sebelum ini dia telah pergi ke Bandar Chan Lin dengan niat untuk mencari dapur yang sesuai untuk menghasilkan eliksirnya. Dia tidak menyangka hanya dapat mencari satu dapur tembaga yang usang dan buruk. Sewaktu Jun Wu Xie menggunakan dapur eliksir itu, Jun Wu Yao bersandar dengan malas di muka pintu sambil memerhatikannya.

"Macam mana Jun Wu Xie saya ini boleh menggunakan sesuatu yang sangat buruk?" Jun Wu Yao berjalan perlahan-lahan menuju ke arah Jun Wu Xie. Sambil Jun Wu Xie merenung padanya, Jun Wu Yao mengangkat tangannya dan tiba-tiba ada bola kabus hitam terbentuk di tangannya. Dia menggerakkan bola kabus hitam itu untuk menyelubungi dapur kecil itu sepenuhnya. Kemudian kabus hitam itu mula berpusar seperti puting beliung kecil.

"..." Mata Jun Wu Xie kelihatan dingin sewaktu melihat satu-satunya dapur eliksir miliknya itu lenyap begitu sahaja.

Jun Wu Yao tersenyum lalu berkata, "Menyentuh benda seperti itu hanya akan mengotorkan tangan kamu."

Jun Wu Xie berkata tanpa menunjukkan sebarang ekspresi, "Ada eliksir di dalamnya."

Jun Wu Xie telah berusaha menghsailkan eliksir sepanjang malam dan baru sahaja menyiapkan satu set eliksir. Sebaik dia mahu mengeluarkan eliksir itu, tiba-tiba orang ini menghancurkan semuanya sehingga menjadi debu!

Mata dingin menyeramkan itu bersinar dengan perasaan tidak puas hati. Dia menjeling Jun Wu Yao, seolah-olah menuduh lelaki itu telah melakukan jenayah.

Dapur itu mungkin hanya benda usang, tetapi eliksir di dalamnya sangat bernilai!

Senyuman Jun Wu Yao menjadi kaku apabila dia melihat jelingan tidak puas hati yang dilemparkan kepadanya oleh gadis di hadapannya itu. Dia berdeham dan cuba senyum sekali lagi, sebelum mengangkat tangannya untuk merangkul Jun Wu Xie ke dalam dakapannya.

Walau bagaimanapun, Jun Wu Xie cepat-cepat melompat tiga langkah ke belakang. Dia menjarakkan diri daripada Jun Wu Yao.

Perasaan marah pada matanya semakin membara!

[Pulangkan kembali eliksir saya!]

Jun Wu Yao mengeluh dengan tidak berdaya dan cuba memujuk Jun Wu Xie, 

"Janganlah marah. Abang akan gantikan dengan dapur yang baru. Boleh tak?"

Jun Wu Xie merenung lelaki itu seketika lagi sebelum akhirnya mengangguk perlahan.

"Saya akan cari yang dapur eliksir yang terbaik. Apa kata bagi saya satu pelukan terima kasih?" Jun Wu Yao tersenyum sambil mendepakan tangannya.

Saat dia sedang menunggu Jun Wu Xie masuk ke dalam pelukan manisnya...

Jun Wu Xie tidak berganjak. Dia menggelengkan kepalanya dan berkeras, "Saya tak mahu!"

Nampaknya sepanjang tempoh mereka terpisah, Jun Wu Xie bukan sahaja menunjukkan peningkatan dalam kuasa rohaninya, tetapi kematangan emosinya juga semakin berkembang?

Menyedari bahawa dia tidak lagi dapat menipu Jun Wu Xie untuk memberikan "hadiah" lagi sebagai tanda terima kasih, Jun Wu Yao tiba-tiba berasa agak sedih.

[Benda jahat apalah yang menyebabkan gadis kesayangannya ini tiba-tiba menjadi lebih matang daripada segi emosinya?]

"Sepatutnya Abang minta maaf. Saya tak perlu terima kasih." Jun Wu Xie mengangkat dagunya dan berkata pada Jun Wu Yao dengan ekspresi serius di wajahnya.

"..." Jun Wu Yao tidak membalas apa-apa. Dia tiba-tiba tertawa kuat.

Jadi gadis kesayangannya ini masih belum tahu niat jahat di sebalik permintaannya yang mahukan "hadiah" untuk berterima kasih. Cumanya, pemikiran logik Jun Wu Xie itu sedikit berbeza daripada orang lain.

"Ya, ya… minta maaf." Jun Wu Yao berkata dengan senyuman, menyembunyikan perasaan terhibur yang dirasainya. Perjalanan mereka masih jauh di masa hadapan. Dia memiliki barang-barang yang jarang ditemui dan berharga yang tidak akan kehabisan. Masih ada banyak peluang untuk dia menuntut "hadiah" terima kasihnya daripada Jun Wu Xie.

Jun Wu Xie mengangguk lagi dengan tegas, wajahnya tegas.

Walaupun Jun Wu Yao adalah abangnya, tetapi hakikatnya lelaki ini telah memecahkan satu-satunya dapur eliksir yang dia ada, bersekali dengan eliksir yang telah disiapkan dengan bersusah payah . Jun Wu Yao mesti menggantikan dapur eliksir baru kerana Jun Wu Xie tidak ada masa untuk ke Bandar Chan Lin dan membeli dapur baru.

Jun Wu Yao memandang ekspresi tegas dan serius pada wajah Jun Wu Xie dan kegembiraan yang dipendamkannya itu hampir meledak keluar.

Gadis kesayangannya ini sedang menggodanya?

"Kamu tunggu di sini. Abang akan cari sesuatu untuk menggantikan barang kamu." Jun Wu Yao melangkah keluar dari pintu dengan penuh semangat. Dia kini telah memperoleh pemahaman baru tentang reaksi Jun Wu Xie .