webnovel

Cincin Api Diraja (1)

Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

"Kenapa Penasihat Agung kembali ke jamuan bersama-sama Adik Jun?" Renungan Lei Chen tidak berganjak tetapi kata-katanya ditujukan pada Penasihat Agung yang berada di sisinya. Ketika itu Penasihat Agung baru sahaja mahu beredar.

Wen Yu kemudian bertanya, "Apa yang Tuanku risaukan sangat?"

Lei Chen berpaling. Wajahnya kelihatan berkerut. Dia memandang Wen Yu dengan tajam.

"Beta tak akan masuk campur dengan apa yang Penasihat Agung nak lakukan. Harapnya Penasihat Agung juga tak akan masuk campur dalam apa yang Beta mahu lakukan. Beta ada hubungan rapat dengan orang-orang dari Akademi Zephyr. Kalau Penasihat Agung ada merancang untuk mengganggu hubungan ini, Beta tak akan rasa gembira."

Melihatkan jelingan keras hati dari Lei Chen, Wen Yu hanya mampu mengeluh pasrah dan berkata, "Kalau begitu, rasanya patik perlu kecewakan Tuanku. Patik baru saja beritahu Tuan Muda Jun untuk pergi dari sini secepat mungkin."

"Apa!?" Lei Chen merenung Penasihat Agung. Matanya terbeliak tidak percaya. Tangannya yang tersembunyi di dalam lengan bajunya, digenggam kuat menjadi penumbuk!

"Sebelum ni kamu dah janji tak akan masuk campur dalam hal di antara Beta dan Lei Fan! Kamu pasti tahu Beta berniat mahu menggunakan kuasa yang ada pada Akademi Zephyr dan kamu suruh mereka pergi dari sini secepat mungkin! Tuan Penasihat Agung! Permainan apa ni!? Kamu benar-benar mahu bantu Maharaja kamu tu!?"

Lei Chen menghamun Wen Yu dengan marah. Kalau tidak kerana dia berusaha untuk menahan diri, pasti dia sudah menumbuk Wen Yu ketika itu juga.

Wen Yu tenang memandang wajah Lei Chen yang sedang menahan marah. Hatinya berasa amat serba salah. Dia telah memerhatikan anak ini membesar di depan matanya sendiri. Setelah kelahiran Lei Fan, kedudukan Lei Chen menjadi amat canggung. Wen Yu tidak sampai hati melihat anak sekecil itu menjadi mangsa rancangan jahat di dalam istana. Dia meminta Maharaja untuk membenarkan Lei Chen menjadi pelajarnya. Wen Yu memikirkan dia boleh menggunakan kedudukannya sebagai Penasihat Agung untuk melindungi anak itu. Namun setelah Lei Chen mengetahui hal sebenar, kemesraan yang ditunjukkan di dalam istana tidak dapat dikekalkan.

"Tuanku tahu apa sebabnya patik muncul di jamuan itu tadi bersama-sama Jun Xie?" tanya Wen Yu dengan tidak berdaya.

Lei Chen mendengus mengejek dan berkata, "Bukan kamu dah kata tadi? Kamu mahu dia tinggalkan tempat ini secepat mungkin! Hapuskan tonggak sokongan Beta!"

Wen Yu menggelengkan kepala.

"Patik berada di luar pintu dewan jamuan tadi, menanti titah untuk masuk. Tak lama selepas permintaan patik dihantar masuk, Putera Keempat tiba-tiba membawa Jun Xie keluar dari jamuan. Ketika itu, patik masih belum menerima titah untuk masuk. Tuanku tak rasa hal ini agak pelik?"

Wajah Lei Chen terus berkerut. Dia juga merasakan hal ini agak aneh. Ketika Maharaja menerima berita ketibaan Wen Yu tadi, baginda tidak menitahkan Wen Yu untuk masuk dahulu. Sebaliknya, baginda menyuruh Lei Fan membawa Jun Xie keluar. Aturan kejadian ini sukar dianggap sebagai mengikut kebiasaan.

"Patik tak tahu kalau Tuanku juga rasa begitu, tapi entah mengapa patik rasa ada sesuatu yang tak kena. Ya, patik tahu Tuanku agak baik dengan Jun Xie dan patik juga sedar tentang hal di antara Tuanku dan Lei Fan. Jadi untuk mengelakkan sebarang situasi tak dijangka berlaku, patik mengikut mereka dan terlihat Lei Fan rebah di atas tanah. Patik arahkan para pengawal untuk bawa Lei Fan pulang. Pada mulanya, patik cuma nak lihat personaliti Jun Xie. Tak ada niat pun untuk mengganggu rancangan Tuanku. Tetapi patik menemui sesuatu yang menakjubkan pada budak itu." Kening Wen Yu berkerut. Kalau dia tidak temui benda itu, dia tidak akan menyuruh Jun Xie pergi dari situ.

"Benda apa?" Lei Chen terkejut lalu terus bertanya.

Wen Yu membalas, "Cincin Api Diraja."

Mata Lei Chen terbeliak dan dipenuhi perasaan tidak percaya.

"Cincin Api Diraja!? Maksud kamu, cincin yang sama dimiliki oleh Maharaja Negara Api [1] yang telah menghilangkan diri!?" Suara Lei Chen berubah. Dia tidak pernah menyangka benda yang Wen Yu temui itu adalah Cincin Api Diraja!

Wen Yu mengangguk, "Betul. Cincin itulah."

Kepada para pembaca,

Telah diputuskan bahawa terjemahan buku ini akan dihentikan. Terima kasih kerana bersama-sama dengan kami dalam pengembaraan yang indah ini dan semoga berjaya kepada anda semua dalam masa yang mencabar ini. Jumpa lagi!

dracarys3064creators' thoughts