webnovel

Cenuram Penghujung Syurga (1)

Dịch giả: EndlessFantasy Translation Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

'Glug….. Glug…..'

Mu Qian Fan mendapati dirinya dipaksa menelan eliksir yang pelik itu setelah dipaksa pemuda-pemuda tersebut.

Hanya selepas air suam itu mengalirkan eliksir itu masuk ke dalam tekaknya barulah Qiao Chu dan yang lain melepaskan Mu Qian Fan.

Mu Qian Fan hampir mati tercekik akibat air yang dituang secara paksa ke dalam tekaknya. Dia merenung dengan tidak berdaya ke arah pemuda-pemuda ganas itu dan baru sahaja mahu bersuara untuk membantah apabila dia tiba-tiba merasakan kedinginan mengalir ke seluruh tubuhnya. Kesakitan yang memeritkan dan sentiasa menyeksa badannya itu perlahan-lahan diredakan sewaktu kedinginan itu menyelubunginya lalu menyingkirkan semua kesakitan menyeksakan itu daripada tubuhnya.

Matanya terbeliak kerana terkejut dan dia merenung Jun Wu Xie.

"Eliksir itu….."

"Hanya akan memberikan keselesaan," jawab Jun Wu Xie dengan ringkas. Dia masih belum dapat memastikan sepenuhnya racun jenis apa yang menyeksa Mu Qian Fan. Dia perlu menjalankan beberapa ujian sebelum dapat menghasilkan penawar yang sesuai untuk racun itu.

Mu Qian Fan amat terkejut. Akhirnya dia faham mengapa Jun Wu Xie mahukan secebis dagingnya. Anak muda ini berniat mahu menyembuhkan racunnya!

Mu Qian Fan tiba-tiba berdiri dan tunduk hormat di hadapan Jun Wu Xie.

"Kebaikan kamu ini akan saya ingat! Selagi nyawa saya yang tak berguna ni masih ada, saya akan patuh dengan arahan Tuan Muda!"

Jun Wu Xie tidak membalas, hanya menjeling sekilas pada Mu Qian Fan.

Mu Qian Fan amat berterima kasih. Namun Jun Wu XIe dan yang lain terus berdiri untuk berlalu pergi. Mereka ada urusan lain untuk diselesaikan.

Batu Jed Hitam itu sudah pun dihantar balik ke rumah tumpangan mereka. Selepas Jun Wu Xie dan rakan-rakannya kembali ke sana, mereka terus bertanyakan pemilik rumah tumpangan itu di mana mereka boleh mencari bengkel tukang besi. Setelah mendapatkan lokasinya, Fan Zhuo mengupah kereta kuda dan menuju ke situ. Dia mahu mengeluarkan Perak Hitam dari Batu Jed Hitam itu secepat mungkin. Rong Ruo pergi bersamanya untuk berjaga-jaga sekiranya Fan Zhuo berasa kurang sihat.

Ketika itu di bilik Jun Wu Xie hanya ada dia, Qiao Chu, Fei Yan dan Hua Yao.

"Berkenaan apa yang Mu Qian Fan katakan tadi, apa pendapat Abang Hua?" Fei Yan sedang duduk di meja. Perwatakannya yang biasanya nakal itu tidak kelihatan. Sebaliknya, dia agak tegas.

Hua Yao membalas sambil berkerut sedikit, "Saya syak makan Maharaja Kegelapan itu ada di dasar Cenuram Penghujung Syurga."

"Kenapa Abang Hua kata begitu?" tanya Jun Wu Xie dengan perasaan ingin tahu.

"Jun Wu Xie, kamu pun tahu kita ada satu bahagian peta yang kita dapatkan dari Kumpulan Qing Yun. Selama berada di kampus cawangan Akademi Zephyr, kami telah menyiasat lokasi bahagian kedua peta tersebut dan cuba meneliti bahagian peta yang kita ada. Fei Yan telah mencari semua peta untuk kawasan berbeza dan cuba membandingkannya dengan peta kulit manusia ini tetapi tak ada padanannya. Kalau kita teliti peta itu, kawasan muka buminya rata dan tak ada gunung atau bukit yang dapat dilihat pada peta itu. Pada mulanya kami memikirkan lokasi ini mungkin terletak di satu kawasan lapang. Tetapi setelah mendengar cerita Mu Qian Fan tadi, saya mengesyaki yang lokasi pada peta itu sebenarnya ialah kawasan di dasar Cenuram Penghujung Syurga," kata Hua Yao sambil mengecilkan matanya.

Mereka cuma tahu yang makam Maharaja Kegelapan itu berada di Alam Bawahan. Sebelum mendapatkan peta itu, mereka telah membuat persiapan penuh. Fei Yan telah mengembara ke seluruh kawasan dan menggunakan kemahirannya untuk memetakan tempat-tempat yang pernah dikunjunginya. Mereka mahu menyediakan diri untuk hari di mana mereka dapat menyempurnakan koleksi peta kulit manusia itu dan menemui makam Maharaja Kegelapan secepat mungkin.

Tetapi bahagian peta pertama yang mereka dapatkan tidak boleh dipadankan dengan mana-mana peta yang Fei Yan telah kumpulkan. Mereka menyangka mungkin peta yang mereka terima itu tidak cukup lengkap atau mungkin bahagian yang ditunjukkan pada peta itu ialah tempat yang mereka tidak pernah kunjungi.

Tetapi mereka tidak pernah memikirkan peta yang ada pada mereka itu ialah peta bagi kawasan dasar Cenuram Penghujung Syurga.

Menurut cerita Mu Qian Fan, kawasan di bawah Cenuram Penghujung Syurga itu amat luas dan diselubungi kabus tebal. Ini menyukarkan dia untuk meneroka kawasan tersebut. Satu-satunya benda yang dia bawa pulang daripada dasar cenuram itu ialah Batu Jed Hitam yang hanya boleh ditemui di Alam Pertengahan.