webnovel

Bertempur Secara ‘Sembunyi’ (2)

Dịch giả: EndlessFantasy Translation Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

"Apa sebenarnya yang berlaku di sini? Kamu hantar Rama-rama Min membawa berita yang menggemparkan. Kalau ada yang membuli kamu, pasti saya akan tegakkan keadilan." Qin Yu Yan ketawa, suaranya lembut dan menenangkan.

Denyutan nadi Bai Yun Xian normal dan dia nampaknya tidak mengalami sebarang kecederaan dalaman.

Situasi yang diperlihatkan kepada mereka ini, amat berbeza dengan apa yang Bai Yun Xian sampaikan pada Kumpulan Qing Yun sebelum ini. Jadi Qin Yu Yan mengambil keputusan untuk melihat apa yang akan berlaku seterusnya.

Bai Yun Xian menangis di dalam hatinya, tetapi dia terpaksa berpura-pura menunjukkan wajah malu-malu dan berkata, "Saya tak ada pilihan! Xuan Fei diracun! Saya dah cuba segala yang terdaya tapi tak mampu mendapatkan penawarnya. Dia kini di ambang maut. Saya fikirkan hanya Tuan sahaja yang boleh menyelamatkan dia! Jadi, saya...saya buat cerita sebegitu."

Dewan utama itu menjadi senyap. Kata-kata Bai Yun Xian membuatkan semua orang terkejut.

Sungguh tak sangka! Cerita ini sangat berbeza dengan apa yang mereka dengar…

Sewaktu meninggalkan Kumpulan Qing Yun, mereka semua tahu ada seseorang yang berani dan melampau dalam Kerajaan Qi telah merancang untuk mengapa-apakan Bai Yun Xian. Tetapi apa yang Bai Yun Xian beritahu mereka ialah cerita yang sangat berbeza!

"Xuan Fei? Siapa itu?" Qin Yu Yan masih lagi bingung dengan berita itu.

Bai Yun Xian berjaya membuatkan pipinya kelihatan sedikit merah dan wajahnya kelihatan malu-malu, "Dia Putera Kedua Kerajaan Qi, dan kini memegang pangkat Duke atas kurniaan Maharaja baru. Dia menjaga saya dengan baik dan kami….sudah berjanji untuk berkahwin."

Sebaik mendengar kata-kata ini, semua orang di situ tergamam.

Kalau mereka tak dengar sendiri dari mulut Bai Yun Xian, pasti mereka tak akan percaya.

Sebagai pengikut Kumpulan Qing Yun, dalam usahanya untuk menyelamatkan kekasihnya, dia telah memberikan maklumat palsu. Menggerakkan satu pasukan hanya untuk menyelamatkan lelaki itu?

Wajah Bai Yun Xian menjadi kemerah-merahan sebaik semua mata di situ tertumpu padanya. Qin Yu Yan juga sudah tidak lagi tersenyum.

"Ehem... Cik Bai melakukan semua ini demi Adinda Beta dan Beta patut turut sama memikul sebahagian tanggungjawab itu. Kalau tetamu kehormat Beta dari Kumpulan Qing Yun sanggup membantu merawat Adinda Beta, maka Beta secara peribadinya akan rasa terhutang budi." Mo Qian Yuan bersuara untuk memberikan sedikit keyakinan terhadap drama yang sedang berlaku di hadapannya ini.

Apa yang disangkakan sebagai ugutan terhadap salah seorang ahli kumpulan mereka rupa-rupanya tindakan terdesak untuk menyelamatkan seorang kekasih. Mereka semua kelihatan meradang. Selepas menerima panggilan meminta pertolongan itu, mereka bukan sahaja menghantar Cik Sulung dan beberapa orang Tuan Tua, tetapi turut menjemput beberapa pakar bersama-sama mereka. Tetapi hal ini hanya satu jenaka.

Wajah Jiang Chen Qing amat gelap. Mulutnya menggerenyet dan dia langsung tidak berkata walau sepatah.

"Beta sudah sediakan jamuan alu-aluan kerana kamu datang dari jauh. Berkenaan hal Adinda Beta pula, Beta tidak akan mendesak kamu untuk merawatnya." Mo Qian Yuan tersenyum ramah.

Selepas memandang Bai Yun Xian sekian lama, Qin Yu Yan akhirnya berkata, "Kerajaan Qi dan Kumpulan Qing Yun ada ikatan persahabatan. Lagipun memandangkan kami sudahpun berada di sini, kami tidak akan mengabaikan sahabat yang memerlukan pertolongan. Selepas makan nanti, saya dan Pak Cik Jiang akan pergi memeriksanya."

Mo Qian Yuan menunjukkan wajah 'terkejut gembira' dan cepat-cepat mengangguk dan mengarahkan seseorang menunjukkan jalan ke dewan jamuan. Dia mengambil kesempatan untuk bergegas menuju kediaman lamanya.

Memandangkan dia telah menaiki takhta, sudah tentulah dia sudah meninggalkan kediaman lamanya itu. Namun begitu, dia tidak mengubah apa-apa. Selain untuk menyimpan kenangannya, ini juga tempat yang dia sediakan untuk Jun Wu Xie gunakan sebagai pangkalannya.

Pada ketika ini, Jun Wu Xie sudah siap sedia dan telah masuk ke dalam Istana Diraja. Untuk menguruskan hal berkaitan Kumpulan Qing Yun, dia perlu lebih berhati-hati dan berjaga-jaga. Cara terbaik ialah mengenali musuhnya dengan lebih dekat lagi. Jadi dia telah membuat keputusan untuk duduk sementara di Istana Diraja supaya dia sendiri boleh memerhatikan kekuatan mereka.