webnovel

Merobohkan Bangunan dengan Tangan Kosong Bukan Sekadar Mimpi

Editor: EndlessFantasy Translation

Song Shuhang tahu Mahaguru Ubatan cuba membantunya secara tidak langsung. Orang-orang yang cuba mendapatkan roh hantunya mungkin mempunyai kekuatan Mahaguru Agung Tahap Kedua atau lebih tinggi.

"Adakah ini dianggap harta?" Shuhang bertanya.

"Bagaimanakah ini boleh dianggap sebagai harta? Paling kurang pun ini hanyalah bom asap dengan serangan biokimia. Saya telah menamakannya... Pil Busuk!" Mahaguru Ubatan menjawab dalam nada yang membayangkan dia sangat bangga dengan dirinya sendiri.

Nama ini mempunyai gaya yang serupa dengan ❮Teknik Penumbuk Buddha Asas❯.

"..." Song Shuhang mengangkat Pil Busuk itu dan bertanya, "Tuan, bolehkah saya menukar nama pil ini?"

"Mengapa kamu nak menukarnya? Sekiranya kamu tidak suka, kembalikan pil itu kepada saya!" Mahaguru Ubatan berkata dengan rasa tidak puas hati.

Song Shuhang tergesa-gesa menyimpannya dan menjawab. "Hahaha, sejujurnya, setelah memikirkannya dengan lebih lanjut, nama 'Pil Busuk' ini sudah cukup sesuai. Lagi satu, Tuan sendiri yang berikan namanya. Jadi, saya perlu menerimanya. Ini dipanggil adab, ya, inilah keadaan beradab mengikut situasi!"

"Set Cecair Penguat Badan ini juga saya berikan pada kamu. Ini tanda penghargaan daripada saya. Kamu jangan menolaknya." Mahaguru Ubatan mengeluarkan sebahagian daripada Cecair Penguat Badan untuk tujuan eksperimen sambil melemparkan selebihnya kepada Song Shuhang.

Song Shuhang mempunyai masa yang terhad kerana selepas membantu Mahaguru Ubatan menyempurnakan Cecair Penguat Badan setiap hari, dia tidak mempunyai masa untuk menyempurnakan cecair itu untuk bahagiannya sendiri. Lebih-lebih lagi, dia kini berada di peringkat penting dalam membina asasnya. Jadi keperluan untuk menggunakan Cecair Penguat Badan sangat besar.

"Terima kasih, Tuan!" Song Shuhang tidak menolak kerana dia memang memerlukannya. Sebab itulah dia tidak berpura-pura malu dan menolak cecair itu lagi.

Dan sebab itu jugalah dia tidak akan lupakan permintaan Mahaguru Ubatan.

❄❄❄ 

Terdapat dua kelas pada sebelah petang dan sekarang sudah jam 4 petang apabila pelajaran berakhir.

Ketiga-tiga rakan sebiliknya tidak tertinggal kelas pada petang itu.

"Burp." Gao Moumou mengurut perutnya dalam kesakitan dan berasa tidak sihat semasa dia sendawa. Mabuknya belum lagi hilang. "Akhirnya, kelas sudah tamat. Aku berasa seperti ingin mati dalam semua kelas tadi."

Teman wanitanya, Yayi membantu mengurut pelipis Gao Moumou walaupun dia masih marah pada teman lelakinya. Pada masa yang sama, dia menggunakan mata besar comelnya itu sambil memandang pada Tubo dan Shuhang dengan 'garang'. Dia mendapat tahu dari Li Yangde tentang rakan-rakan sebilik Gao Moumou yang telah membuatnya mabuk teruk semalam.

Yangde, lelaki ini... dia pakar dalam menjeratkan rakan-rakannya. Tidak kira sama ada realiti atau permainan, dia bertanggungjawab dalam mengkhianati rakan sepasukannya.

"Erm, aku tiba-tiba teringat yang aku perlu beli sesuatu. Awak semua tidak perlu tunggu aku malam ini!" Tubo tidak lagi dapat menahan pandangan Yayi yang sangat marah. Sambil mengangkat "bendera putih" , dia melatih kemahiran 'melarikan diri dengan membeli sesuatu' untuk hilang tanpa jejak.

Song Shuhang dengan cepat cuba untuk mengelak situasi itu juga. "Aku tiba-tiba teringat aku perlu mengambil bahagian dalam acara lumba lari 5000m esok dan aku perlu pergi ke trek untuk berlatih. Kau semua tidak perlu tunggu aku malam ini!"

Apa yang dikatakannya separuh benar dan separuh lagi palsu. Dia betul-betul mahu pergi berlatih. Tetapi dia bukannya mahu berlatih larian.

Pada masa ini, qi dan darah di dalam tubuhnya telah pulih dan dia boleh mengamalkan ❮Teknik Penumbuk Buddha Asas❯ sekali lagi. Oleh itu, dia berhasrat untuk mencari tempat yang tenang di sekolah dan berlatih.

Latihan kali pertama telah menyebabkan perubahan yang menggemparkan pada tubuh badannya. Bolehkah latihan kali kedua membolehkan fizikal badannya menjadi lebih kuat?

❄❄❄ 

Kali ini, Song Shuhang menukar lokasi latihannya dan dia pergi ke sebuah bangunan terbengkalai di Daerah Ketiga Bandar Kolej.

Bangunan sekolah ini dibina sepuluh tahun yang lalu dan pada asalnya digunakan oleh pelajar penyelidikan untuk melakukan eksperimen. Walau bagaimanapun, kebakaran telah berlaku di dalam bangunan dan walaupun tidak ada yang terkorban, selepas api dipadamkan, bangunan itu menjadi terlalu berbahaya untuk digunakan dan ditinggalkan. Pada masa ini, rancangan untuk pembinaan semula belum dilaksanakan. Buat sementara ini, tidak ada siapa yang akan datang ke sini.

Ini salah satu tempat yang sesuai untuk pertapaan yang Song Shuhang dapat temui yang berdekatan dengan kolejnya.

'Lokasi yang bagus dan tidak ada bau yang busuk di udara. Sebelum ia dibina semula, aku boleh gunakannya sebagai lokasi tetap untuk bertapa tetapi masih dekat dengan kolej.' Song Shuhang sangat berpuas hati dengan tempat ini.

Dia menutup matanya. Mula-mula, dia mengingat semula lapan belas gerakan ❮Teknik Penumbuk Buddha Asas❯ dalam ingatannya. Selepas itu, dia mengeluarkan botol yang mengandungi 'Cecair Penguat Badan Mudah' dan meminumnya.

Kemudian dia menunggu kesan ubat dalam diam untuk tersebar di sekeliling tubuhnya sebelum bermula.

"Inilah masanya!" Song Shuhang membuka matanya dan membuka langkah awal bagi teknik penumbuk asas.

"Menggunakan mata sebagai prinsip panduan, pergerakan bermula dari pinggang... badan sebagai busur, menghantar kekuatan yang berlebihan... pukulan seperti tanah runtuh."

Sambil dia menyebut bacaan mantera penumbuk itu, teknik penumbuk asas telah dilaksanakan.

Bunyi loceng sekali lagi terdengar di telinganya dan tenaga rohani digerakkan oleh bacaan mantera penumbuk sambil menumpu ke arahnya. Tenaga rohani diturunkan ke tubuhnya dan menyelubungi kepalan penumbuk Shuhang sambil menguatkan tubuhnya.

Di bawah tenaga rohani, tubuhnya seolah-olah telah melaksanakan ribuan pukulan dengan pukulan pertamanya.

Tubuhnya cepat-cepat dipanaskan dengan qi dan darahnya yang semakin melonjak sambil berkumpul dalam tubuhnya. Berbanding dengan latihan pertamanya, qi dan darah dalam tubuh Shuhang melonjak lebih cepat.

Keringatnya menitis seperti hujan, tetapi dia masih tidak berpuas hati.

Lagipun, kali ini, ketika Song Shuhang melaksanakan teknik penumbuk asas, dia tidak lagi menggunakan ketegangan dan kekuatan secara melulu. Sebaliknya, pukulannya lebih tegas tetapi fleksibel dan sentiasa berubah. Ia mengikuti jejak mahaguru penumbuk dengan penampilan kabur yang dilihatnya dalam 'ruang ilusi'.

Tenaga rohani bergelung di sekeliling badan Shuhang. Semasa dia melaksanakan teknik penumbuk, sebahagian kecil tenaga rohani bertaburan di sekelilingnya.

Bau busuk berkurang di udara dengan cepat di bawah pengaruh tenaga rohani kemudian diubah menjadi udara segar dan bersih seperti udara di awal pagi.

Gunung itu tidak tinggi dan ia kelihatan seperti makhluk abadi yang tinggal di sini. Sewaktu pertapa melakukan pertapaan, mereka akan membangkitkan tenaga dunia dan, setiap hari, tenaga itu secara beransur-ansur bergabung dengan kawasan pertapaan mereka dan menyebabkan kawasan itu penuh dengan tenaga rohani.

Dengan pergerakan yang pantas dan penumbuk yang meluncur laju seperti tahi bintang, lapan belas langkah teknik penumbuk telah dilaksanakan dengan cepat.

Seterusnya, qi dan darah meluap dari tubuh Song Shuhang dan menyebabkan seluruh tubuhnya menjadi merah!

"Sudah habis?" dia seperti tidak percaya.

Ketika dia berlatih ❮Teknik Penumbuk Buddha Asas❯ semalam, dia telah diseksa dan menderita. Ada beberapa kali dia hampir tidak dapat bertahan.

Walau bagaimanapun, ketika dia melakukan teknik penumbuk pada hari ini, dia telah menyelesaikan teknik penumbuk seluruhnya dengan lancar walaupun berasa sakit. Tetapi sakitnya semakin berkurangan!

Adakah kerana dia telah berjaya menyempurnakannya sekali, jadi tubuhnya telah menyesuaikan diri dengan ❮Teknik Penumbuk Buddha Asas❯ itu?

Atau mungkin kerana kualiti tubuh badannya telah meningkat secara mendadak dalam satu malam sahaja?

Walau bagaimanapun, sekarang ini bukan masa yang sesuai untuk memikirkan tentang semua ini.

Mengambil kesempatan daripada badannya yang sedang mendidih dan penuh dengan qi dan darah, Shuhang merebut peluang ini untuk melaksanakan ❮Kitab Meditasi Diri Yang Sebenar❯. Menggunakan tenaga mentalnya sebagai pendahulu, dia berjaya membimbing qi dan darah yang melimpah ke dalam Bukaan Jantungnya.

Ini jejak kedua qi dan darah dalam Bukaan Jantungnya.

Selepas menyelesaikan semua langkah itu, Song Shuhang duduk di atas lantai dan menarik nafas dengan dalam. Tubuhnya masih agak lemah kerana dia tidak dapat mengawal jumlah qi dan darah yang diserap oleh ❮Kitab Meditasi Diri Yang Sebenar❯. Tetapi sebelum ini dia tidak dapat mengangkat jari-jarinya. Kini, dia berasa lebih baik.

Selepas berehat selama empat hingga lima minit, kekuatan fizikal Song Shuhang pulih seperti sediakala.

Dia perlahan-lahan mengepalkan penumbuknya dan sekali lagi merasakan aliran tenaga yang mengalir keluar dengan laju. Ini membuatnya berasa seolah-olah dia boleh membelah gunung dan memecahkan batu besar.

Shuhang memandang ke sekelilingnya, kemudian dia mengalihkan langkahnya dan memadankan dengan gerak kaki ❮Teknik Penumbuk Buddha Asas❯ sambil melaksanakan gerakan itu dengan lancar. Dia melangkah ke tembok terdekat dengannya dalam dua langkah.

Dia menghayunkan tumbukan lurus dengan menggunakan tangan kanannya tanpa tenaga rohani yang membantu kekuatan pukulannya. Itu hanyalah satu pukulan lurus yang biasa.

"Bang!"

Satu lubang terbentuk pada dinding kukuh itu.

Song Shuhang melihat penumbuknya. Penumbuknya dilitupi dengan habuk dari dinding tetapi tangannya masih elok. Tidak ada luka. Teknik Tumbukan Asas merupakan peningkatan keseluruhan untuk tubuhnya. Bukan sahaja kekuatannya telah meningkat, ketegangan seluruh badannya juga menjadi lebih baik.

Transformasi sebegini di luar imaginasinya. Dia hanya berlatih sebanyak dua kali tetapi dia berjaya menguatkan badannya hingga ke tahap sedemikian. 

Shuhang sekali lagi membuat gerakan penumbuk dan menumbuk tembok. Tetapi kali ini dia telah melaksanakan ❮Teknik Penumbuk Buddha Asas❯ terlebih dahulu.

"Bang!"

Dinding itu ditembus hasil daripada tumbukannya. Tenaga itu tidak hilang, tetapi ia telah meninggalkan lubang bersaiz kepalan penumbuk di dinding. Walaupun kawasan pemusnahan permukaannya jauh lebih kecil, jumlah kerosakannya telah meningkat sepuluh kali ganda!

Song Shuhang terkejut. Dia terus membuat tumbukan bertubi-tubi dan merosakkan bangunan sekolah yang terbengkalai itu. Dia mencuba pelbagai cara untuk menggunakan kekuatan Teknik Tumbukan Asas itu. Dia membuat pukulan berat kemudian diselangi dengan pukulan lembut dan mencuba semua lapan belas langkah dalam Teknik Tumbukan Asas.

Debu di sekeliling bangunan sekolah yang terbengkalai itu naik ke udara.

Ini kemahiran legenda yang merobohkan tembok menggunakan tangan kosong. Sekiranya kemahiran ini terus berkembang, dia dapat merobohkan Gundam dengan tangannya yang kosong!

Selepas sekian lama, Song Shuhang telah berpuas hati dan dia memandang bangunan sekolah terbengkalai yang penuh dengan lubang. Kemudian dia menggerakkan rahangnya. 'Nampaknya aku ada bakat semula jadi untuk menjadi pekerja merobohkan bangunan.'

Adakah ini bermakna dia kini dianggap sebagai pakar ahli seni mempertahankan diri di mata orang biasa?

Tetapi, dia baru sahaja berlatih Teknik Tumbukan Asas sebanyak dua kali.

'Agaknya sekuat mana aku akan jadi selepas aku selesaikan Pembinaan Asas ini?

'Lagi satu, berapa lama lagi yang aku perlukan sebelum qi dan darah aku akan penuhkan Bukaan Jantung?'

"Sekiranya aku dapat meningkatkan kelajuan untuk menguatkan badan aku, qi dan darah aku akan pulih dengan lebih cepat. Kalau begitu, aku boleh berlatih beberapa kali setiap hari." Song Shuhang bergumam pada dirinya sendiri.

Dia tidak akan cuba mengambil pil qi dan darah buat masa sekarang.

"Selain latihan ❮Teknik Penumbuk Buddha Asas❯, apakah kaedah lain yang dapat menguatkan kualiti seluruh tubuh badan aku?" Song Shuhang memikirkan sambil bercakap dengan kuat.

'Adakah aku perlu bertanya kepada pertapa lama yang lain dalam sembang grup?'

"Keke, saya boleh menjawab soalan ini untuk anda, Encik Song Shuhang, si pekerja yang meruntuhkan bangunan." Suara yang menarik dan menggoda dapat didengar dari telinga Song Shuhang. "Kaedah untuk menguatkan badan anda sebenarnya sangat mudah."