webnovel

Bab 64

นักแปล: EndlessFantasy Translation บรรณาธิการ: EndlessFantasy Translation

"Boleh saya panggil awak Qiaoqiao pula? Macam mesra saja nama panggilan itu."

Raut wajah Chu Qiao terus bertukar dingin dan kesabarannya melayani putera ini mula untuk menipis dan semakin menipis, lantas gadis itu memasamkan mukanya dan berkata, "Kalau hal ini disebabkan oleh kejadian beberapa hari lepas, saya lebih rela dihukum. Tolong laporkan perkara ini kepada Tuanku Maharaja."

Li Ce mentulikan telinganya kepada apa yang diujarkan Chu Qiao dan menyambung dengan ceria, "Awak ada ahli keluarga yang lain tak? Ibu bapa awak masih ada di sini?"

"Tuanku, boleh tak Tuanku beritahu saya niat sebenar Tuanku. Chu Qiao ini hanyalah rakyat jelata biasa, saya tak layak untuk mendapatkan perhatian dan juga kasih sayang daripada Tuanku."

"Bila hari lahir awak? Berapa umur awak? Hari lahir saya jatuh pada bulan Julai ini dan saya berumur 21 tahun."

"Tuanku, apa yang Tuanku mahukan? Boleh tak kita bersembang secara biasa?"

"Awak datang dari mana? Awak ni kecil molek dan sangat berbakat, lagipun awak tak kelihatan seperti awak datang dari utara. Awak kelihatan seperti awak datang dari selatan. Bapa awak ada beritahu perkara itu kepada awak?"

"Tuanku!"

"Awak nampak cantik walaupun bila awak marah, citarasa saya memang hebatlah!"

...

Setelah setengah jam berlalu, Chu Qiao masih lagi cuba untuk berkomunikasi dengan Li Ce, dan dia bertanya setelah dia menenangkan dirinya, "Tuanku, apa yang Tuanku lihat dalam diri saya?"

Li Ce tersenyum manis, "Saya suka segalanya tentang awak."

Chu Qiao terkelu dan lantas menggelengkan kepala. "Dalam erti kata lain, apa yang Tuanku mahukan daripada saya? Ada banyak lagi cara lain untuk menghindarkan diri daripada berkahwin dengan seorang puteri daripada Empayar Xia kalau Tuanku tak berminat. Tuanku tak perlu gunakan saya sebagai perisai Tuanku. Saya cuma rakyat jelata biasa yang tiada gunanya."

"Qiaoqiao." Li Ce mengerutkan wajah dan berkata dengan raut wajah yang keliru, "Saya jatuh cinta dengan awak sewaktu pertama kali saya melihat awak. Tolong jangan salah faham tentang niat saya. Ia akan membuatkan saya jadi sedih."

'Memang lawaklah kalau dia ini akan jadi sedih sebab aku!' Fikir Chu Qiao. Barulah Chu Qiao tersedar betapa indahnya perbualan dengan seorang manusia, walaupun perbualan tersebut diadakan bersama musuhnya, namun ia masih sebuah perbualan dan tidak mungkin akan menjadi sekeliru ini. Chu Qiao langsung tidak memahami niat sebenar putera ini, dan lantas terputus harapan untuk mencari maklumat daripada Li Ce dengan melepaskan keluhan yang besar, terduduk di penjuru pedati tersebut dengan senyap dan memejamkan matanya, langsun tidak terasa seperti dia ingin melihat dunia ini lagi.

"Qiaoqiao." Li Ce tersengih apabila dia mendekati gadis itu dengan perlahan, suaranya yang garau dan semberono itu dengan sedikit nada godaan. Putera itu menyambung, "Tangan saya sejuk."

Setelah suasana menjadi sunyi buat seketika, tiba-tiba sebuah dentuman yang sangat kuat kedengaran dan Putera Li Ce telah tercampak keluar dari pedati kuda itu seperti sebuah bola, melayang di atas kepala para pengiring dan juga pengawal dengan jatuhan kepala ke tanah dahulu.

"Siapa tu?"

"Ah! Tuanku!"

"Ada pembunuh upahan! Lindungi Tuanku Putera!"

Teriakan huru-hara memenuhi ruangan udara apabila Zhao Qi meraih keningnya dan mengeluarkan pedang dari pinggang. Dia sememangnya telah menjadi tegang setelah kehilangan Wei Jing dilaporkan namun kini dia menjadi lebih tegang dan mengarahkan pengawal-pengawalnya untuk mengelilingi pedati kuda yang besar sehingga tak tercapai dek akal itu.

"Salah faham saja, salah faham!" Li Ce mengerang dalam kesakitan semasa dia cuba untuk berdiri, terhenjot-henjot berlari masuk ke pedati namun berhenti di hadapan pedati sebelum memasukinya dan berkata dengan nada gelabah, "Saya yang salah. Saya yang tak berhati-hati dan tak duduk dengan betul. Semuanya baik-baik sahaja,"

Semua orang berkerut dengan lidah yang terkelu. Melihat pedati kuda yang langsung tidak bergerak ini, mereka sememangnya kebingunan. Dia tak duduk dengan betul? Bagaimana dia boleh terbang melayang daripada pedati yang bergerak dengan sangat perlahan itu?

"Tak mengapa, semua orang, jangan risau." Li Ce menyapu habuk daripada tubuh badannya dan melangkah ke dalam pedati, tersenyum dan melambai kepada semua yang melihat.

Zhao Qi sudah berada di ambang tekanan jiwa. Dia tersangatlah penat daripada terus menjaga putera yang langsung tidak boleh dijangka ini, dan dia masih belum mendapat jawapan kepada perutusan yang telah dihantarnya. Mereka hampir tiba di pintu gerbang bandar; adakah ini bermakna Maharaja Tang seterusnya akan mengahwini seorang hamba abdi Yan Bei yang hina?

Sebaik sahaja tirai pedati ditutup kemas, Li Ce mengetap gigi sambil mengusap-usap sikunya, mengerang melihat Chu Qiao yang terpaku di suatu penjuru. Dia berkata, "Qiaoqiao, awak ini kejam sangat. Bagaimana awak boleh layan bakal suami awak macam itu? Akan ada padahnya nanti."

Chu Qiao mengecilkan matanya dan melihat putera itu dengan penuh kedinginan. "Ada perbezaan di antara seorang lelaki dan seorang wanita. Tuanku, tolonglah jaga maruah Tuanku."

"Qiaoqiao, tolong sapukan ubat pada luka saya ini." Li Ce memegang sebuah kotak tembikar berwarna putih semasa dia berkata dengan penuh rintihan, menghulurkan tangannya yang berlumuran darah itu.

Chu Qiao menggaru keningnya namun tidak berganjak walau seinci pun.

"Saya lakukan ini untuk kebaikan awak juga," Kata Li Ce, "Kalau ada sesiapa yang melihat luka ini, awak akan berada dalam masalah lagi."

Chu Qiao mengeluh namun mencapai bekas tembikar itu dan merentap lengan pemuda itu dengan kasar, mula untuk menyapu ubat di sekitar lukanya.

Li Ce mula untuk mengerang dalam keperitan. Zhao Qi dan lain-lain yang mendengar erangan itu dari luar pedati itu terus berkerut dengan raut wajah yang terus bertukar membatu.

Langit berwarna biru terang bersama kepulan awan yang diselerakkan di sekitarnya, dengan udara yang segar dan juga mentari petang yang menyinari panas dan selesa. Burung-burung berterbangan dengan lemah gemalai di udara. Di kedua-dua belah jalan, rakyat jelata yang tidak sempat untuk melarikan diri telah melutut di tanah apabila kumpulan pengiring itu melintasi jalan. Namun, apabila mereka mendengar erangan yang datang daripada dalam pedati, mereka tidak dapat menolong daripada menoleh pandangan mereka ke arahnya.

Tanah berumput yang besar itu kelihatan tersangatlah menghijau; pemandangan yang sungguh indah. Li Ce telah bertukar kepada jubah merah terangnya yang bersulamkan bunga-bungaan peony yang besar. Walaupun ia kelihatan kasar pada susuk tubuh badan Li Ce, namun ia memancarkan tahap elegan yang tidak dijangka-jangka. Jejaka itu sedang menunggang kuda putihnya yang kelihatan kacak dengan bunga ros berwarna ungu yang diikat di sekeliling lehernya, tidak ubah dari pengantin lelaki yang baru sahaja berkahwin. Dengan tali kekang di sebelah tangan dan sebilah pedang di sebelah lagi, dia menoleh pandangannya ke arah Zhao Qi yang kelihatan seperti dia bakal menitikkan air mata, berkata, "Awak boleh balik. Sila ucapkan terima kasih kepada Maharaja Xia bagi pihak saya kerana layanan baik yang telah diberikan kepada saya. Saya akan beredar dahulu dan kita akan berjumpa lagi jika takdir menentukan."

Zhao Qi yang terkelu itu terpaku dan tidak berganjak walaupun seinci. Putera gila ini telah mencuba untuk memenggal kepalanya pada suatu malam, dan jika ia bukan kerana refleksinya yang pantas dan juga kecekapan pengawal-pengawal yang telah memesongkan pedang yang bakal terhunus ke kepala Zhao Qi, pemuda itu pasti tidak akan berada di sini pada hari ini. Tiada perkataan yang mampu menghuraikan kesengsaraan yang Zhao Qi rasakan pada ketika itu semasa dia melihat susuk tubuh Li Ce yang semakin mengecil jauh darinya, merasakan Tuhan tidak berlaku adil.

Chu Qiao merasakan perkara yang sama seperti Zhao Qi, tidak adil. Dia merasakan satu-satunya cara untuk menguruskan putera yang merepek dan tidak dapat dijangka ini dengan mematahkan lehernya, supaya akhirnya dia dapat menutup mulutnya yang terlalu petah bercakap itu.

"Qiaoqiao, awak berasa gembira tak? Kita dah keluar dari bandar." Li Ce tersenyum kepadanya dengan renungan yang menggoda. "Jom kita pergi. Tak lama lagi awak akan dapat merasai kemewahan yang tak terhingga, dan memakai kain sutera dari Ling Luo sebanyak yang mungkin. Apa saja yang Yan Xun berikan kepada awak, saya boleh lakukan perkara yang sama. Apa saja yang Yan Xun tak berikan kepada awak, saya boleh berikan kepada awak. Awak tak perlu melutut kepada sesiapa lagi, bukan ke itu bagus?"

"Awak patut tahu yang awak tak boleh larikan diri langsung."

Li Ce tersenyum dan berkata, "Bagaimana awak tahu saya tak boleh larikan diri?"

Chu Qiao tidak mahu membalas, dan lantas gadis itu hanya melepaskan ketawa yang penuh menyindir, berkata, "Kalau awak pergi begitu sahaja, awak tak perlu lakukan perjalanan jauh ini." Renungan matanya terus bertukar kejam semasa merenung tajam muka Li Ce yang kacak itu, "Apa rancangan awak?"

Li Ce berganjak lebih dekat dengan Chu Qiao, hidungnya hampir bersentuhan dengan pipi gadis itu. "Rancangan saya untuk membawa awak pulang, dan menyebabkan kemarahan Putera Zhao Ketujuh dan Ketiga Belas, dan Yan Xun juga."

Darah Chu Qiao terus berderau setelah mendengar kata-kata Li Ce itu sambil merenungnya. Chu Qiao merasakan tiada gunanya untuk terus bercakap dengannya dan lantas menggelengkan kepada dan berkata, "Li Ce, kalau semua ini penipuan dan awak ada rancangan lain, awak ni memang teruklah."

Li Ce tersenyum riang sambil berkata, "Memang saya ada motif tersembunyi untuk melakukan kekacauan di dalam Zhen Huang, tapi niat pertama aku sememangnya benar. Walau bagaimanapun saya harus jadi riang dan lain daripada yang lain ke mana saja saya pergi."

Chu Qiao melepaskan keluhan tidak berdaya dan lantas hatinya dipenuhi dengan perasaan tidak senang duduk. Dalam sekelip mata gadis itu meloncat di dalam pedati dan menerkam Li Ce, sekaligus menjatuhkan pemuda itu!

"Qiaoqiao! Kenapa pelukan awak kasar sangat? Awak…"

"Diamlah! Buka tali saya!"

"Tak mahu, nanti awak akan lari."

Gadis itu bersorak kuat. Pada masa ini, hujan anak panah yang lebat menjatuhi permukaan bumi di sekitar pedati kuda. Di kejauhan, ribuan pihak musuh bersama busur mereka yang telah bersiap sedia untuk menyerang di hujung cenuram, bunyi panahan yang dilepaskan memenuhi setiap ruang udara. Lebih dari sepuluh pengawal yang jatuh dari kuda mereka; kuda yang meringkik kesakitan dan Chu Qiao menarik Li Ce ke suatu sudut yang lain, terlepas dengan sipi-sipi kuda putih yang terjatuh itu dan panahan demi panahan telah dilepaskan ke arah kuda tersebut dengan mata anak panah yang bersinar terang berwarna biru, bermakna ia telah dicelupkan ke dalam racun.

"Ini salah satu gurauan awak ke?" Chu Qiao menempik ke arah Li Ce, yang masing kebingunan dengan apa yang terjadi.

"Kenapa saya nak menyuruh orang-orang suruhan saya untuk menyerang saya?" Dia bertanya.

"Tak guna!"

Pada masa yang sama, teriakan peperangan kedengaran datang dari semua arah! Ribuan musuh meluru daripada kawasan tanah berumput, bersama pedang saber di tangan dan berpakaian seperti rakyat jelata. Mereka bersorak semasa meluru ke arah musuh.

"Lindungi Tuan Putera!" Komander pengawal Li Ce mengarahkan oran-orang bawahannya semasa meluru ke arah putera itu bersama beberapa lagi orang askar. Chu Qiao meliang-lentokkan tangannya dengan cekap untuk melepaskan dirinya daripada tali tersebut, dan dengan pantas mengambil sebilah pedang untuk menangkal beberapa panahan yang menuju ke arahnya. Li Ce sedang bersembunyi di belakang gadis itu dengan wajah tidak berdaya, terus ditengking oleh Chu Qiao, "Awak tak tahu seni mempertahankan diri?"

Li Ce mengangguk dengan pantas dan merayu, "Qiaoqiao, awak kena selamatkan saya."

"Bodoh!" Radang gadis itu semasa menendang lutut Li Ce. Pemuda itu terus mengerang dan terjatuh di atas tanah, terlepas sebatang lagi anak panah.

"Jangan panik! Mereka yang berada di hadapan, berlawan dengan pihak musuh! Mereka di tengah-tengah, lindungi mereka dengan melepaskan panahan! Mereka yang di belakang, kumpulkan kuda-kuda dan larikan diri daripada pengepungan ini kalau ada peluang!" Chu Qiao mencapai sebuah busur semasa dia berlari dan terus melepaskan panahan kepada pihak musuh. Panahan yang telah dilepaskan Chu Qiao bagaikan tahu kemana mereka perlu pergi apabila mereka terus tertusuk pada pihak musuh setiap kali tali ditarik.

Teriakan peperangan kedengaran datang dari merata-rata tempat dengan langit yang dipenuhi dengan anak panah yang menghujani bumi. Ribuan demi ribuan pihak musuh telah menyerang mereka tanpa gentar, seolah-olah air yang mengalir dan pihak tentera milik Li Ce hanya tinggal kurang daripada 100 orang di mana semuanya telah mengalami kecederaan dan tidak mampu untuk terus berlawan. Chu Qiao menarik Li Ce semasa mereka berundur dan apabila gadis itu melihat sebuah hutan tebal di kejauhan, dia melepaskan senyuman lega dan menjerit, "Berundur ke dalam hutan!"

Sebilah pisau melayang ke arah mereka yang mendapat teriakan panik daripada Li Ce. Chu Qiao terus meluru ke arah pemuda itu dan menendang pihak lawan dengan kuat, dan lantas sebuah teriakan kedengaran serta-merta. Sebelum dia dapat meneruskan teriakannya, Chu Qiao menarik tinggi pedang yang berada di tangan terus memenggal kepala lelaki tersebut! Li Ce terkejut dengan aksi yang baru sahaja disaksikannya dan juga darah yang terpercik kepada dirinya, lantas mengeluarkan sapu tangan untuk mengelap darah itu dari bajunya.

"Bodoh! Apa yang awak buat ini?" Chu Qiao menarik tangan Li Ce semasa mereka meluru ke dalam hutan tebal yang sekaligus dapat menyembunyikan mereka daripada anak-anak panah. Mereka yang dapat memasuki kawasan hutan tebal terus menjadi lebih perlahan daripada sebelum ini.