webnovel

"Jurulatih Chu!" Bunyi derapan kuda sudah kedengaran dari jauh dan seorang tentera muda yang memakai baju perisai berwarna khaki menerpa ke arahnya dan berkata sambil tercungap-cungap, "Ada orang nak jumpa awak."

"Nak jumpa saya?" Chu Qiao terpaku lantas meletakkan busurnya di bawah dan lompat keluar dari tempat memanah. "Siapa?"

"Jurulatih Chu!" Lelaki tegap yang tersenyum manis menjerit sambil melambaikan busurnya, "Nak berentap lagi tak?"

"Dah tertanggal jubah awak pun tak nak berhenti lagi ke? Lambat laun berbogel terus awak nanti!" Gadis itu menoleh dan menjerit. Askar-askar lain yang berada di situ terus melepaskan ketawa sambil memperlekehkan lelaki yang ingin berentap dengan Chu Qiao itu.

Chu Qiao berkerut. Siapa yang cari dia? Bukankah Yan Xun dah beritahu isu pukul Putera Tan sudah selesai? Kenapa ramai sangat orang yang datang untuk mencari jurulatih memanah biasa seperti dia pula?

"Jom pergi." Chu Qiao menunggang kuda dan menderap ke arah khemah utama kem dan perutusan tadi hanya mengikutnya dari belakang.

Pasukan Askar Berkuda nampak begitu sibuk pada hari ini jika dilihat dari jauh. Dengan bendera naga emas yang melambai-lambai ditiup angin, pegawai-pegawai adat dan istiadat berjalan-jalan berserta perempuan-perempuan cantik yang membawa pinggan emas di tangan mereka, semestinya nampak sibuk. Penyelia-penyelia bahagian adat dan istiadat telah memakai pakaian yang terbaik mereka sambil mengikuti pengiring di belakang. Kotak-kotak yang berkilat terletak berbaris-baris di hadapan khemah tetapi tiada siapa tahu apakah kandungannya.

Zhao Qi mengerut keningnya dan bersungut pada Timbalan Jeneral Cheng, "Mana Tuanku Ketujuh ini? Kenapa dia belum sampai pula?"

Timbalan Jeneral Cheng sudah dibasahi peluh kerana dia sendiri tidak tahu-menahu tentang apa yang sudah terjadi sebenarnya. Dia lantas menjawab dengan nada rendah, "Nanti dia sampailah. Saya dah hantar perutusan kepadanya."

"Nampak okey saja semua. Macam ada banyak benda saja boleh lihat di sini." Suara acuh tidak acuh tiba-tiba kedengaran di samping mereka.

Setelah Zhao Qi mendengarnya, kepalanya mulalah berasa pening lantas dia pun menoleh dan berkata, "Tuan Putera kenapa datang ke kem adik ketujuh saya ini?"

"Nanti kamu tahulah." Li Ce memakai jubah merah terang yang bersulamkan lambang burung phoenix dan naga pada bahagian bawah jubah. Ia berkilau dan tentunya berbau harum. Kot berbulu yang diperbuat daripada musang merah telah diletakkan di tubuhnya. Walaupun dalam cuaca yang sejuk, dia tetap menyuruh seseorang untuk mengipasnya. Semua orang hanya mampu mengetap bibir sambil melihatnya.

Kalau diikutkan Zhao Qi sudah tidak tahan lagi. Selama dua hari suntuk dia terpaksa mengikuti pemuda ini ke mana sahaja. Sudahlah dia asyik mengadu yang Istana Sheng Jin ini pengap, jadi orang terpaksa mengalihkan udara yang pengap itu keluar pula untuknya sepanjang malam. Kemudian dia mengadu ia terlalu sejuk pula. Keesokan harinya pula dia mengadu yang orang gaji di istana terlalu hodoh jadi dia menolak untuk bersarapan. Setelah mereka berjaya mencari seorang yang cantik untuk menjamunya makan, dia mengadu sekali lagi yang orang gaji itu tidak pandai mendeklamasikan sajak pula kepadanya. Selepas itu dia memilih makan pula, mengadu yang daun teh yang telah dipetik tidak segar. Dia pun mengadu tentang bunyi tapak kaki askar yang berjalan mengelilingi bandar telah mengganggu tidurnya. Senang cerita, semua benda dia hendak mengadu.

Zhao Qi berasa terseksa. Baginya pertelingkahan adik-beradiknya yang lain lebih senang untuk ditangani berbanding Putera Tang namun dia masih keliru tentang sebab Putera Tang telah menyatukan mereka semua ke kem ini kerana selama ini dia menganggap putera itu merupakan seorang yang licik tetapi berlagak bodoh. Namun, sekarang ini dia seratus peratus yakin yang putera ini seorang yang miang dan tidak munasabah.

"Aiya! Mereka dah sampai!" Mata Li Ce membulat gembira. Sebelum Zhao Qi sempat menoleh untuk melihat, Li Ce sudah menariknya ke tepi dan bertanya dengan gementar, "Saya nampak okey tak hari ini? Wangi kan? Tak nampak pelik kan? Tengok but saya yang diberikan oleh Raja Mo Han dari Barat laut ini. Okey kan?"

Zhao Qi hanya mampu mengeluh dan mengiakan sahaja, "Ya, tuanku. Ia okey."

Setelah Chu Qiao memasuki khemah, dia ternampak askar-askar dari Tentera Hijau Zhao Qi di situ. Dia berkerut sambil mengambil tindakan berjaga-jaga. Apa yang sudah terjadi? Mengapa Zhao Qi perlu mencarinya sendiri? Yan Xun telah memberitahunya apa-apa ke?

Pada waktu itu, dia sudah menghampiri kerumunan itu sambil memerhatikan pegawai-pegawai daripada bahagian adat dan istiadat yang berkerut melihatnya. Sepertinya mereka juga berasa keliru tentang perkara ini. Barulah lega sedikit hatinya. Kalau rancangan Yan Xun gagal, Zhao Qi pasti akan membawa Tentera Hijaunya bersama tapi mengapa membawa mereka yang dari bahagian adat dan istiadat pula? Rasanya perkara tidaklah begitu teruk.

"Jeneral Chu Qiao, sila hormat…"

"Haha! Mari lihat sejauh mana awak boleh lari kali ini!" Sebuah susuk tubuh yang berpakaian serba merah tiba-tiba menerpa ke arahnya dari belakang lantas menarik Chu Qiao ke pangkuannya. Semua orang terus terperanjat melihatnya. Namun, sebelum sempat mereka berkata apa-apa, gadis tadi sudah bertindak seperti pemangsa sedang menyerangnya. Dia melompat ke udara sepantas kilat untuk melepaskan diri dari Li Ce. Bunyi rapuh terus kedengaran apabila Chu Qiao memusingkan lengan Li Ce itu dan dengan sekelip mata putera itu telah berada di tanah.

"Siapa ini?" Chu Qiao bertanya dengan nada yang dingin.

Anak kesayangan Maharaja Tang itu bergelut sambil mendongakkan kepalanya dan melemparkan senyuman berserta renungannya yang menggoda itu. "Kasarnya. Ini sayalah! Takkan awak tak ingat?"

Pegawai-pegawai Empayar Xia sudah tergamam melihat Putera Tang yang berada di tanah. Mereka kemudian menoleh ke arah putera ketiga, Zhao Qi. Setelah itu pandangan mereka beralih kepada gadis yang kelihatan keliru itu. Semua orang pun menjadi tercengan tanpa mengetahui perkara untuk diperkatakan. Perutusan dari Empayar Tang pula mula kelihatan pucat seperti dapat meneka perkara ini akan berlaku.

Zhao Qi merupakan orang pertama yang tersedar dari panaan terus dan bertindak waras jadi dia mara ke hadapan dan menengking Chu Qiao, "Berani betul kau biadab dengan Putera Tang! Ini satu jenayah tahu tak!"

Chu Qiao yang terkejut cepat-cepat melepaskan putera itu. Sebelum sempat dia merayu untuk meminta maaf, Li Ce tiba-tiba berdiri dan menjerit pada Zhao Qi, "Kamu tu yang aneh! Saya nak kahwin dengan dia tahu tak? Hantaran pun saya dah bawa untuk perkahwinan kami. Hei, cepat bawa semua itu ke sini." Lantas, ratusan kotak gergasi pun dibawa masuk. Setelah dibuka, semuanya berisi emas dan perak yang berkilauan lalu membuatkan semua orang terperanjat.

Chu Qiao terkaku di tempatnya sambil memandang semuanya dengan perasaan terkejut. Dia tidak tahu ingin bertindak seperti apa dalam keadaan itu. Apa yang berlaku sebenarnya ini?

Musim sejuk sudah berlalu dan musim bunga pun tiba. Setelah jendela dibuka, salji di luar kebanyakannya telah mencair. Tasik tidak lagi berais dan akhirnya dibuka semula bersama burung pipit dari selatan yang sudah pulang ke utara dan mencicip gembira. Sesungguhnya itu merupakan sesuatu yang merdu untuk didengar.

Yan Xun agak gembira hari ini. Dia telah menghapuskan seorang lagi musuhnya maka kuranglah satu lagi bebanannya. Pemuda itu sedang memakai jubah berwarna hijau tasik dengan tali pinggang yang serasi dengan wajahnya yang putih berserta renungannya yang dingin dan dihormati itu lantas mengeluarkan aura seorang lelaki budiman. Pada waktu ini, dia sedang terduduk di astaka tasik sambil menikmati tehnya yang mengeluarkan haruman di udara. Bunyi petikan daun yang sayup-sayup dapat didengari dari Taman Dong Hua itu. Jika seseorang melihat pemandangan yang terbentang luas dengan tasik dan gunung-ganang di belakangnya, pasti akan berasa seperti melihat sebuah gambar walaupun hakikatnya ini merupakan pemandangan yang asli.

Sudah lama dia tidak dapat berehat dengan secukupnya seperti ini.

Pada waktu tengah hari itu, seekor kuda menderap ke arah istana Sheng Jin lalu mengganggu ketenteraman istana tersebut. "Tuan Putera," Ah Jing membawa orang gaji yang berbadan tegap dari istana Ying Ge bersama sewaktu mereka menuju ke astaka. Dia menjerit sebelum Yan Xun meninggalkan astaka tersebut. "Berita buruk."

Angin bayu menghembusi jubah Yan Xun. Dia kemudian menoleh dan menjeling ke arah Ah Jing. Sepertinya dia tidak begitu gembira melihat Ah Jing yang memecah masuk begitu saja. "Kenapa kau panik sangat?" Yan Xun mengujar dengan nada yang tenang dan bersahaja. Sesungguhnya Ah Jing memang tidak akan pernah memahami perasaan tuan puteranya itu. Dia yang tercungap-cungap kemudiannya berkata, "Putera Tang pergi ke Pasukan Askar Berkuda dan memberitahu semua orang dia akan berkahwin dengan jurulatih memanah!"

"Jadi?" Yan Xun mengangkat keningnya tidak memahami situasi sebenar. Setelah itu dia menoleh dan teruskan berjalan.

Ah Jing terpaku sejenak sambil memandang rakan-rakannya yang lain, hatinya mula melonjak-lonjak dan sangat menghormati Puteranya itu. Adakah tuan putera akhirnya mampu melihat sesuatu dari sudut yang berbeza dengan menjarakkan dirinya dengan perasaan peribadinya itu? Cik Chu dan Tuan Putera sudah membesar bersama dan hubungan mereka sangat unik. Adakah Tuan Putera mempunyai disiplin yang tinggi dan kemampuan untuk mengawal diri sehingga menyebabkan dirinya mampu bertenang walaupun setelah mendengar khabar seperti ini? Adakah dia telah menyerahkan sesuatu supaya dia dapat mengejar cita-citanya iaitu Empayar Tong?

Namun, sebelum dia sempat tersenyum, tiba-tiba dia teringat satu perkara. Lelaki yang tadinya kelihatan tenang tiba-tiba berasa tegang dan cepat-cepat menarik bahu AhJ ing lantas bertanya dengan tegas, "Kau kata apa? Jurulatih memanah yang mana? Dia nak kahwin dengan siapa?"

Ah Jing berdukacita untuk berkata. "Ada seorang saja jurulatih perempuan di pasukan askar berkuda itu, Tuan Putera."

"Tak guna!"

"Ah! Tak gunanya!" Angin kencang bertiup merentasi bandar Zhen Huang diselangi dengan laungan suara yang bergema di udara. Zhao Song cepat-cepat berlari keluar dari rumahnya dan bergegas ke kem pasukan askar berkuda di sebelah timur bandar.

"Putera Tang, Li Ce?" Lelaki yang memakai jubah ungu di ladang pokok plum di Rumah Kediaman Zhuge berkerut sambil bertanya dengan nada yang dalam, "Dia buat hal lagi ke?"

Zhu Cheng tersenyum sambil menunduk dan berkata, "Tuan muda, saya tak rasa yang dia buat hal kali ini. Putera Tang dah bawa Xing Er keluar Bandar pun. Dia takut Maharaja Xia tak mempersetujui perkahwinan mereka jadi dia cepat-cepat pulang ke Empayar Tang. Putera Maharaja Ketiga pun tak dapat memujuk atau menghalang perkahwinan itu. Tapi dia dah hantar orangnya untuk melaporkan ke istana."

Zhuge Yue mengerutkan keningnya lantas segera berdiri dan mencapai kotnya.

"Tuan nak pergi mana?"

"Jalan-jalan."

Bunyi sayup-sayup sudah kedengaran dari jauh. Sebelum sempat Zhu Cheng menghabiskan kata-katanya, dia dah pun beredar. Dalam sekelip mata sahaja bunyi telapuk kaki kuda telah mengganggu ketenteraman ladang pokok plum itu.

Ketika Yan Xun dan orang-orangnya bergegas ke kem pasukan askar berkuda, Putera Tang dan pengiringnya sudah pergi meninggalkan kem dan bergerak ke pintu masuk bandar.

Renungan Li Ce selicik musang. Dia telah dibelasah sekali lagi tadi jadi hujung matanya masih lagi lebam dan membuatkan dia kehilangan seri wajah kacaknya itu. Chu Qiao yang beraut wajah dimasamkan itu pula telah diikat di hujung pedati sambil diperhatikan oleh Putera licik itu. Walaupun kebencian Chu Qiao terhadap putera itu semakin meluap-luap, dia tidak dapat menahan diri dari bertanya. "Tuanku, Chu Qiao tidak tahu identiti sebenar Tuanku. Jika saya ada buat silap, saya harap Tuanku dapat maafkan saya."

Li Ce mengangkat keningnya dan tersenyum kelat. Dia pun berkata, "Nama awak Chu Qiao? Boleh saya panggil Xiao Qiao? Tak pun Qiao'er ke?"

Meremang bulu roma Chu Qiao setelah mendengarnya. Setelah itu dia pun berkata lagi, "Chu Qiao hanyalah orang gaji. Namanya pun Tuanku tak patut ingat."