webnovel

Tentera Rui Lin (3)

Editor: EndlessFantasy Translation

Sejak kelahiran semulanya, Jun Wu Xie sudah banyak mendengar tentang Tentera Rui Lin. Hari ini dia akhirnya dapat melihat sendiri kumpulan tentera yang amat digeruni serta mempunyai reputasi yang ganas itu.

Seratus ribu anggota tentera berlatih di bawah cahaya matahari yang terik tanpa sebarang rungutan. Jika dia tidak menyaksikannya sendiri, Jun Wu Xie pasti menganggap semua ini mustahil. Pasukan tentera ini amat berdisiplin!

"Seluruh Tentera Rui Lin boleh menghancurkan pihak lawan, sepasukan kecil boleh membunuh Jeneral tentera musuh. Ingat kata-kata ini Jun Wu Xie, tidak ada pasukan tentera di seluruh Kerajaan Qi yang langsung dapat menandingi Tentera Rui Lin. Maharaja selalunya membiarkan sahaja Istana Lin kerana kita mempunyai angkatan tentera yang sangat kuat." Mata Jun Qing tidak lagi kelihatan mesra, tapi tegas dan bangga seperti seorang komander tentera.

Seorang anggota tentera dari pasukan Tentera Rui Lin boleh mengalahkan lima lelaki dewasa dengan mudah. Amat menghairankan memikirkan pengorbanan apa yang telah dilakukan oleh Keluarga Jun sehingga dapat mengetuai sepasukan tentera yang kuat, yang anggotanya sanggup berjuang di bawah panji Keluarga Jun.

Tiada siapa yang tahu.

Ramai yang cuba merekrut dan menarik keluar anggota Tentera Rui Lin tetapi orang-orang ini sama ada menemui kematian atau dihalau.

Pasukan tentera ini ibarat pedang paling tajam yang tidak akan dihunuskan ke arah Keluarga Jun!

"Saya faham, Pak Cik," jawab Jun Wu Xie, menyembunyikan perasaan kagumnya. Lawatan ke garison Tentera Rui Lin ini bukan lawatan biasa. Jun Qing merasakan Jun Wu Xie sudah layak untuk mengetahui tentang pasukan tentera mereka yang hebat. Dia tidak lagi dilihat sebagai gadis yang naif dan tidak tahu apa-apa. Sebaliknya dia dianggap sebagai salah satu tonggak Keluarga Jun.

Renungan Jun Qing menjadi lembut dan dia menganggukkan kepalanya.

"Kedatangan kamu ke berek ini ialah kerana niat Pak Cik dan Datuk kamu. Ada sesuatu yang kami mahu berikan pada kamu." Jun Qing memberi isyarat pada Long Qi.

Long Qi menghulurkan sebuah beg broked kepada Jun Wu Xie.

Di bahagian luar beg broked berwarna hitam itu terdapat sulaman benang perak. Sulaman itu menunjukkan seekor Qilin (makhluk mitos masyarakat Cina) yang sedang menjejak awan. Ini merupakan satu simbol tuah. Di dalam beg itu terdapat tiga tiub sebesar jari Jun Wu Xie. Dia memandang pak ciknya dengan hairan.

Jun Qing menjelaskan "Ini ialah Isyarat Awan Melayang milik Tentera Rui Lin. Tarik tuil di Isyarat Awan Melayang ini dan satu suar akan dilepaskan ke langit dan membawa Tentera Rui Lin kepada kamu. Wu Xie, Datuk kamu dan Pak Cik bimbang kamu akan bersikap terburu-buru kerana usia kamu yang muda. Kami tidak pasti kamu mampu menilai kepentingan barang-barang ini dan teragak-agak mahu memberikan kamu sesuatu yang boleh menggerakkan Tentera Rui Lin. Namun begitu, baru-baru ini perubahan pada diri kamu telah mengejutkan kami dan kami berdua bersetuju yang kamu sudah cukup matang untuk diberikan Isyarat Awan Melayang." Bagi Keluarga Jun, isyarat ini perlu dijaga dengan baik. Sebaik suar dilepaskan, seluruh Tentera Rui Lin akan digerakkan.

Ini menandakan kepercayaan yang diberikan pada Jun Wu Xie oleh Jun Xian dan Jun Qing. Mereka telah menyerahkan pedang paling tajam kepadanya.

"Terima kasih." Itu sahaja yang mampu Jun Wu Xie katakan. Tiga tiub kecil itu ringan sahaja tetapi implikasinya berat.

"Kita ini sekeluarga, tak perlu berterima kasih." Jun Qing tersenyum. Dia tahu barang-barang itu akan dijaga dengan baik oleh Jun Wu Xie.

Baru-baru ini Jun Wu Xie semakin rapat dengan Putera Mahkota. Kesihatan Putera Mahkota bertambah baik, begitu juga dengan sikapnya. Reputasinya semakin bagus, baik di dalam istana mahupun di kalangan rakyat biasa. Ini satu perkembangan yang baik, namun kebanyakan orang tidak menganggapnya begitu.

Istana Lin akan melindungi Jun Wu Xie daripada sebarang bahaya. Mereka yang berniat begitu perlu berfikir semula, sama ada mereka mampu menentang seluruh kekuatan Tentera Rui Lin yang akan membalas dendam!