webnovel

Tamparan Ketujuh (5)

Editor: EndlessFantasy Translation

Long Qi membalas dengan tegas, "Semua yang terlibat dalam kejadian itu dan semua yang terlibat dalam mengendalikan hal ini. Boleh Tuan kumpulkan mereka semua di sini?"

Fan Qi akhirnya faham. Setelah dipaksa untuk bertindak pantas, dia tidak berani lagi berunding. Dengan cepat dia menghantar orang untuk mencari semua orang yang terlibat.

Kerumunan yang berkumpul untuk menyaksikan apa yang berlaku, bertambah besar. Semua orang tertarik ke situ tetapi terhalang dengan aura Long Qi dan Jun Wu Xie yang begitu mendominasi. Malah Guru Besar yang amat dihormati, yang berdiri di puncak Akademi Zephyr, didesak sehingga tunduk dengan tidak berdaya apabila berhadapan dengan dua individu ini.

Di Akademi Zephyr, Nangong Xu memang dikenali sebagai seseorang yang tegas. Sering tidak tersenyum dan sukar didekati. Pelajar-pelajar biasa di akademi itu selalunya tidak berani untuk bercakap dengannya.

Tetapi kini, Nangong Xu tersenyum berseri-seri. Tidak pernah lagi para pelajar itu melihatkan dia merendahkan diri sebegini!

Setelah menyaksikan sikap Fan Qi dan Nangong Xu, para pelajar itu faham tentang kehandalan Tentera Rui Lin.

Tidak lama kemudian, semua yang terlibat dengan isu itu dibawa masuk, seorang demi seorang.

Apabila para pelajar Akademi Zephyr melihat siapa yang dibawa datang ke situ, mereka berasa amat terkejut.

Bukan sahaja guru-guru yang menjaga keselamatan sewaktu Perburuan Roh yang telah dipanggil, malah Ning Xin, Yin Yan, Fan Jin dan Naib Guru Besar juga turut dibawa ke situ!

Perkumpulan golongan elit!

"Selain mereka yang telah disingkirkan, empat orang pelajar lagi dari kampus cawangan sedang menuju ke sini. Ada seorang lagi pelajar….yang tidak berada di akademi pada ketika ini." Fan Qi cuba menjelaskan sambil menyapu peluh di keningnya.

Orang yang hilang itu ialah Jun Xie, yang baru sahaja diterima secara rasmi oleh Gu Li Sheng semalam. Tetapi sewaktu Fan Qi menghantar orang untuk mencarinya, mereka kembali lalu memberitahu dia yang Jun Xie mendapat cuti daripada Gu Li Sheng dan tidak berada di dalam akademi hari ini.

Long Qi tidak terus memberikan jawapan pada Fan Qi, tetapi diam dan memandang Jun Wu Xie. Setelah Jun Wu Xie mengangguk puas hati, Long Qi akhirnya berpaling pada Fan Qi lalu berkata, "Ini sudah memadai."

Fan Qi dalam diam mengeluh lega.

Wajah Ning Xin kelihatan pucat dan matanya tidak begitu fokus. Dia membiarkan dirinya dibawa oleh Yin Yan untuk berdiri dalam kalangan kumpulan itu. Melihatkan keadaannya, jelas sekali yang dia masih belum pulih daripada trauma kejadian semalam tetapi tetap dipaksa datang ke situ.

Ning Xin merasakan kekuatannya telah hilang sepenuhnya. Dia mengangkat matanya untuk memandang ke hadapan. Sebaik terlihat susuk tubuh Long Qi, jantungnya berdebar-debar.

Tentera Rui Lin benar-benar datang ke sini!?

Ning Xin tanpa sedar memandang Ning Rui ketika ketakutan tersebar ke seluruh tubuhnya. Dia memikirkan hal itu sudah selesai seperti yang dirancangkan oleh ayahnya. Ning Xin tidak menyangka akan dibawa ke situ.

Ning Rui memandang Ning Xin untuk menenangkannya dan Ning Xin lega sedikit.

"Se….. Senior Ning….. Apa….. Apa patut kita lakukan sekarang?" Yin Yan terlalu takut sehingga kakinya terasa seperti sudah menjadi jeli.

"Apa yang kamu takutkan? Dengan adanya ayah saya di sini, tak ada apa yang perlu ditakuti. Lu Wei Jie dan yang lain sudah pun dijadikan kambing hitam dan mereka menanggung kesalahan ini. Tak mungkin Tentera Rui Lin akan menghukum dua budak muda seperti kita."

"Tapi… tapi…"

"Tak ada tapi-tapi! Guru Besar itu rapat dengan ayah saya dan dia pasti akan membela kita. Tentera Rui Lin mungkin berkuasa, tetapi Kerajaan Qi hanya negara yang kecil. Perlukah saya ingatkan berapa ramai pelajar yang telah belajar di bawah bimbingan ayah saya dan Guru Besar. Mereka kini sedang berkhidmat dengan pelbagai kuasa besar di seluruh dunia. Kalaupun Tentera Ruo Lin memutuskan untuk tidak mempedulikan reputasi Akademi Zephyr, sekurang-kurangnya, mereka perlu mempertimbangkan tentang anak-anak murid ayah saya dan Guru Besar. Mereka tidak akan mendapat manfaat kalau mereka terus mendesak hal ini diselesaikan," kata Ning Xin. Dia seolah-olah mahu meyakinkan Yin Yan, tetapi sebenarnya cuba meyakinkan diri sendiri.

Analisis Ning Xin sebenarnya benar juga. Akademi Zephyr itu sendiri mungkin tidak begitu kuat, tetapi semua pelajar yang pernah berada di bawah bimbingan Fan Qi dan Ning Rui kini sedang berkhidmat dengan pelbagai kuasa besar di seluruh dunia. Kalau Tuan Guru mereka dibuli atau dimalukan, bekas pelajar Akademi Zephyr itu pasti akan mempertahankan guru-guru mereka.