webnovel

Tamparan Ketujuh (11)

Editor: EndlessFantasy Translation

Dia sudah pun memainkan peranan sebagai seorang bapa yang keletihan dari segi mental dan fizikal dengan begitu baik, tetapi Jun Wu Xie langsung tidak tersentuh.

Long Qi memberikan arahan dan dua orang askar Tentera Rui Lin turun dari kuda masing-masing lalu terus masuk ke pintu pagar Akademi Zephyr. Kedua-dua askar ini dilihat memegang kayu berbentuk dayung sepanjang enam kaki dan berketebalan dua inci.

Sebaik terlihat dua orang askar Tentera Rui Lin ini, Ning Rui merasakan dunianya menjadi kelam dan dia dapat menjangkakan sesuatu yang buruk bakal berlaku.

"Mengikut undang-undang ketenteraan, hukumannya adalah tiga puluh sebatan dengan cemeti dan seratus pukulan menggunakan kayu ini," kata Long Qi tanpa perasaan.

Tiga puluh sebatan… seratus pukulan!?

Sebaik semua pelajar Akademi Zephyr mendengar angka-angka tersebut, mereka berpaling memandang dua orang askar yang tegap dan sasa itu. Serta-merta mereka berasa seram sejuk.

Melihatkan keadaan tubuh badan Ning Xin itu, tak mungkin dia dapat bertahan sepanjang hukuman ini. Salah satu hukuman itu sahaja sudah cukup untuk meragut nyawanya.

"Tidak… tidak…" Ning Xin menggigil-gigil ketika terpandang dua orang askar yang menghampirinya itu. Kayu pemukul yang besar dan berat itu membuatkan dia berasa gerun. Fikirnya, kalau pun dia perlu mati disebabkan perbuatan jahatnya, dia akan mati akibat ditusuk pedang. Tidak pernah dia terfikir yang Jun Wu Xie tidak berniat untuk membiarkan dia mati dengan begitu mudah.

Cengkaman erat Long Qi berada pada bahu Ning Xin. Tangannya yang kuat itu menghalang Ning Xin daripada meronta-ronta. Walaupun setelah mengumpul segala kekuatan yang ada padanya, Ning Xin tidak mampu bergerak walau seinci untuk lari daripada situasi mengerikan yang bakal berlaku.

Kuasa yang menekan bahunya itu membuatkan Ning Xin tidak mampu bergelut dan dia dipaksa terus kekal berdiri. Matanya terbeliak dan kelihatan gerun. Kawasan ini dipenuhi para pelajar Akademi Zephyr. Mereka semua sedang memandang Ning Xin yang berada dalam keadaan yang memalukan serta menyedihkan ini.

Semua pelajar yang selama ini dia rasakan tidak layak mendapat perhatiannya…

"Mulakan." Long Qi menjerit. Dua orang askar yang bertubuh sasa itu berdiri di kiri dan kanan Ning Xin. Mereka mengangkat kayu pemukul yang dipegang lalu menghentam tanpa belas kasihan!

'BAM!'

Kayu pemukul itu kena pada badan Ning Xin. Bunyi pukulan yang kuat itu terdengar jelas di udara.

Bunyi yang kuat itu menakutkan semua pemuda yang berkumpul. Mereka terus menggigil dengan tidak terkawal.

"ARGHHHHH!!"

Pukulan pertama itu sudah pun memberikan Ning Xin kesakitan yang tidak tertanggung. Wajahnya menjadi pucat dan air matanya mengalir ke pipi tanpa dapat ditahan.

Askar-askar dari Tentera Rui Lin ini tidak menunjukkan belas kasihan dan tidak menahan diri mereka walau sedikit pun. Kayu pemukul itu turun naik, bergilir-gilir menghentam tubuh Ning Xin. Situasi ini amat menggerunkan. Setelah menerima beberapa pukulan, punggung Ning Xin sudah berdarah. Darah berwarna merah pekat itu mengotori bajunya. Kesakitan menyeksakan yang dialaminya itu membuatkan tubuhnya tersentak-sentak. Ning Xin mengetap gigi dan tangannya mencakar-cakar udara dalam usaha sia-sia untuk bergelut melarikan diri.

Long Qi merendahkan tubuhnya dan memegang bahu NIng Xin dengan kemas. Dia tidak memberikan sebarang peluang untuk Ning Xin melepaskan diri.

Kayu yang tebal dan berat itu naik dan turun, dikotori kesan darah merah. Titisan darah terpercik pada dua orang askar tersebut. Di atas lantai marmar putih Akademi Zephyr, muncul tompokan merah. Tidak lama kemudian, bunga merah darah mula mekar di atas marmar tersebut, mencipta satu pemandangan yang mengerikan.

Ning Xin sudah pun kehilangan tenaga sehingga tidak mampu untuk mengerang sekalipun. Dia mengetap rahangnya dengan begitu ketat sehinggakan ada darah yang keluar dari celah-celah giginya. Darah itu mengalir keluar dari mulutnya dan menitik ke atas lantai. Matanya menjadi merah. Di dalam kegilaan ini, Ning Xin masih dapat melihat banyak wajah berada di sekelilingnya.

[Jangan pandang saya… jangan pandang saya…]

[Kenapa seksa saya sebegini?]

[Kenapa buat saya sengsara?]

[Kalau mahu saya mati sekalipun, kenapa tak berikan saya kematian yang pantas?]

Kesakitan melampau yang dirasainya di bahagian bawah badannya menyebabkan dia bermandikan peluh sejuk. Dia dapat membayangkan betapa teruk dan jijiknya keadaan dia sekarang.

Selama ini, dia paling pentingkan imejnya. Kini, di hadapan semua pelajar akademi itu, imej tersebut telah dihancurkan sepenuhnya.

Kesakitan yang teramat ini serta perasaan malu yang dirasainya membuatkan Ning Xin berharap dia dapat mati pada ketika itu juga.