Di dalam mimpi ngerinya sekalipun, Ke Cang Ju tidak pernah menyangka dia akan dikalahkan oleh seorang budak muda, ditekan sehingga begini. Dia memandang dengan gerun sewaktu Jun Wu Xie semakin mendekatinya. Setiap langkah yang diambil budak muda itu membuatkan Ke Cang Ju ketakutan. Dia mengibas-ngibas tangannya dalam keadaan terdesak, menghantar hembusan asap dalam pelbagai warna gelap ke arah Jun Wu Xie!
Sepanjang hidupnya Ke Cang Ju amat yakin dengan racun-racunnya. Budak muda itu tak akan terkecuali menjadi mangsa yang mati disebabkan oleh racunnya itu!
Walaupun Asap Tunggal yang paling berbisa itu tidak mendatangkan kesan, racun-racun lain yang tidak terkira banyaknya, yang tersembunyi di sebalik lengan bajunya, pasti ada yang dapat membunuh budak itu!
Namun begitu, Jun Wu Xie terus melangkah ke hadapan, tidak berkelip sekalipun. Dia melangkah masuk ke dalam kepulan asap beracun yang berlingkar di sekelilingnya. Matanya yang dingin dan menggerunkan itu bersinar di sebalik kabus beracun itu.
Mata itu penuh kebencian!
"Dah selesai?" Jun Wu Xie bertanya dengan tidak sabar selepas melihat cubaan terdesak Ke Cang Ju untuk melemparkan segala-gala yang ada padanya ke arah Jun Wu Xie.
Ke Cang Ju memandang Jun Wu Xie dan tak mampu berkata apa-apa pada ketika itu. Kepulan demi kepulan asap yang dilepaskannya mengandungi berpuluh-puluh jenis racun yang membawa maut dan datang dari seluruh pelosok dunia. Lawan yang paling kuat sekalipun pasti sudah menjadi mangsa serangan bertubi-tubinya yang melepaskan pelbagai jenis racun.
Namun begitu, Jun Wu Xie masih teguh berdiri dan tidak terkesan. Senyuman Jun Wu Xie yang berseri-seri itu dirasakan seperti mengejek kelemahan dan rupa parasnya yang hodoh.
"Aku tak percaya….. Mustahil….." Ke Cang Ju berundur setapak, mukanya mula menjadi pucat.
Ke Cang Ju membesar dengan wajah yang hodoh. Urat darah dan arterinya mengalami kecacatan dan tidak sempurna, sehingga menghalang kebangkitan roh berkontraknya. Dia mengutuk nasibnya yang malang dan menghabiskan seluruh hidupnya untuk mempelajari tentang racun. Walaupun tanpa kekuatan kuasa rohani serta roh berkontrak yang kuat, dia mampu membina jalan hidupnnya sendiri menggunakan racun. Dia membunuh sesiapa sahaja yang membenci dan menentangnya.
Tapi kini, visi hidupnya dihancurkan oleh budak muda yang berdiri di hadapannya ini.
Racun berharga yang menjadi kebanggaannya itu hanya dianggap sebagai jenaka oleh Jun Wu Xie. Pembelajaran dan kajian yang dilakukan sepanjang hidupnya langsung tidak dapat mengapa-apakan Jun Wu Xie.
Bagaimana budak ini mampu mengatasi hasil kerjanya semudah itu?
"Kalau kamu sudah selesai, giliran saya pula." Senyuman Jun Wu Xie semakin melebar. Dia mengambil satu botol porselin berwarna kelabu daripada begnya.
Mata Ke Cang Ju merenung botol di dalam tangan Jun Wu Xie itu dengan tajam, seolah-olah ada binatang buas yang ganas terperangkap di dalamnya.
Sewaktu Jun Wu Xie menuang keluar satu eliksir kecil sebesar kuku jari kelengkengnya, Ke Cang Ju mengeluh lega.
Ke Cang Ju menjangkakan budak yang imun terhadap pelbagai jenis racun yang dia dilepaskannya tadi akan membalas dengan racun yang lebih menakutkan dan berbisa. Tetapi sebaliknya, budak itu mengeluarkan pil biasa sahaja. Berdasarkan rupa bentuknya, Ke Cang Ju yakin itu hanyalah Pil Pereput Tulang.
Pil Pereput Tulang amat berbisa dan berbahaya. Apabila dimakan, pil ini akan menyebabkan tulang di dalam badan seseorang mereput dengan cepat. Bagi orang biasa, racun ini amat menakutkan, tetapi bagi Ke Cang Ju, racun ini biasa sahaja.
Pil Pereput Tulang ini merupakan salah satu produk hasil usahanya dalam kajian racun. Malah, kebanyakan pengikut Kumpulan Qing Yun akan membawa beberapa biji pil ini bersama-sama mereka pada setiap masa.
Budak biadab ini berani cuba menakutkan dia dengan Pil Pereput Tulang hasil kajiannya itu? Kelakar betul! Setiap jenis racun yang dihasilkannya telah dikaji kandungannya dengan teliti dan dia tahu segala-galanya tentang racun tersebut. Dia telah mengambil segala langkah berjaga-jaga untuk mengambil penawar racun-racunnya supaya dia mendapat imunisasi. Tidak kira betapa banyak sekalipun dia mengambil racun buatannya, semuanya tidak akan mendatangkan kesan ke atas dirinya.
"Budak, kau tahu tidak dari mana asalnya Pil Pereput Tulang yang kau pegang tu?" Ke Cang Ju tiba-tiba mahu ketawa, geli hati dengan dirinya kerana risau mengenai budak itu. Imunisasi budak itu terhadap racun Ke Cang Ju telah membuatkan dia terkejut, tetapi selain itu, dia hanyalah budak biasa sahaja. Ke Cang Ju pasti terlalu terperanjat membenarkan perasaan panik menguasai dirinya. Kini setelah Ke Cang Ju bertenang, dia sedar yang dia bukanlah berada di dalam bahaya.