Maharaja mengangguk dengan serius. Tepat pada ketika itu, seorang sida-sida datang membawa satu perutusan. Selepas membaca skrol itu, wajah baginda menjadi pucat.
"Jun Wu Xie ini berani bertindak dengan tak tahu malu!" Baginda menggenggam penumbuk sehingga jari-jari baginda menjadi pucat.
"Ayahanda, apa yang sudah terjadi?" Mo Xuan Fei terkejut melihatkan Maharaja naik berang.
Maharaja mencampakkan skrol itu ke arah Mo Xuan Fei dengan marah. Mo Xuan Fei cepat-cepat menyambutnya. Wajahnya turut menjadi pucat setelah membaca isi kandungan skrol itu.
"Di..Dia benar-benar mengarahkan seluruh angkatan Tentera Rui Lin untuk membuat sekatan ke atas seluruh Bandar Diraja? Apa pula yang dirancangnya sekarang?"
"Apa yang dirancangnya? Ah! Perempuan ini benar-benar mahu menyingkirkan Beta! Secara tidak langsung, seluruh Bandar Diraja kini diletakkan di bawah kawalan Tentera Rui Lin. Beta tidak boleh memanggil angkatan tentera untuk melindungi Beta sekalipun, dia memang mahu Beta turun takhta! Dia mahu Beta turun takhta! Menggunakan taktik sebegini, dia memang tidak berhati perut!" Maharaja merasakan seperti ada tali gantung di lehernya, dipegang oleh Jun Wu Xie yang perlahan-lahan sedang mengetatkannya. Pernafasan baginda menjadi tidak sekata dan mula tercungap-cungap.
"Tidak hairanlah dia menjemput Putera Mahkota untuk pulang ke Istana Lin bersamanya. Dia risau Beta akan menyingkirkan Putera Mahkota jka Beta mengetahui niatnya terlebih dahulu. Kalau dia tidak ada calon untuk menaiki takhta, dia tidak akan memaksa Beta begini." Memikirkan betapa rumitnya rancangan gadis itu membuatkan Maharaja mahu muntah darah!
Wajah Mo Xuan Fei menjadi pucat. Dia langsung tidak pernah terfikir yang Jun Wu Xie sangat berkebolehan dan telah mengeksploitasi pelbagai sebab untuk membuatkan mereka berada dalam keadaan yang genting.
Bagaimana dia lakukannya? Apa yang dia fikirkan? Bagaimana dia boleh ada begitu banyak rancangan?
"J...jadi, apa yang kita patut buat sekarang? Tak mungkin Ayahanda memikirkan untuk menyerahkan segala-galanya kepadanya dengan mudah, tanpa ada sebarang tentangan, bukan?" Mo Xuan Fei mula panik. Hubungannya dengan Jun Wu Xie sekarang amat teruk, sejak dia memutuskan pertunangan mereka. Kalau Jun Wu Xie bercadang mahu mendapatkan takhta Maharaja, Mo Xuan Fei pasti turut terlibat dan tidak ada peluang untuk melarikan diri.
"Jangan panik. Keadaan tidak akan berlaku seperti yang dia rancang. Cepat, hantar orang-orang kita untuk keluar dari Bandar Diraja, menyamar dan menyusup keluar dalam kegelapan malam." Mata Maharaja dipenuhi niat jahat. Baginda mengecilkan mata sambil meradang dalam diam.
Bulan bersinar di langit, dan angin malam yang dingin bertiup masuk ke Bilik Bacaan Diraja. Maharaja berdiri di tepi tingkap, memandang ke arah bulan sambil termenung panjang. Kedengaran bunyi seretan di pintu sambil seorang sida-sida membawakan berita pada baginda. Orang-orang yang dihantar ke luar bandar sudah mati dibunuh. Tidak ada seorang sekalipun yang berjaya meninggalkan Bandar Diraja.
"Mereka semua ada roh berkontrak jenis binatang!" Maharaja merasakan hati baginda menjadi perit sambil menjerit pada sida-sida yang membawa berita buruk itu.
Baginda tidak menjangkakan mereka akan dibunuh dengan begitu mudah. Baginda telah memastikan mereka keluar menyamar sebagai rakyat biasa, tidak terfikir yang Tentera Rui Lin akan berani membunuh rakyat.
Tidakkah mereka risau akan menimbulkan kemarahan rakyat?
Namun, tidak kira apa juga jenis binatang roh yang orang-orang ini ada, binatang yang boleh terbang atau binatang daratan, Tentera Rui Lin telah menghapuskan semuanya tanpa belas kasihan.
Maharaja hampir rebah di kerusi baginda. Fikiran baginda menjadi kacau-bilau dan peluh sejuk mengalir dari dahi.
Tiada siapa yang dibenarkan keluar dari Bandar Diraja. Mereka telah mengepung seluruh bandar itu sepenuhnya dan Maharaja tidak ada cara untuk mendapatkan bantuan dari luar!
"Pergi! Cepat panggil Bai Yun Xian!" laung Maharaja. Baginda tiba-tiba teringat yang baginda masih lagi ada senjata tersembunyi.
Tidak kira apa sekalipun, Bai Yun Xian masih lagi anak murid Pemerintah Kumpulan Qing Yun dan Maharaja juga tidak berani membangkitkan kemarahan mereka. Bergantung pada pengaruh mereka yang kuat, Bai Yun Xian merupakan senjata tersembunyinya. Cuma dia saja yang mampu menukar situasi ini!
Mo Xuan Fei cepat-cepat membawa Bai Yun Xian ke Bilik Bacaan Diraja.
Wajahnya teramat suram. Anginnya tidak baik kerana telah dikejutkan di tengah-tengah malam. Dia sedang berperang dingin dengan Mo Xuan Fei dan kini lelaki itu mengheretnya keluar sewaktu dia sedang tidur lena! Dia tunduk hormat secara sambil lewa sahaja pada Maharaja.
"Boleh Patik tahu apa yang penting sangat sehingga Tuanku menjemput Patik ke sini dengan tergesa-gesa?"
"Cik Bai, masa sudah suntuk. Beta benar-benar merayu kebaikan hati kamu. Kami memerlukan pertolongan dalam beberapa perkara." Penampilan Maharaja kembali tenang dan terhormat. Baginda tersenyum mesra pada gadis itu.
Bai Yun Xian terkejut sedikit. Malam ini dia masuk tidur awal dan langsung tidak tahu tentang perubahan besar yang ditiup angin ke Kerajaan Qi.