webnovel

Pencapaian (6)

Editor: EndlessFantasy Translation

Cahaya jingga tenaga rohani Jun Wu Xie berkumpul menjadi api. Terang dan bersinar-sinar, warna jingga itu terpantul di mata Jun Wu Xie, menyebabkan dia berasa gembira serta terkejut.

"Saya berjaya," katanya perlahan.

"Ya, sayang." Jun Wu Yao mencium dahi Jun Wu Xie dengan perlahan, berasa gembira dengan keriangan gadis itu.

Gadis kesayangannya ini baru sahaja mengubah layanannya terhadap Jun Wu Yao dan lelaki itu tidak mahu mengambil risiko memusnahkan kemesraan di antara mereka.

Jun Wu Xie mengambil masa yang lebih singkat daripada jangkaan Jun Wu Yao dan nampaknya proses menyerap roh Ular Melayang tidak memberikan sebarang masalah kepada Jun Wu Xie.

Hebat betul gadis pilihannya ini!

Jun Wu Xie hanya mengambil masa beberapa bulan untuk bergerak maju daripada roh tahap merah ke tahap jingga. Dia telah memendekkan masa bertahun-tahun yang diperlukan oleh orang biasa dan keadaan ini amat sukar dipercayai.

Namun begitu, jika Jun Wu Yao tidak membuat persiapan awal, Jun Wu Xie mungkin tidak akan mencapai kemajuan semudah ini.

"Kamu sudah mencapai roh tahap jingga. Jumlah tenaga rohani yang diperlukan untuk pertapaan dan kemajuan akan meningkat berkali-kali ganda. Kamu masih muda, tak perlu terburu-buru." Jun Wu Yao mengangkat tangannya untuk mengusap rambut gadis itu.

Jun Wu Xie mengangguk. Teratai Salji yang pertama sudahpun berkembang mekar. Selepas Teratai Salji mekar, tenaga rohani yang dibekalkannya akan menyusut. Nasib baiklah dalam masa beberapa bulan kebelakangan ini, Teratai Kecil sudah menyemai beberapa biji benih teratai dan buat masa sekarang, Jun Wu Xie mempunyai bekalan yang cukup untuk digunakan.

Menurut rekod yang ditulis di dalam buku purba itu, jika air dari Mata Air Syurga yang digunakan, Teratai Salji hanya memerlukan masa sebulan untuk mekar. Jauh lebih cepat berbanding penggunaan wain Nektar Jed.

Setelah berjaya mencapai kemajuan, Jun Wu Xie tidak tergesa-gesa untuk meneruskan perkembangan dan pertapaannya. Dia sudah mengambil masa tiga hari untuk menyerap roh Ular Melayang. Dan dalam masa tiga hari ini, perubahan yang berlaku di dalam Bandar Diraja amat dahsyat!

Kumpulan Qing Yun tidak mempedulikan Keluarga Diraja dan telah memecah masuk ke dalam Makan Diraja serta menggali semula kubur Jun Gu.

Tetapi walaupun mereka berusaha mencarinya, mereka langsung tidak menemui jejak Jed Roh. Mereka mahu memusnahkan seluruh kawasan perkuburan itu!

Jun Wu Xie langsung tidak mempunyai masa untuk menyegarkan diri apabila dia terdengar beberapa siri bunyi letupan yang membingitkan telinga. Mukanya berkerut dan dia terus mengambil pakaian untuk melindungi dirinya daripada kesan pergelutan selama tiga hari itu, lalu melangkah keluar dari pintu.

"Hitam Kecil!"

Kucing hitam kecil itu sedang baring di luar pintu dan sebaik terdengar panggilan Jun Wu Xie, kucing itu terus bertukar menjadi bentuk binatang hitam besar dan membawa Jun Wu Xie di belakangnya. Kedua-duanya bergegas menuju punca bunyi letupan itu.

Jun Wu Yao berjalan perlahan-lahan keluar dari bilik itu dan senyumannya hilang sambil dia memandang Jun Wu Xie yang tergesa-gesa berlalu pergi.

Serangga biadap mana yang berani mengganggu waktu rehat gadis kesayangannya ini….

Mata hitamnya mula ada kesan warna ungu yang kelihatan berbahaya dan udara di sekeliling halaman itu menjadi berat dan menyesakkan. Satu bayang-bayang yang sebelum ini tersembunyi, menerima kesan kemarahan Jun Wu Yao dan cepat-cepat muncul lalu berlutut di hadapannya.

"Tuan!"

"Siapa?" Mulut Jun Wu Yao menipis dan kelihatan dingin.

"Orang-orang Kumpulan Qing Yun."

"Bagus. Nampaknya mereka suka bermain dengan kematian. Saya akan tunjukkan cara permainan saya." Bunyi ketawa Jun Wu Yao amat menggerunkan. Satu pergerakan menarik perhatiannya dan Jun Wu Yao menolehkan pandangan matanya yang berwarna ungu pekat itu ke arah Teratai Kecil yang sedang bersusah-payah keluar dari kolam teratai.

Teratai Kecil menyedari pandangan kejam itu dan seluruh tubuhnya mengalami kejutan. Dia sedang membuat halnya sendiri dan bertapa di dalam kolam teratai sewaktu gelombang kemarahan Jun Wu Yao telah menyebabkan tubuh kecilnya itu mengalami kesakitan. Teratai Kecil bertukar menjadi bentuk manusianya untuk melarikan diri dari situ, tapi nampaknya Syaitan Hebat itu sedang memberi perhatian kepadanya.

"Bawakan saya sebalang wain Bulan Jed." Jun Wu Yao berdiri merenung Teratai Kecil sambil memberi arahan kepada bayang-bayang di sisinya.