webnovel

Binatang Roh Gred Pe (3)

Editor: EndlessFantasy Translation

Di satu bahagian hutan itu, barisan demi barisan pokok-pokok ditumbangkan ke tanah dan dipijak-pijak. Gelombang kejut menyelubungi kawasan itu dan daun-daun yang gugur mula berterbangan dan berombak di udara, berpusar-pusar di dalam angin yang menderu.

Bau darah yang pekat dapat dihidu. Satu susuk tubuh yang teramat besar berdiri setinggi langit. Binatang gergasi ini melepaskan raungan membingitkan yang mampu membuatkna bumi ini terbelah dua!

Ini ialah Binatang Roh Gred Penjaga yang teramat hebat. Kuku pada keempat-empat kakinya sangat tajam. Binatang ini mempunyai sembilan ekor berwarna putih di belakangnya. Ekor-ekornya digoyangkan dan apa sahaja yang disentuh oleh ekor-ekor tersebut, baik pokok mahupun batu, akan musnah berderai dengan mudah disebabkan kuasa menggerunkan ini. Di kepalanya terdapat dua tanduk yang berlingkar, matanya yang merah dipenuhi kemarahan.

Badan binatang ini berwarna putih. Di atas bulunya yang lembut dan bersinar, samar-samar kelihatan satu kilauan lambang berwarna merah!

Binatang Roh Gred Penjaga yang sedang meradang mampu memusnahkan apa sahaja yang ada di depannya!

Di bawah hujan batu tersebut, Long Qi bergegas membawa seorang askar Rui Lin yang telah tercedera, pergi ke satu tunggul kayu. Dia menyuruh askar itu bersembunyi.

Salah satu tangan askar tersebut sudah dicederakan oleh Bilah Angin Binatang Roh Gred Penjaga itu. Satu serangan yang hampir memutuskan separuh dari lengannya yang kini tergantung pada urat-uratnya. Askar itu telah banyak kehilangan darah dan wajahnya pucat. Suhu badannya juga semakin menurun dengan pantas.

"Jeneral, tinggalkan kami….Tuan...Tuan patut bawa Rong Heng dan yang lain pergi dari sini…." kata askar yang tercedera itu sambil menarik lengan baju Long Qi dengan sebelah lagi tangannya.

"Kita tak mampu mengalahkan Binatang Roh Gred Penjaga. Bawa Rong Heng dan yang lain pergi dari sini sementara Wu Kecil dan askar-askar lain masih mampu menahan Binatang Roh itu! Kematian kami kecil sahaja berbanding dengan para pengikut Tuan Mu. Para pengikut itu lebih penting pada Tentera Rui Lin." Askar yang tercedera itu tercungap-cungap setelah selesai berkata-kata, wajahnya semakin pucat.

Raut wajah Long Qi kelihatan tegas. Tanpa disangka, keadaan tiba-tiba menjadi buruk dan menjadikan ekspedisi ini begitu berbahaya.

Binatang Roh Gred Penjaga yang tidak pernah dilihatnya sebelum ini!

"Saya tak akan tinggalkan saudara-saudara saya." Long Qi mengetap giginya. Badannya sudah dipenuhi luka-luka. Di dalam kumpulan itu, dialah yang paling kuat dan berkemahiran. Sebab inilah dia yang paling banyak menerima serangan dalam pertempuran mereka dengan Binatang Roh itu. Kalau bukan disebabkan kebolehan roh berkontraknya untuk bertukar rupa menjadi perisai yang kuat dan teguh, mungkin dia tidak akan kekal hidup sehingga kini!

Long Qi berpusing untuk memandang Rong Heng dan para pengikut lain yang tercedera. Ada tiga orang pengikut dari Puncak Menjejak Awan yang mengikuti ekspedisi ke Hutan Roh Pertempuran. Sewaktu mereka diserang oleh Binatang Roh Gred Penjaga itu, semua askar-askar Rui Lin terus sedaya-upaya melindungi ketiga-tiga pengikut ini.

Askar-askar ini sedar yang masih ada ramai lagi askar di dalam Tentera Rui Lin. Pasukan itu tidak akan begitu terkesan jika mereka kehilangan beberapa orang. Tetapi pengikut-pengikut Puncak Menjejak Awan tidak boleh diapa-apakan. Melindungi pengikut-pengikut ini bermaksud Tentera Rui Lin akan beroleh lebih kekuatan di masa hadapan!

Rong Heng dan pengikut-pengikut lain berada di dalam keadaan genting. Walaupun askar-askar Tentera Rui Lin ini sanggup bergadai nyawa untuk melindungi mereka, gelombang yang dilepaskan oleh Binatang Roh Gred Penjaga itu bukanlah sesuatu yang mereka dapat harungi tanpa tercedera.

"Jeneral Long, kami sudah menyusahkan kamu." Rong Heng memandang Long Qi dengan wajah yang pucat. Kalau bukan disebabkan pengikut-pengikut ini, kemahiran askar-askar Tentera Rui Lin sekurang-kurangnya dapat membantu mereka melepaskan diri dari Binatang Roh Gred Penjaga walaupun mereka tidak boleh mengalahkan binatang roh tersebut.

"Ini tak ada kena-mengena dengan kamu. Saya yang terlalu cuai." Mata Long Qi mengecil dan memancarkan kemarahan yang menggerunkan.

"Tiada siapa yang menyangka pemuda-pemuda itu menyimpan niat jahat terhadap kita. Kalau mereka tidak mengganggu Binatang Roh itu dan membawanya pada kita, tentu situasi kita tidak sebegini genting! Kemudian budak-budak jahanam itu melarikan diri pula!" Seorang lagi pengikut Puncak Menjejak Awan menghamburkan kata-kata itu dengan jijik!